Zahiril Adzim tidak kejar anugerah


Zahiril Adzim bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul One Two Jaga yang menyaksikan dia memegang watak sebagai anggota polis.

Pelakon dan pengarah Zahiril Adzim mengakui sasaran utamanya selepas terlibat dalam mana-mana drama atau filem bukanlah untuk mengejar habuan anugerah. Sebaliknya Zahiril berkata, apa yang penting adalah penerimaan oleh peminat terhadap mesej yang cuba disampaikan dalam setiap naskhah lakonannya.

Aktor filem Bunohan itu sentiasa berharap agar peminat pada masa kini membuka minda dengan menilai segala mesej yang cuba disampaikan berbanding hanya melihat paparan luaran sesebuah cerita semata-mata.

Memberi contoh filem lakonannya berjudul Pekak yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mengandungi babak rogol serta didakwa menjatuhkan maruah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), Zahiril menegaskan, masyarakat perlu dididik dengan sebuah naskhah yang berbeza.

Ikuti temu bual bersama pelakon drama Juvana itu ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) baru-baru ini yang menyaksikan Pekak turut tersenarai dalam kategori Anugerah Utama festival itu.

KOSMO!: Bersempena dengan penganjuran FFM29 pada tahun ini, filem lakonan Zahiril berjudul Pekak tercalon dalam kategori Anugerah Utama. Jadi, apa perasaan dan komen anda mengenainya?

ZAHIRIL ADZIM: Pertama sekali, saya bersyukur kerana Pekak berjaya tersenarai sebagai calon filem terbaik.

Untuk filem Pekak, saya melihat ada persaingan sengit kerana banyak naskhah lain turut tercalon seperti Interchange dan Hanyut.

Namun, bagi kategori lain, untuk pelakon saya tidak boleh komen kerana masih belum tahu sama ada nama tercalon ataupun tidak.

Terus terang saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang kerana percaya pelakon lain yang tersenarai juga telah memberi yang terbaik.

Sebagai seorang pelakon, adakah penting bagi anda untuk menang apa jua bentuk anugerah atas karya yang diusahakan?

Pada saya tidak. Anugerah bukan soal utama tetapi apa yang saya inginkan adalah penerimaan karya kami sebagai anak seni diiktiraf masyarakat.

Seperti contoh untuk filem Pekak, saya mengaku ada sedikit rasa kecewa kerana timbul beberapa kontroversi kurang enak.

Walaupun nampak kasar tetapi banyak mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini.

Baiklah, beralih kepada perkembangan terkini anda. Apa yang sedang anda kerjakan sekarang?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama 26 episod untuk saloran Astro Oasis berjudul Perempuan Paling Bahagia.

Dalam drama ini, saya bergandingan dengan isteri sendiri, Shera Ayob memandangkan syarat yang ditetapkan saluran berkenaan juga diharuskan pasangan suami isteri.

Selain faktor berlakon dengan isteri, apa yang membuatkan saya tertarik dengan drama ini adalah ilmu dan mesej yang cuba disampaikan mengenai ibu susuan tumpang. Kalau diikutkan, saya sendiri kurang mengetahui tentang ibu tumpang kerana karya sebegini belum pernah dibuat orang.

Selain dapat menimba ilmu, pada masa sama drama ini juga membantu menyebarkan maklumat tentang ibu tumpang kepada masyarakat.

Selepas drama Juvana dan terkini Perempuan Paling Bahagia, mungkin ada cabaran tertentu berlakon bersama isteri sendiri?

Memang betul, nampak sahaja mudah tetapi berlakon dengan isteri sendiri susah sebenarnya. Sebab kadang-kadang perbincangan mengenai kerja terbawa-bawa sampai ke rumah.

Cabaran utama berlakon dengan isteri adalah sukarnya membawa babak romantik sebab kami berdua sedia maklum realitinya kami bukan begitu (ketawa).

Tidak dinafikan kami banyak berselisih pendapat ketika berlakon bersama sebab masing-masing ada prinsip sendiri.

Bagaimana pula dengan bidang pengarahan yang sudah lama anda tinggalkan?

Kalau diikutkan memang saya teringin sangat untuk berehat daripada dunia lakonan dan mahu fokus kepada bidang pengarahan pula.

Sebab sekarang industri ada ramai wajah baharu dan rasa sangat rugi kalau tidak kongsi ilmu yang ada kepada mereka.

Insya-Allah, mungkin penghujung tahun ini atau tahun depan saya akan berehat seketika dan kembali mengarah.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post