Melihatkan kepada susunan aksara adiwiraku, perkataan itu bersifat universal yang mampu diterjemahkan dalam pelbagai konteks. Sebahagiannya melihat predikat itu sebagai watak hero dalam kebanyakan naskhah Hollywood dan ada menilainya sebagai individu terdekat yang telah banyak menumpahkan jasa.
Namun, berbeza dengan konteks yang diterjemahkan oleh pengarah Eric Ong menerusi karyanya yang mengangkat judul Adiwiraku yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) pada malam Sabtu lalu.
Diterjemahkan secara visual, berlatar belakang sebuah sekolah di ceruk desa, siapa menyangka filem berdasarkan kisah benar tentang kesungguhan seorang wanita dalam mendidik sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal, Kedah menyertai pertandingan choral speaking (bicara berirama) itu dipandang tinggi oleh pihak juri.
Berlangsung penuh meriah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) naskhah tersebut bukan sekadar diiktiraf sebagai filem terbaik Malaysia, tetapi turut menggondol dua anugerah lain iaitu Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Sangeeta Krishnasamy, manakala trofi Cerita Asal Terbaik dibawa pulang oleh Jason Chong.
Kemenangan filem tersebut bukan sekadar mengangkat martabat kedudukan guru dalam kalangan masyarakat tetapi turut menepati tema FFM29, Transformasi Citra Karya. Ia sama sekali berbeza dengan penganjuran pada tahun lalu yang dilihat lebih menjurus ke arah naskhah pecah panggung serta memiliki nilai komersial tinggi.
Ironi, filem yang tidak langsung menggunakan wajah-wajah komersial sebagai pelaris itu hanya mengutip sebanyak RM117,810 sewaktu ia ditayangkan pada Mac tahun ini.
Malah, tidak ramai juga yang sedar tentang kewujudan filem tersebut, tetapi pada akhirnya, naskhah yang langsung tidak popular ini mengisi takhta paling tinggi FFM29 kerana pengisiannya yang bernas.
Mengulas mengenai anugerah Filem Terbaik, ucapan klise tidak menjangka kemenangan dan meletakkan harapan terhadap naskhah mahupun calon lain menjadi ucapan pertama yang meluncur keluar dari mulut Jason Chong selaku Penerbit Eksekutif Adiwiraku.
Dihujani dengan ucapan tahniah, filem sulung terbitan Sol Pictures Sdn. Bhd. itu bukan sahaja pencapaian terulung mereka di tanah air sendiri, tetapi ia turut menjadi pembakar semangat untuk melakukan lebih baik pada masa akan datang.
“Kami tidak menjangka menerima anugerah ini kerana berpandangan pencalonan lain lebih hebat. Namun, syukur kemenangan berpihak kepada kami dan ia kemungkinan disebabkan kekuatan skrip yang dekat dengan masyarakat,” kata Jason apabila filemnya berjaya menumpaskan filem Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi.
Tembusi pasaran Melayu
Selain Jason, pelakon utama Adiwiraku, Sanggeta turut tersenyum puas setelah usaha keras melakonkan watak sebagai guru Cheryl Ann Fernando dan pengorbanannya yang tetap ingin meneruskan penggambaran meskipun menghidapi denggi nyata berbaloi.
Kehadirannya mungkin kelihatan canggung pada mata penonton berbangsa Melayu, namun tidak bagi masyarakat India. Namanya harum mekar meniti di peminat setia filem Tamil.
Mula menceburi bidang seni sejak 2009, Sanggeta juga tidak menyangka dirinya tersenarai sebagai calon kategori Pelakon Wanita Terbaik yang turut menyenaraikan nama June Lojong (Redha), Yeo Yang Yann (You Mean The World To Me), Sharifah Amani (Pekak) dan Izara Aishah (Kau Yang Satu).
Bagai kata pepatah orang mengantuk disorongkan bantal, wanita berusia 32 tahun itu berhasrat untuk terus mencipta nama dan ‘merempuh’ tembok pasaran Melayu.
“Filem ini bukan sekadar memaparkan kehidupan pelajar di kampung tetapi ia simbolik kepada refleks identiti sebenar masyarakat Malaysia yang memerlukan banyak perubatan terutama melibatkan pendidikan.
“Kejayaan Adiwiraku juga membuatkan saya berasa gembira setelah berpenat lelah menjayakan filem tersebut selain tidak menyangka taruhan pertama ini berjaya membuahkan hasil.
“Kemenangan ini turut membuatkan saya bersedia untuk menceburkan diri dan aktif dalam pasaran Melayu pada masa akan datang,” kata bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti London (kampus Malaysia) itu gembira.
Sanggeta juga tidak menolak sekiranya ditawarkan skrip mahupun karakter seakan-akan sama seperti Adiwiraku kerana gemarkan karya berbentuk realiti masyarakat dan secara tidak langsung telah memberi sumbangankepada negara.
