Debut kolaborasi Ayda Jebat dan Shaheizy Sam


Sam senang berkolaborasi bersama Ayda yang disifatkannya sebagai periang dan pencetus suasana ceria.

Sekitar Januari tahun lalu, Kosmo! mengganding Ayda Jebat dan Shaheizy Sam dalam sebuah sesi fotografi bagi mengisi ruang muka hadapan sisipan HabHib sempena keluaran istimewa tahun baharu.

Dua pelakon berlainan liga itu sengaja dipotretkan bersama memandangkan tahun sebelumnya, iaitu tahun 2015 disifatkan khalayak sebagai tempoh gemilang bagi lonjakan karier lakonan dua nama besar tersebut.

Populariti Ayda naik mendadak selepas dua drama bersiri lakonannya, Rindu Awak 200% dan M.A.I.D mengungguli carta rating stesen televisyen tempatan, sementara Sam pula berjaya mencipta kegilaan luar biasa selepas filem aksi lakonannya, Polis Evo diiktiraf sebagai antara filem pecah panggung paling laris dengan kutipan sebanyak RM17.47 juta.

Ironi, titik pertemuan yang diaturkan pada waktu itu berlanjutan ke ruang lingkup lebih besar apabila Ayda menamakan Sam sebagai calon hero yang dirasakan sesuai bergandingan bersama menerusi filem debutnya, Pinjamkan Hatiku.


Trailer Pinjamkan Hatiku

Serasi

“Ketika tawaran datang daripada pihak produksi, pengarahnya, Osman Ali meminta pendapat saya mengenai siapakah yang sesuai memegang watak Naufal, iaitu watak hero dalam filem Pinjamkan Hatiku.

“Kebetulan, saya baru selesai menjalani sesi fotografi bersama Shaheizy Sam. Disebabkan ada keserasian, saya terus mencadangkan namanya kepada pihak produksi,” kata Ayda ketika ditemui pada majlis pelancaran sedutan filem tersebut di RedBox, The Gardens baru-baru ini.

Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 25, pemilihan Sam dibuat bukan sekadar pengaruhnya selepas letusan Polis Evo, tetapi kredibiliti aktor terbaik Festival Filem Malaysia Ke-24 itu sebagai seorang pelaku seni.

“Sam merupakan pelakon versatil yang mampu memberikan jiwa dalam lakonan. Bekerja dengannya membawa sisi berbeza dalam gaya penyampaian saya di hadapan kamera.

“Tambahan pula, dia seorang yang komited dan sentiasa memberikan fokus penuh terhadap kerjayanya,” ujar Ayda yang membawakan watak Laila Safitri menerusi filem tersebut.

Bercerita lanjut, Ayda berkata, filem yang diterbitkan oleh Aurawhite Global Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Film Sdn. Bhd. itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Selain jalan cerita, naskhah tersebut turut menampilkan sinematografi menakjubkan dan lakon layar yang begitu mengagumkan.

“Banyak halangan yang terpaksa kami tempuh sepanjang pembikinan filem ini. Kami perlu memanjat bukit untuk ke Air Terjun Pelangi yang terletak di Sungai Lembing, Pahang, meredah sungai dan bermandi peluh semata-mata mahu mendapatkan hasil terbaik.

“Saya berharap agar segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang penggambaran berbaloi dan penonton dapat menerima buah tangan pertama saya ini seadanya,” ujarnya lagi.

Perjalanan

Bercerita lanjut mengenai cabaran ketika pembikinan filem Pinjamkan Hatiku, Sam berharap agar penonton dapat merasai sendiri perjalanan pelakon-pelakon yang terlibat ketika melunaskan penggambaran yang memakan masa lebih 30 hari tersebut.

“Tidak dinafikan, perjalanan kami sebagai pelakon sedikit berliku, lebih-lebih lagi apabila pengarah mahukan hasil yang terbaik bagi setiap babak.

