Identiti konkrit Monoloque


Loque merupakan peneraju Monoloque.

Dalam kelembapan sambutan terhadap penghasilan album studio penuh, khususnya dalam kalangan pelaku seni tanah air, Monoloque hadir dengan album berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa yang memuatkan 12 buah trek.

Terlebih dahulu, syabas buat Monoloque yang berani mempertaruhkan satu karya yang boleh disifatkan sebagai sungguh kaya dengan identiti tersendiri.

Dianggotai oleh Loque (vokalis), Ijoo (gitaris), Apex (gitaris 2), Dax (bass) dan Loko (dram), banyak perkara yang boleh dibualkan hasil penelitian album terbaharu mereka.

Mengenali muzik alunan Monoloque, band ini sememangnya amat sinonim melahirkan melodi ringan yang mudah hinggap di telinga serta nukilan lirik yang ringkas dan mudah difahami.

Mengambil contoh trek berjudul Cikgu, siapa sangka ada pelaku muzik hebat yang mendedikasikan sebuah lagu tentang pengorbanan seorang cikgu.

Selain Cikgu, lagu Ringgit (Batu Belah Batu Konkrit Corak-2) tidak kurang hebatnya juga. Antara bait liriknya, “duit nak cari duit, kenapa kau tidak tumbuh daripada bawah parit” memang ‘kena’ dengan realiti rakyat hari ini yang tidak akan mampu lari daripada masalah kesempitan duit.

Itulah kuasa Monoloque melalui perkongsian nukilan lirik yang ringkas namun mengesankan.

Single perdana berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa pula cukup lebat dengan pesanan hidup yang berguna. Walaupun ada sesetengah pendengar yang mengklasifikasikan muzik band tersebut sebagai tidak komersial, satu hal yang harus diakui barangkali untuk pasaran arus perdana, banyak ruang yang harus diperbaiki termasuk mentaliti pendengar.

Sejujurnya, menikmati muzik Monoloque seperti sedang melayari kapal layar beralunan muzik Bruce Springteen versi bahasa Melayu. Di situ, mungkin harus diakui, putaran atau penerimaan muzik di Malaysia masih belum menyeluruh seperti di negara lain.

Bebas

Dewasa ini, perkongsian muzik daripada artis tempatan lebih tertumpu kepada nilai cinta antara Adam dan Hawa, sedangkan suatu ketika dahulu perkongsian muzik artis kita bebas untuk meluncur di mana-mana.

Mengambil contoh lagu malar segar, Hujan dendangan Allahyarham Sudirman atau Hijau daripada Datuk Zainal Abidin, dua lagu itu mekar harum menjadi halwa telinga pendengar tanpa mengenal zaman walaupun tidak bercerita tentang kisah cinta klise. Mendalam pengisian lirik dan bebas daripada butiran kisah cinta, barangkali itu pendekatan yang digunakan oleh Monoloque.

Jika Aku Seorang Robot menonjolkan betapa telus perkongsian muzik Monoloque. Lirik yang ringkas, mudah difahami namun mengesankan.

Kalau dihitung berapa penyanyi tempatan yang sudi ‘berkata benar’ melalui muzik, memang mininum. Monoloque adalah yang satu antara sejuta.

Monoloque bukan suatu nama komersial yang menjadi laungan ramai, namun kumpulan tersebut mempunyai kualiti muzik yang jarang ada pada bahu pelaku muzik hari ini.

Barangkali kurang mendapat sambutan di arus perdana, namun melekat untuk mereka yang benar-benar faham makna apresiasi muzik yang sepatutnya bersifat pelbagai.

Tidak mengapa andai sebuah album dipakej atau dikumpul semula untuk memancing perhatian pendengar yang kini hanyut dengan pukulan muzik beridentiti ‘latin’, bingit electronic music dance (EDM) atau untaian lagu yang terlalu berkiblat 1990-an. Kata orang, usaha itu tangga kejayaan.

Buat Monoloque, terus pacu perkongsian muzik Melayu kerana itu adalah lambang dan suara yang mewakili negara Malaysia melalui kuasa muzik di mata dunia.

Semua harus tahu, penyanyi yang tidak malu bertanjak di mana-mana cara itu ada satu, iaitu Monoloque.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post