Peredaran masa
Seperti yang sudah dijangka, naskhah sentuhan sutradara tersohor Dain Said akan pulang dengan sekurang-kurangnya satu anugerah, mengenai sasaran. Sasaran itu ‘jatuh’ kepada tuan pengarahnya sendiri apabila Dain dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik FFM29 menerusi filem ‘berat’ berjudul Interchange.
Meskipun naskhah yang membariskan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam dan Nicholas Saputra itu hanya mengutip sebanyak RM497,135 sewaktu ditayangkan, namun Dain tetap optimis dan berfikiran positif terutama terhadap cita rasa penonton mengikut peredaran masa.
Baginya, sebagai pengkarya beliau bukan sekadar menawarkan bahan hiburan kepada penonton, tetapi berkongsi ilmu dan mendidik mereka serta memberi pengalaman baharu dari sudut pandangan berbeza.
Perkara itu jelas menunjukkan sikap dirinya yang memilih untuk menghasilkan karya mengikut perkembangan semasa selain tidak terlalu fokus kepada satu genre.
“Sukar sekiranya ingin ‘memaksa’ penonton untuk menyaksikan karya yang saya hasilkan sama seperti 10 tahun lalu kerana mereka mungkin tidak akan faham.
“Idea dan daya pemikiran penonton antara elemen yang perlu diambil kira selain bergerak mengikut peredaran masa. Namun, itu tidak bermakna karya saya semuanya sempurna tetapi ia sekadar perkongsian pendapat.
“Apa yang saya boleh lakukan ialah menumpahkan sepenuh keikhlasan bagi memastikan mendapat hasil yang jujur buat penonton,” kata Dain yang kini sibuk menghasilkan karya adaptasi novel bertajuk Robohnya Surau Kami dan sebuah filem berbentuk sains fiksyen, Victor.
Nilai komersial
Tersenyum bangga, adakalanya aktor berusia 47 tahun itu memicit kedua-dua belah pipinya kerana berasa kebas disebabkan dirinya menjadi buruan lensa media.
Merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM29, pemilik nama lengkap Shahili Abdan atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Nam Ron akhirnya berjaya mencipta sejarah sekali gus menamatkan kemarau 13 tahun selepas kali terakhir tersenarai dalam kategori tersebut di Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) pada 2004 menerusi filem Paloh.
Hanya melepaskan ketawa kecil apabila diusik beliau kelihatan kacak dalam busana formal, Nam Ron pantas mengatakan wajahnya tiada nilai komersial berbanding pelakon lain.
Disebabkan itu beliau kelihatan seperti memilih watak serta terlibat dalam naskhah berbentuk serius dan berat berbanding bersifat santai yang sarat dengan nilai komersial.
“Anugerah ini amat bermakna buat saya kerana setelah sekian lama berusaha keras dalam industri akhirnya berjaya mendapat pengiktirafan di tanah air sendiri.
“Memiliki wajah komersial tidak dinafikan dapat membantu untuk meraih populariti selain menjadi jalan pintas penerbit untuk menarik minat penonton.
“Namun, disebabkan tidak memiliki wajah komersial atau kata mudah kacak, saya dilihat seperti memilih. Pada hakikatnya tawaran itu sendiri tiada buat saya,” jelasnya.
Keseimbangan
Sementara itu, bagi pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM29 menerusi lakonan cemerlangnya sebagai Detektif Man dalam filem Interchange, Shaheizy Sam, pula, setelah sekian lama berkecimpung sebagai pelakon, dia lebih menginginkan karya sedikit kompleks yang memerlukan penonton berfikir dan mendalami pengisiannya.
“Saya banyak belajar sendiri menerusi tontonan dan berkongsi pengalaman dengan pihak yang lebih berpengalaman dalam industri serta bertanyakan mereka tentang teknik lakonan.
“Dengan cara itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti lakonan dan membantu untuk saya meyakinkan penggiat seni filem tentang kemampuan dan kredibiliti menterjemahkan karakter seperti mereka mahukan,” jelasnya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada tahun 2011.
Tahniah
Nampaknya, usai FFM29, tidak banyak keluhan atau tanda protes yang dilakukan pelaku seni terhadap keputusan yang telah disepakati oleh pihak juri.
Hal ini kerana kemenangan yang diberikan kepada pemenang disifatkan sebagai layak, sekali gus meniup semula harapan bahawa FFM masih boleh dipegang pada integritinya akan terus memartabatkan karya anak seni tempatan.
Syabas buat penganjur kerana menghidupkan semula kepercayaan bahawa anugerah seumpama ini adalah gelanggang terbaik yang akan selalu memicu pelaku seni menghasilkan karya dengan lebih berwibawa kerana setiap ‘air tangan’ seni yang dihasilkan pasti menerima pengiktirafan yang berbaloi.