Nabila Razali tangguh pengajian


Selain menyanyi, Nabila Razali terkenal sebagai seorang pelakon. Dia kini sibuk di lokasi penggambaran drama Matahari Cerah Lagi.

Sejak mula menjadi perhatian selepas membintangi drama berjudul Hikayat Cinta Si Pematah Hati, pelakon Nabila Razali akui dirinya kini semakin sibuk dengan jadual seni yang padat.

Ternyata peluang kedua buat bekas bintang program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013) kali ini tidak dipersiakan begitu sahaja apabila sanggup menangguh selama dua semester pengajiannya dalam jurusan seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ditemui semasa sidang akhbar karnival KLXtravaganza baru-baru ini, wanita berusia 25 tahun itu optimis dengan pilihan yang dibuat semata-mata memberi laluan kepada kerjaya seni yang sedang menyinar sekarang.

KOSMO!: Selain penyertaan dalam karnival, boleh kongsikan perkembangan terkini Nabila?

Nabila: Sekarang saya sedang sibuk dengan promosi single baharu yang berjudul Pematah Hati. Buat pengetahuan, lagu ini disiapkan selepas drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati. Memandangkan ia diinspirasikan daripada drama berkenaan, jadi mudah untuk saya menghayati lagu ini.

Siapa yang mencipta lagu tersebut?

Lagu ini merupakan hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Sebenarnya ia kesinambungan dari single Cemburu dan masih mengekalkan genre sama iaitu happy pop. Biarpun kedua-dua judul lagu ini seperti negatif, namun genre happy pop mampu menukarkan kesedihan jalan cerita di sebalik lagu ini kepada aura gembira.

Bagaimana pula dengan kerjaya anda dalam bidang lakonan?

Alhamdulillah, selepas tamat drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, saya telah disunting oleh Global Station untuk drama yang akan ditayangkan di RTM berjudul Matahari Cerah Lagi. Penggambaran drama sebanyak 26 episod ini sudah pun bermula sejak 12 September lalu.

Boleh komen sedikit apabila ramai pihak mendakwa bakat anda dalam bidang lakonan sebenarnya lebih menyerlah berbanding nyanyian?

Benar, jika diikutkan perancangan saya masih lagi dalam rangka mempromosikan lagu Pematah Hati, tetapi nampaknya peluang lakonan untuk saya lebih cerah. Alhamdulillah, saya anggap ia rezeki dan seperti tidak elok sekiranya menolak tawaran itu. Saya ambil apa sahaja tawaran yang datang dengan hati terbuka dan berharap dapat menggerakkan bidang lakonan serta nyanyian seiring.

Disebabkan saya tidak mahu terlepas atau tidak fokus dalam sesuatu kerja, jadi saya mengambil keputusan menangguhkan pengajian dalam jurusan seni bina di UIA selama dua semester. Jika tiada sebarang halangan, pengajian saya akan disambung pada tahun hadapan.

Adakah ia membawa maksud tahun hadapan anda akan berhenti berlakon dan bernyanyi?

Tidak juga, saya akan melihat kepada situasi ketika itu. Jika masih diberikan tawaran dalam bidang seni, saya akan menangguh lagi pengajian.

Benar ada yang mempertikaikan soal lambat menghabiskan pengajian, namun ia bukan satu masalah besar kerana ramai anak seni yang masih belajar di universiti walaupun sudah meningkat usia. Selagi peminat mahukan saya dalam industri ini, selagi itu saya akan cuba memberikan yang terbaik buat mereka. Keluarga juga menyokong keputusan ini.

Adakah anda akan terus menjadi pelaku seni selepas tamat pengajian nanti?

Sebenarnya cita-cita saya ialah mahu menjadi seorang pensyarah. Namun, memandangkan jalan saya dalam bidang seni lebih meluas jadi saya tidak akan melepaskan peluang ini. Sekiranya ada rezeki, saya rasa tiada masalah untuk seimbangkan antara kerjaya sebagai pensyarah dan sebagai anak seni.

Bagaimana pula dengan cinta?

Untuk pengetahuan, saya baru sahaja putus cinta pada bulan Jun tahun lalu. Disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya, kesedihan akibat putus cinta itu berjaya dilupakan. Buat masa ini biarlah saya fokus kepada nyanyian dan lakonan serta pelajaran. Soal cinta, jika ada jodoh saya pasti tidak akan menolak.

Post a Comment

Previous Post Next Post