Selain memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM24 bagi filem Cun, Nadiya juga pernah merangkul trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi karya arahan Nik Amir Mustapha bertajuk Terbaik Dari Langit pada FFM27.
Muncul dengan membawakan watak sebagai gadis kelainan upaya, karakter Manis menerusi filem Cun telah membuka mata penonton tentang kehebatan lakonan pemilik nama Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin.
Karakter itu juga telah menobatkan dirinya sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada 2011.
Lebih dikenali dengan nama pentas sebagai Nadiya Nisaa, wanita berusia 32 tahun itu cukup mudah didekati dan memiliki ‘kemahiran’ petah berbicara dan boleh diajak berbual tidak mengira apa jua topik.
Hadir pada majlis sidang akhbar FFM29 di Hotel Parkroyal Kuala Lumpur baru-baru ini, dia ditanya tentang pandangannya mengenai strategi pihak penganjur yang enggan mendedahkan senarai nama pencalonan.
Sempat mengukirkan senyuman sebelum memberikan jawapan, pelakon filem Jejak Warriors itu mengambil pendekatan positif dan bersetuju dengan tindakan tersebut dengan harapan dapat mengelakkan ‘huru-hara’ dalam kalangan khalayak.
“Secara peribadi saya sendiri kurang pasti mengapa mereka mengambil pendekatan sebegitu tetapi ia dilihat dapat mengawal kekalutan peminat yang seakan menjadi tidak tentu arah.
“Jadi lebih baik mereka melakukan cara sebegini selain memberi debaran siapakah artis yang bakal tercalon nanti,” terang Nadiya dalam nada berseloroh saat memperincikan pilihannya.
Menjawab mengenai filem yang diwakilinya, Nadiya memberitahu, dua karyanya iaitu Interchange dan Redha berjaya merebut tempat dalam acara berprestij itu.
Biarpun tidak mengetahui sama ada namanya tersenarai menerusi kategori apa, namun buat Nadiya, memperoleh pengiktirafan atas kegigihan usaha adalah momen bermakna dan mempunyai kepuasan tersendiri.
Selektif
Melihat pada graf lakonannya, Nadiya kini dilihat seperti mengawal kekerapan kemunculan wajahnya di kaca televisyen mahupun layar perak.
Selesa dengan cara sebegitu, ibu kepada seorang cahaya mata itu memilih untuk tidak terlalu terburu-buru dalam menerima tawaran lakonan. Perkara itu baginya bukan sahaja menimbulkan rasa bosan dalam kalangan peminat tetapi bagi memastikan nilai eksklusif diri serta kualiti lakonan.
Tambahan, bukan mudah untuk menjadi individu fantasi yang personalitinya hanya dapat digambarkan dalam kotak fikiran pengarah mahupun penulis skrip.
“Saya tidak mahu terlalu tamak hanya kerana ingin melakukan perbagai perkara dalam satu masa.
“Biarlah segalanya dilakukan satu per satu bagi memastikan kualiti selain dapat memberi tumpuan sepenuhnya.
“Bukan mudah menjadi individu berbeza daripada diri sendiri terutama apabila kita perlu menjiwai watak dan merasai pengalaman yang tidak pernah dilalui secara realiti.
“Jadi, saya perlu bijak membuat keputusan dalam soal pemilihan watak dan naskhah dengan cara selang-seli antara karakter komedi dan serius,” terang Nadiya memperincikan tentang pemilihan corak filem mahupun drama yang ingin dilakonkan.
Selepas melakonkan watak serius yang memerlukan lebih penghayatan emosi, Nadiya akan melibatkan diri dengan naskhah berbentuk komedi agar dapat melupuskan karakter terdahulu sebelum memulakan penggambaran seterusnya.
Bukan sekadar bimbang sekiranya gagal mempamerkan mutu lakonan berkualiti, namun Nadiya juga menyedari kemampuan diri selain berfikiran secara realistik bagi memastikan setiap tanggungjawab diberikan dapat dilunaskan dengan sempurna selain tampak semula jadi.
Idealistik Nadiya itu juga dapat memberinya ruang untuk menghabiskan masa buat diri sendiri atau bersama keluarga dan kenalan terdekat sekiranya tidak terikat dengan jadual kerja.
