Gema seni tradisional martabat lagu Melayu Asli


Bekas juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan dari tahun 2006 sehingga 2014 terdiri daripada, dari kiri; Fitri, Azizzul, Hazra, Edie dan Abby.

Acara tahunan Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (Putra) di bawah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kini kembali lagi dengan persembahan yang berbeza. Jika tahun sebelumnya penonton dihidangkan dengan seni keroncong, kali ini penonton akan dibawa menghayati keindahan lagu Melayu Asli.

Gema Seni Tradisional tahun ini bertemakan Malam Kemala Irama bakal menampilkan Ratu Pop Etnik tempatan, Noraniza Idris bersama barisan juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan dari tahun 2006 sehingga 2014 yang juga graduan Aswara di iaitu Edie Nazrin, Abby Sabiha, Azizzul, Hazra, Myra Rahim dan Fitri Hiswady.

Istimewanya, persembahan yang berlangsung pada 19 September ini di Panggung Eksperimen Aswara bermula pukul 8.30 malam diadakan secara percuma khas untuk peminat lagu asli dan juga penduduk di sekitar Kuala Lumpur.

Inisiatif

“Biasanya penonton tempatan sering dipersembahkan dengan lagu-lagu moden, jadi ini salah satu inisiatif yang amat baik untuk memartabatkan lagu Melayu Asli.

“Sebagai salah seorang pejuang lagu Asli pentas seperti Malam Kemala Irama ini yang dinantikan kami. Memang bukan mudah untuk menyanyikan lagu Melayu Asli dan tidak ramai orang muda yang meminatinya. Namun, jika tiada orang yang memperjuangkannya, pasti ia akan terkubur begitu sahaja,” kata Fitri yang merupakan juara program Dangdut Star 2016.

Bercakap mengenai sambutan, Edie Nazrin yang merupakan Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2006 memberitahu, saban tahun acara Gema Seni Tradisional sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton. Tarikan utamanya adalah persembahan itu sendiri selain kemasukan percuma.

“Memang lagu Melayu Asli tidak popular seperti lagu genre lain, tetapi ia mempunyai pengikut yang tersendiri. Begitu juga dengan irama tradisional yang lain. Berdasarkan pengalaman, setiap kali acara Gema Seni Tradisional berlangsung, ia pasti akan penuh dengan penonton.

“Justeru tahun ini, pihak penganjur telah mengambil langkah persediaan dengan menambah 50 buah kerusi di Panggung Eksperimen Aswara yang boleh memuatkan sekitar 300 orang dalam satu-satu masa. Sebelum ini ada penonton yang terpaksa berdiri dan terpaksa menikmati persembahan daripada luar panggung sahaja,” kata Edie.

Menyambung lebih lanjut mengenai Malam Kemala Irama itu, kesemua penyanyi yang diundang bakal memberi persembahan istimewa dengan berduet bersama Noraniza. Selain itu, mereka juga akan menonjolkan keistimewaan vokal masing-masing apabila berentap dalam segmen Adu Suara menerusi lagu Seri Mersing.

“Rasanya ini kali pertama persembahan tradisional mempunyai segmen Adu Suara. Kami semua akan berentap menyanyikan lagu Seri Mersing dalam lenggok yang berbeza, tetapi masih dalam genre tradisional.

“Diakui agak mencabar, tetapi saya yakin ia akan memberi persembahan yang berbeza kepada penonton,” tutur Hazra.

Post a Comment

Previous Post Next Post