“Penonton mungkin tidak dapat membayangkan apa yang telah kami lalui sepanjang proses penggambaran. Namun, penonton dapat merasai sendiri proses tersebut apabila melihat hasil akhirnya kelak,” katanya.

Menyorot kembali perjalanan Sam menerusi filem tersebut, pelakon yang pernah memenangi Anugerah Bintang Paling Popular pada penganjuran Anugerah Bintang Popular ke-25 dilihat begitu komited dalam menjelmakan watak Naufal.

Menerusi watak tersebut, Sam yang pada asalnya kelihatan sasa selepas menjayakan filem Polis Evo mengurangkan berat badannya sebanyak lapan kilogram (kg).

“Mungkin ada yang perasan, pernah satu ketika sekitar tahun lalu, wajah saya kelihatan sedikit cengkung. Hal ini kerana, saya mengurangkan berat badan dari 65 kg menjadi 57 kg demi watak ini.

“Berat badan saya diturunkan selari dengan proses penggambaran kerana mahu penonton ikut memerhatikan perubahan fizikal yang berlaku terhadap Naufal sepanjang perjalanan cerita.

“Menerusi perubahan tersebut, penonton boleh meneka apakah yang berlaku terhadap dirinya sehingga mencetuskan konflik di antara Laila dan Doktor Hasnan, yang dilakonkan oleh Farid Kamil,” katanya yang menjadikan sup sayur dan air kosong sebagai menu harian sepanjang proses menurunkan berat badan.

Pinjamkan Hatiku mengisahkan tentang seorang penulis novel bernama Laila Safitri (Ayda Jebat) yang pulang ke kampung halaman untuk menyiapkan karya terbaharunya.

Ketika berada di sana, bibit cinta mula terbit apabila Laila jatuh hati dengan rakan sekolahnya yang bernama Naufal (Shaheizy Sam). Bagaimanapun konflik mula timbul apabila munculnya seorang lelaki bernama Doktor Hasnan (Farid Kamil) yang turut menyimpan rasa terhadap Laila Safitri.

Serik

Melanjutkan bicara mengenai kesanggupan menyeksa diri demi sesebuah watak, Sam mengakui serik untuk melakukan perubahan pada bentuk fizikalnya demi menjayakan karakter yang diingini.

“Rutin pemakanan saya berubah secara drastik kerana mahukan perubahan ketara terhadap watak Naufal. Dalam pada itu, saya juga bersenam selama sejam setiap hari sebelum tidur.

“Sejujurnya, saya agak serik untuk melakukan transformasi sedemikian pada masa akan datang. Namun, tidak menjadi masalah untuk berubah secara fizikal jika bayaran yang diberikan oleh pihak produksi setimpal dan masa yang diperuntukkan mencukupi,” katanya lagi.

Ditanya mengapakah Sam sanggup melakukan perubahan tersebut, jawapan yang keluar daripada mulutnya mudah: “Bidang lakonan begitu akrab dengan diri saya.

“Saya suka melakukan perkara yang memberi kepuasan terhadap kerjaya dan menerusi bidang yang saya suka.”

Muflis

Menyentuh sedikit mengenai notis muflis yang melibatkan namanya baru-baru ini, pemilik nama lengkap haheizy Sam Abdul Samad, 35, berkata, dia tidak boleh memberi sebarang kata putus mengenai isu tersebut.

Ujar Sam, dia kini sedang berurusan dengan ejen yang telah dilantik bagi mengelolakan soal cukai atau perkara-perkara yang melibatkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Keadaan saya baik-baik sahaja dan tidak menunding jari menyalahkan sesiapa.

“Buat masa ini, pihak saya sedang berbincang dengan LHDN bagi menyelesaikan perkara tersebut,” katanya.

Tidak mahu cepat melatah, Sam menyifatkan kontroversi yang melanda sebagai peringatan untuknya supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Saya memang terkejut apabila melihat status muflis yang disiarkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

“Namun, secara positif ia telah membuka mata saya untuk lebih peka terhadap perkara yang melibatkan pembayaran cukai,” katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post