Apresiasi, cinta, kelana Marcell


Pertama - Konsert Marcell Once In A Lifetime merupakan persembahan solo pertama Marcell di Malaysia dalam tempoh 15 tahun.

Menginjak usia 40 tahun pada tanggal 21 September lalu, penyanyi bersuara merdu kelahiran Indonesia, Marcell hadir menghiburkan peminatnya di Malaysia, Sabtu lalu, bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konsert diberi judul Marcell Once In A Lifetime yang berdurasi selama lebih dua jam tersebut bukan sahaja membuatkan penonton larut dengan untaian 40 buah lagu, malah membawa mereka bersama-sama melayari kelana hampir 15 tahun lelaki tampan itu di persada muzik khususnya di Malaysia dan Indonesia.

Masakan tidak, dia mula dikenali di Malaysia apabila lagu duet bersama Shanty bertajuk Hanya Memuji popular sekitar tahun 2000.

Waktu itu, fesyen rambut afro menjadi pilihannya. Kini, berkepala botak, suami kepada Rima Melati Adams itu barangkali mampu tersenyum dengan keberadaannya sebagai seorang penyanyi yang masih relevan di persada muzik serantau.

Syukur

Bercerita tentang kecemerlangan konsert tempoh hari, Marcell sememangnya berada dalam kelas yang tersendiri. Bayangkan, nama-nama besar tanah air seperti Datuk Sheila Majid dan Ruth Sahanaya sanggup ‘turun padang’ semata-mata untuk melihat aksi serta mendengar listrik vokal lelaki asal Bandung, Jawa Barat, Indonesia itu.

Hal itu sendiri sudah memberi simbolik betapa pentingnya karakter suara Marcell dalam gelanggang muzik Nusantara.

“Saya memang tidak sangka konsert ini dihadiri oleh mereka. Tiada kata yang mampu saya ungkapkan. Apa yang penting, saya berasa seronok melihat penonton menyanyi, menari dan menghentak kaki bersama,” ujarnya merendah diri kepada rakan media usai konsert berlangsung.

Memberi mukadimah persembahan dengan medley lagu Denganmu, Demi Waktu, Sisa Semalam, Peri Cintaku dan Selama Bumi Berputar, satu perkara yang harus diakui tentang Marcell, walaupun sudah memasuki fasa ‘empat siri’, kualiti vokalnya masih belum terganggu.

Lebih dua jam menghiburkan penonton, pastinya hanya dengan komitmen latihan serta bakat anugerah Ilahi maka terlaksanalah konsert yang Marcell sendiri sifatkan sebagai ‘perayaan’ empat dekad dirinya bernafas di atas muka bumi.

“Terima kasih dan ucapan syukur yang tidak terhingga kerana walaupun sudah berusia 40 tahun, saya masih berkesempatan untuk merayakan momen ini bersama rakan-rakan di Malaysia.

“Kuala Lumpur adalah sebuah bandar yang amat bermakna buat diri saya. Banyak hal telah berlaku sejak lebih 15 tahun lalu. Bandar ini dan Malaysia adalah sebahagian daripada kehidupan saya,” ungkap bapa kepada Keenan Avalokita Kirana, Edga Ian Cook dan Seth Ananda Siahaan itu bersulam bahagia.

Cinta

Antara banyak lagu yang didendangkan Marcell pada malam tersebut, dia juga sempat berduet menyanyikan lagu Jadi Milikku bersama jelitawan, Raline Shah. Mencuri tumpuan, Marcell turut mendendangkan lagu berjudul Putri Remaja dendangan asal penyanyi era 1950-an, Jasni.

“Selalunya apabila saya hasilkan sesebuah album, pastinya lagu-lagu yang terkandung dalam naskhah itu mempunyai kaitan dengan kehidupan sendiri dan sebab itu, saya pilih Putri Remaja.

“Selain lagu dan liriknya yang cukup indah, Putri Remaja merupakan lagu kegemaran ibu mertua saya. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk menyanyikan lagu ini dan ia akan dimasukkan dalam album terbaharu nanti yang diadun dengan elemen jazz,” jelas Marcell.

Saat lagu Jangan Pernah Berubah berkumandang, muncul tiga anaknya, Keenan, Edga dan Seth membawakan kek ‘hari jadi’ buat bapanya yang kini sudah berusia 40 tahun.

Masih mampu menyanyi dengan baik, semakin segak dan matang menangani tanggungjawab duniawi, Marcell selalu menekankan ‘kehidupan bermula pada angka 40’ yang disambut dengan hilai tawa penonton.

Terus membuai emosi penonton, dia kemudian menjemput permaisuri hatinya, Rima untuk berduet menerusi lagu Very Thought Of You. Pada ketika itu, seisi dewan tertumpu kepada sisi romantis Marcell termasuk kesudiannya mengajak isteri sama-sama menyanyi di atas pentas.

Bukan itu sahaja, Marcell turut menghadiahkan sebentuk cincin ‘custom-made’ buat isterinya yang sentiasa berada dekat bersamanya tidak kira saat susah mahupun senang.

Marcell yang kemudian menyanyikan lagu dendangan asal kumpulan rock tersohor Malaysia, Search iaitu Rozana turut menjelaskan mengapa lagu itu dipilih.

“Ia adalah kegemaran isteri saya dan lagu itu akan dimuatkan dalam album studio ketujuh saya nanti,” katanya.

Relevan

Menderaskan adrenalin penonton, pentas diserikan dengan persembahan Noh Salleh yang sangat dikagumi oleh Marcell. Menyanyikan dua lagu berjudul Bahasa Kalbu dan Angin Kencang, Noh bertuah kerana Marcell sendiri mengiringi persembahannya dengan bermain dram.

Barangkali, atmosfera dewan paling gegak gempita apabila lagu Hanya Memuji didendangkan. Penonton bukan sahaja turut menyanyi, mereka bahkan turut berdiri dan menari bersama sebagai tanda persembahan penyanyi hebat itu sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Terdahulu, Marcell sempat mendendangkan antara lagu solo popularnya seperti Semusim, Ketika Kau Menyapa dan menutup persembahan dengan Firasat yang dipetik daripada album solo debutnya, pada tahun 2003.

Ketika diusik pertanyaan berkenaan kerelevanan dirinya sebagai seorang penyanyi memandangkan tiada album terbaharu dalam tempoh yang agak lama, Marcell ada jawapannya.

“Saya seronok dengan persembahan pada malam ini dan tidak mahu bimbang sama ada masih relevan atau tidak. Dalam dunia digital sekarang, sejujurnya saya sedikit kecewa kerana muzik baharu saya lambat memasuki pasaran Malaysia.

“Saya mempunyai hubungan istimewa dengan peminat di Malaysia. Saya tidak tahu mungkin dari segi melodi, makanan atau orang-orangnya. Malam ini bukan sahaja konsert, bagi saya ia sebuah perayaan bersama peminat. Itu lebih penting,” ulas Marcell.

Post a Comment

Previous Post Next Post