Penantian berbaloi Atilia Haron


Barangkali telah tertanam sifat tekun dalam diri Atilia Haron sejak awal kemunculannya sebagai penyanyi. Masakan tidak, setiap kali hasrat untuk membikin sebuah album penuh singgah mencuit hati, ia pasti akan berlanjutan untuk satu tempoh yang agak lama.

Banyak perkara melibatkan proses produksi begitu dititikberatkan Atilia. Bermula dengan sekecil-kecil hal kreatif seperti pemilihan warna untuk sampul cakera padat sehingga urusan susunan muzik pada setiap lagu yang telah siap dirakam, anak kepada penyanyi Salamiah Hassan itu tidak pernah gagal memberikan input dalam karyanya.

Justeru, tidak hairan jika pemilik nama lengkap Raja Putri Atilia Raja Haron itu menghabiskan masa selama hampir tiga tahun bagi menyiapkan album studio ketiganya yang berjudul No.3.

“Sejak dahulu lagi, saya begitu cerewet dalam menghasilkan album. Setiap perkara perlu berlaku di hadapan mata agar hasil akhirnya kelak memuaskan hati saya.

“Mungkin disebabkan sifat cerewet dan ketelitian saya untuk menyiapkan sesebuah lagu, proses penerbitan album ketiga ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan,” katanya usai melancarkan album ketiganya di Alexis, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Selangor baru-baru ini.

Biarpun begitu, Atilia menegaskan, selain sifat cerewet, kelewatan proses pembikinan album ketiganya itu juga disebabkan oleh beberapa perkara lain yang berlaku sepanjang tahun lalu.

“Ketika sedang mengumpulkan material untuk album ketiga, saya juga sibuk menguruskan studio yoga kepunyaan saya iaitu Yogaonethatiwant Studios. Jadi, masa yang ada sedikit terhad memandangkan saya juga merupakan tenaga pengajar untuk kelas-kelas yoga yang ditawarkan oleh studio.

“Pada masa sama, bapa saya, Raja Haron Raja Aziz diserang sakit jantung. Jadi, proses rakaman album terpaksa ditangguhkan untuk beberapa bulan,” katanya yang bersyukur kerana keadaan ayahnya telah kembali pulih seperti sediakala.

Komersial

Bercerita lanjut mengenai album tersebut, No.3 yang mengandungi sembilan buah lagu kedengaran sedikit berbeza jika dibandingkan dengan dua albumnya terdahulu, iaitu Sangkar (2007) dan Indah (2010).


Atilia bersama tenaga belakang tabir di sebalik penerbitan dan pembikinan album No. 3, antaranya termasuk (dua dari kiri) Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Daren Choy dan suaminya, Adam Sofian (kanan sekali).

Tutur Atilia, walaupun buah tangan terbaharunya itu digarap dengan pelbagai elemen komersial, namun No.3 masih mengekalkan signatur muzik jazz yang diperjuangkannya sejak sekian lama.

“Saya tidak mahu album ini kedengaran terlalu berat dan serius. Sebagai contoh, saya muatkan lagu Bahagiaku yang menampilkan elemen rancak dan beberapa lagu berentak balada seperti Sandaranku dan Kurnia Syurgawi.

“Bagaimanapun, elemen jazz masih dikekalkan menerusi dua buah lagu bahasa Inggeris iaitu No Fruits For Today dan Realize,” katanya.

Selain Atilia yang bertindak sebagai penerbit eksekutif, album yang meminjam sentuhan daripada Jason Voo selaku penerbit itu turut menggunakan khidmat daripada komposer lain seperti Tok Khon, Adam Sufian dan seorang penggubah lagu Indonesia, Choky Naninggolan.

Selain itu, Atilia turut merakamkan kembali dua buah lagu yang pernah dipopularkan oleh ibunya iaitu Cinta Mengatasi Segalanya dan Aku Curiga.

Terlanjur bicara mengenai ibu kesayangan, Atilia pernah berhasrat untuk merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi yang terkenal dengan lagu Menghitung Hari itu. Namun, sehingga kini usaha tersebut masih belum menjadi kenyataan.

“Saya berasa agak pelik, setiap kali mahu merakamkan lagu bersama ibu, pasti perancangan tersebut tidak menjadi. Saya pernah mencuba untuk menulis lagu sendiri tetapi hasilnya tidak menepati cita rasa kami.

“Hubungan saya dan ibu sangat rapat. Banyak yang kami kongsikan bersama. Jadi, saya fikir belum tiba masanya lagi atau tiada karya yang sesuai untuk kami nyanyikan bersama.

“Namun, saya berjanji, suatu hari nanti kami pasti akan bergabung bersama sama ada dalam sebuah lagu atau album duet,” kata Atilia yang sebelum ini pernah merakamkan semula lagu Gelombang nyanyian asal Salamiah Hassan dan dimuatkan album keduanya, Indah.


Atilia membelanjakan kurang RM50,000 bagi pembikinan album ini secara keseluruhan.

Jazz Malaysia

Sejak hari pertama memilih bidang nyanyian sebagai karier utama, anak didik penerbit muzik Roslan Aziz itu begitu setia mendukung dan mempromosikan irama jazz dalam setiap karyanya.

Biarpun atmosfera industri muzik tempatan semakin kemarau dek kekurangan pelapis baharu yang benar-benar akrab dengan muzik nyanyian mereka, namun Atilia dilihat masih cekal menjalankan rutin wajib seorang penyanyi dalam melahirkan album secara berkala.

Mengakui agak risau dengan situasi tersebut, Atilia mengharapkan agar usahanya dalam menerbitkan album dapat memberi inspirasi buat penyanyi muda untuk mengembalikan kegemilangan irama jazz tempatan pada masa depan.

“Suatu ketika dahulu, saya berasa agak senang hati apabila irama jazz tempatan dipelopori oleh beberapa nama seperti Noryn Aziz dan Najwa Mahiaddin.

“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, tiada lagi wajah-wajah baharu yang ingin menyanyikan lagu-lagu jazz dalam bahasa Melayu. Jika ada sekalipun, mereka lebih cenderung ke arah jenis muzik baharu yang lebih progresif.

“Justeru, dengan usaha melahirkan album secara kerap seperti ini, saya berharap ia dapat memberi galakan kepada penyanyi muda untuk berkarya dengan muzik jazz,” katanya.

Berbicara perihal penerimaan irama jazz di Malaysia, Atilia berkata, pendengar genre tersebut tidak terlalu menonjol dan hanya kelihatan apabila dia mengadakan persembahan pentas di tempat tertutup.

“Saya akui, lagu-lagu saya tidak menerima tontonan YouTube yang tinggi atau dimuat turun dengan kerap. “Namun, setiap kali saya mengadakan persembahan, mereka pasti datang dan memberikan sokongan. Itu sudah memadai bagi saya,” katanya menutup perbualan

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post