Suara sejagat Faizal Tahir


Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam Malaysia, Md. Ghani Ibrahim (enam dari kiri), bergambar bersama sebahagian sukarelawan selepas majlis menandatangani kerjasama dan pelantikan Faizal Tahir sebagai salah seorang panel IAVE 2017 baru-baru ini.

Status populariti menggunung tinggi tidak memberi makna bahawa hidup seseorang artis itu hanya terus berselimut cahaya glamor hasil perkongsian karya seni.

Buat penyanyi Faizal Tahir, ada tanggungjawab besar menanti untuk dipenuhi bagi membantu apa yang termampu demi kesejahteraan manusia sejagat.

Sehubungan itu, Faizal yang dilantik menjadi panel Persidangan Sukarelawan Serantau Asia Pasifik ke-15 (IAVE 2017) bertekad menyemarakkan usaha untuk menjadi artis yang berdakwah di jalan seni.

Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, meluahkan rasa teruja kerana diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia sebagai salah seorang ahli panel dalam acara tersebut. Akuinya, masyarakat masih bersikap enteng berkaitan isu kemanusiaan.

“Selepas 11 tahun berada dalam industri, saya semakin sedar bahawa tanggungjawab semakin besar. Masalahnya sekarang, apabila berkaitan isu kemanusiaan, sukar untuk melihat orang ramai berkongsi, mengulang ‘kicau’ (Twitter) atau Like sesebuah entri di laman sosial.

“Namun apabila berkaitan dengan kontroversi, laju sahaja. Contohnya apabila saya buka baju, kecoh satu Malaysia. Perkara ini yang mahu saya ubah dalam kalangan masyarakat,” ujar pelantun lagu Sejati itu baru-baru ini.

Mengakui impak dan kepentingan media sosial pada era sekarang, Faizal optimis untuk terus melakukan lebih banyak aktiviti kesukarelawan dalam membantu insan-insan yang memerlukan.

“Sesuatu perkara boleh pantas tersebar dengan kuasa media sosial. Mengapa tidak perihal kemanusiaan atau kesukarelawan dibincangkan atau dikongsikan dengan lebih meluas menggunakan medium tersebut.

“Tugas saya sebagai salah seorang panel dalam persidangan IAVE nanti adalah untuk menguatkan suara yang mewakili isu atau individu yang memerlukan. Saya ingin mengajak lebih ramai artis tempatan untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti sedemikian menggunakan kuasa populariti mereka,” tutur Faizal.

Persidangan IAVE anjuran Yayasan Salam Malaysia akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 hingga 26 November depan. Ia dijangka disertai seramai 350 peserta dari negara-negara Asia Pasifik.

Politik, konsert solo

Dijentik persoalan tentang kemungkinan melibatkan diri dalam kancah politik disebabkan kecenderungannya yang gemar melakukan aktiviti kemanusiaan dan ‘turun padang’ bertemu orang ramai, Faizal tertawa sambil menafikan ada perancangan ke arah tersebut.

“Saya adalah seorang manusia yang tidak akan lari daripada tanggungjawab, namun tidak pernah terfikir untuk bergiat dalam bidang politik. Mudah-mudahan tidak, namun siapa tahu apa akan berlaku pada masa hadapan.

“Apa yang saya ingin lakukan sekarang adalah sentiasa berusaha menjadikan sesuatu keadaan daripada kurang baik kepada lebih baik. Perancangan Tuhan itu meluas dan kita tidak akan pernah tahu,” jelas Faizal yang juga pengasas pergerakan kemanusiaan, iAMFaithmen sejak lebih dua tahun lalu.

Dalam, kesibukan mengumpul material untuk album studio terbaharu, Faizal turut mengumumkan bakal mengadakan konsert solo sekitar bulan Disember tahun ini.

“Muzik saya masih lagi seperti dahulu. Masih rock, namun dari segi perkongsian lirik, ia lebih meluas dan menjurus ke arah nilai positif sesuai dengan peredaran usia.

“Bercakap tentang konsert, insya-Allah saya masih berbincang dengan Warner Music untuk merealisasikan impian tersebut. Lokasi masih belum diputuskan, namun pasti di sekitar Kuala Lumpur,” kongsinya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post