Nabil Ahmad tarik golongan muda


Perjalanan hidup selebriti popular, Nabil Ahmad bagaikan satu transformasi baru sejak dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT pada 2015.

Walaupun sudah bergelar ‘Pak Haji’, artis berusia 34 tahun ini masih terlibat dalam industri seni dan terus kekal dengan identiti lamanya iaitu seorang yang mudah didekati ramai.

Menambahkan lagi portfolio, bintang filem Sifu & Tongga ini juga dijemput memberi ceramah kepada orang ramai yang lebih bersifat perkongsian pengalaman.

Lebih menggembirakan, perkongsian itu mendapat sambutan golongan muda malah pernah viral mengenai amalan bersedekah tiga tahun lalu.

"Oleh sebab respons menggalakkan dan atas tujuan baik, saya anggap jemputan tersebut sebagai salah satu cara berdakwah,” katanya kepada Media Hiburan.

Biarpun melakukan perkara positif, niat pengacara MeleTOP ini sering disalahertikan lantas wujud pelbagai kecaman dan kritikan masyarakat.

"Terus-terang, saya dah lali dengan kecaman. Apabila saya duduk berbincang dengan ustaz, mereka sendiri pun menerima kecaman yang sama.

"Mahu atau tidak, saya kena terima sebab itu adalah cabarannya. Lihat sendiri zaman Rasulullah SAW, bagaimana Baginda menerima tentangan demi menyebarkan agama Islam. Inikan pula kita yang kerdil?

"Jadi, baik saya buat tak tahu dan biarkan apa saja orang nak cakap. Apa yang penting kita tahu apa yang terbaik untuk dilakukan. Bagi saya, setiap perkongsian itu boleh memberi kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Ikon Rumah Ngaji Negeri Sembilan

Dalam pada itu, kesungguhan Nabil mempelajari al-Quran dipermudahkan menerusi pelantikannya sebagai Ikon Rumah Ngaji Negeri Sembilan.

Bersyukur di atas penghargaan, pengacara Gegar Vaganza ini menyifatkan pelantikan itu sebagai permulaan untuk kembali semula mendekatkan diri dengan al-Quran.


Mengakui pada awalnya keberatan menerima tawaran berkenaan namun rakan dan keluarga banyak memberi sokongan.

"Lagipun, saya sedar kerjasama ini serius dan ia bukanlah lantikan secara on off kerana ia laluan berterusan.

"Sebab itu jugalah cita-cita saya (pandai mengaji) sebelum mak dan ayah saya menutup mata,” katanya.

Dek pelantikannya itu, Nabil dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) bakal kerjasama menerusi program Neghori 9 #QuranHour pada 25 September ini.

Program ini adalah slot tambahan dalam penganjuran Karnival Jom Boli yang diusahakan bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Pusat Zakat Negeri Sembilan dan bakal berlangsung di Dataran Asnaf, Menara Mains, Seremban, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula 23 September ini.

Belajar mengaji

Pada masa sama, katanya, Neghori 9 #QuranHour turut melancarkan kempen MyFamily #QuranHour yang lebih berfokus kepada pembentukan keluarga berasaskan al-Quran.

Nabil juga mahu anak-anaknya diberikan cukup pendidikan agama sebelum fokus kepada perkara lain dalam hidup mereka.

Sebagai selebriti yang sentiasa sibuk, Nabil berkata, dia menjemput ustaz yang mengajar mengajar mereka sekeluarga mengaji bersama.

“Malangnya ia hanya mampu bertahan sebulan dua sebab jadual kerja saya yang padat. Tapi, Alhamdulillah, isteri saya pun dah pandai mengaji," katanya yang masih mencari seorang ustaz yang sedia mengajar mengikut kesesuaian masanya.

Atas inisiatif sendiri, bintang filem Magika ini turut menghantar puteri sulungnya, Naera Mikayla ke sekolah berteraskan pendidikan agama.

“Sebelum ini, saya ada menghantarnya ke kelas Mandarin. Saya lihat, dia mampu belajar dan bertutur dengan baik.

“Saya rasa kalau dalam usia begini muda, saya dah terapkan dia dengan aktiviti mengaji, ia akan lagi senang dan cepat. Saya mahu dia pandai mengaji dan belajar al-Quran kerana ia teras hidup sebagai seorang Muslim. Saya tak mahu dia jadi macam saya dulu, dek nakal saya tak habis mengaji al-Quran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabil melalui Nabil Production menerbitkan program Tazkirah Viral yang kini bersiaran di Astro Oasis (saluran 105) pada setiap Selasa, jam 9.30 malam.

Pada masa sama, syarikat produksinya juga bakal muncul dengan program terbaru, Fans Fanatik pada Oktober depan.

"Saya juga sedang dalam proses menulis skrip telemovie, Marwah," katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post