Finalis FFM29 diumumkan pada malam anugerah


Pengerusi Finas merangkap Penasihat FFM29, Khusairi (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas merangkap Pengarah FFM29, Zulkifli (kiri) dan Ketua Pengarah Finas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Fauzi memegang trofi FFM selepas sidang akhbar di Finas baru-baru ini.

Jika diungkap soal penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM), pastinya masih segar dalam ingatan penggiat filem tanah air berkenaan insiden kontroversi yang berlaku dalam penganjuran edisi tahun lalu.

Manakan tidak, festival yang sepatutnya mengangkat kualiti karya sinema Malaysia itu panas apabila wujud isu bahasa yang menjadi pertikaian ramai sehingga akhirnya mencetuskan dua kategori filem terbaik iaitu Filem Terbaik Nasional dan Filem Terbaik Malaysia.

Justeru, bagi mengelakkan sebarang kontroversi berlaku, Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) pada tahun ini tidak akan mengumumkan senarai lima filem terbaik sebelum malam anugerah berlangsung.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) selaku Penasihat FFM29, Datuk Mohd. Khusairi Abd. Talib berkata, pengumuman hanya akan dibuat sewaktu malam anugerah yang dijadualkan berlangsung pada 23 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

“Pelbagai kontroversi dilalui dalam penganjuran FFM28 pada tahun lalu, justeru bagi mengelakkan perkara sama berulang, kami mengambil pendekatan untuk tidak mengumumkan lima filem terbaik yang dipertandingkan tahun ini.

“Selain itu, ia juga merupakan strategi Finas untuk menarik minat semua penggiat filem hadir memeriahkan malam anugerah nanti memandangkan anugerah tahun lalu hanya dihadiri oleh penggiat filem yang karyanya telah disenarai pendek,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman tarikh FFM29 di Pawagam Mini P. Ramlee, Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran FFM29, ujar Khusairi, sehingga kini pihaknya mendapat sambutan positif dalam kalangan penggiat filem yang menghantar karya mereka untuk dipertandingkan.

Lebih menarik, terdapat juga beberapa naskhah yang belum ditayangkan di pawagam, namun dianggap layak bertanding setelah ia memenuhi syarat penyertaan iaitu tidak pernah menyertai siri FFM dan mendapat Sijil Penapisan Filem pada atau sebelum 31 Julai tahun ini.

“Sehingga kini kami sudah menerima penyertaan sebanyak 42 buah filem cereka. Bagaimanapun, kami menyasarkan penyertaan ini akan bertambah sehingga tarikh tutup penyertaan pada 3 September lalu.

“Antara filem yang sudah menghantar penyertaan adalah Hanyut, Kau Yang Satu, Redha, Interchange, Adiwiraku dan Lebuhraya Ke Neraka,” katanya.

Kelainan

Dalam pada itu, Pengarah FFM29, Mohd. Zulkifli Abdul Wahab pula berkata, kelainan yang akan ditonjolkan selari dengan tema Transformasi Citra Karya pada penganjuran festival tahun ini adalah lebih kepada program pembangunan modal insan.

Tema berkenaan juga dipilih sempena untuk meraikan usia sinema Malaysia yang sudah mencapai 84 tahun. Selama usia itu, sinema tempatan dilihat bergerak seiring dengan transformasi pembikinan dan teknologi untuk membangunkan karya yang mencerminkan identiti tempatan.

“FFM29 dianjurkan bukan untuk bersuka ria tetapi, lebih kepada keilmuan dan teknikal untuk penggiat filem. Justeru, kami menjemput panel dari Amerika Syarikat dan India untuk memeriahkan program yang telah dirancang seawal 14 hingga 22 September ini.

“Antara program yang dirancang adalah Connect Asia Symposium & Networking Program, Masterclass: American Society of Cinematographers dan Bicara Sutradara Asia.

“Selain itu kami juga akan mengadakan program imbas kembali untuk menerokai keperibadian dan falsafah yang dipegang oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin,” katanya.

Terdahulu, FFM29 mendapat kerjasama daripada Persatuan-Persatuan Perfileman Tempatan seperti Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Gabungan Karyawan Filem (Gafim), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) termasuk Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Ia juga mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post