Beralih kepada pertanyaan tentang kemampuan menterjemahkan watak, dalam nada merendah diri, Nadiya menafikan dirinya sarat dengan metod lakonan sehingga kualiti lakonannya tidak perlu dipertikai.
Sedar diri
Keluarga- Nadiya lebih selesa menghabiskan masa bersama keluarga terutama cahaya mata sulungnya, Omar Saiful Razman, 6, dan suami berbanding pergi bercuti ke luar atau dalam negara.
Tidak lekang mengukirkan senyuman, pelakon drama rantaian Adam Hawa itu mengakui bukan mudah untuk membawakan watak serius sepanjang masa. Dia juga berasa bangga apabila melihat pelakon lain mampu membawakan watak sebegitu dalam tempoh yang lama.
Nadiya menamakan pelakon Nabila Huda dalam Dendam Aurora dan Anzalna Nasir (Memori Cinta Suraya) antara anak seni yang dikagumi kerana kerap terlibat dengan naskhah berbentuk telenovela.
Buat Nadiya, penglibatannya sewaktu menjayakan 80 episod drama rantaian Adam Hawa pada tahun 2012 telah mewujudkan sentimen berbeza terhadap karya telenovela.
Katanya, setelah hampir lima bulan karakter dan menjalani rutin harian yang sama, adakalanya dia sendiri hilang kawalan dan lupa diri.
Biarpun dia kembali menjalani kehidupan seperti biasa, namun kadang-kala tingkah laku dan personalitinya berubah berbanding biasa.
Isteri kepada Saiful Razman Mohd. Kassim itu turut berterima kasih kepada suami kerana banyak membantunya sedar diri dan kembali ke alam realiti.
“Apabila saya terlalu mendalami watak, adakalanya ia seakan terbawa-bawa ke kehidupan peribadi.
“Suami adalah orang yang paling kerap menegur saya. Dia akan memberitahu saya untuk tidak terlalu menjadi orang lain dan kembali menjalani rutin seperti biasa.
“Kedengaran agak lucu tetapi situasi tersebut antara yang kerap dialami oleh kebanyakan pelakon sehingga memperuntukkan mereka untuk meluangkan waktu bercuti,” ujar Nadiya seraya tersenyum.
Tidak dinafikan dirinya kerap terlupa akan identiti diri sendiri, namun Nadiya berjaya mengawal dan membendung perkara tersebut tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan nasihat pakar atau doktor psikologi.
Lebih dihormati
Selain bercerita tentang aktiviti seni, Nadiya turut tidak ketinggalan berkongsi fasa kehidupannya selepas hampir setahun mengenakan hijab.
Berusaha menjalani kehidupan sebagai muslimah dalam menyempurnakan tuntutan menutup aurat, Nadiya juga melihat transisi itu menjadikan dirinya lebih dihormati.
Diberikan lebih kelonggaran terutama untuk menunaikan solat lima waktu, pelakon lelaki yang ingin melakukan babak bersentuhan juga akan meminta keizinannya terlebih dahulu.
“Mereka juga menghormati privasi saya dengan menyediakan sebuah bilik berasingan bagi kemudahan untuk menukar pakaian dan solekan di lokasi.
“Kru akan datang bertanyakan sekiranya penggambaran boleh diteruskan sebelum menunaikan solat, padahal ramai juga pelakon wanita tidak bertudung tetapi bersembahyang ketika berada di lokasi.
“Barangkali itu pandangan mereka terhadap wanita bertudung membuatkan saya berasa terharu dan bersyukur,” jelas Nadiya bersahaja.
Personaliti bertudung juga tidak membataskan dirinya untuk mempamerkan keberkesanan lakonan seperti biasa.
Imej bertudung bukan sahaja menggambarkan penghijrahan dalam hidupnya tetapi memberi cabaran baharu dalam bidang lakonan.
“Pada saya, imej bertudung bukan penghalang tetapi ia memberi cabaran untuk menjadi lebih kreatif dan berfikir di luar kotak terutama apabila ingin menterjemahkan karakter,” ulas Nadiya menutup perbualan.