Penerima Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Pemilik dan Pengasas D'Herbs Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman beramah mesra dengan penerima Darjah Kebesaran Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Urusan Vision Works (M) Sdn Bhd Datuk Afdlin Shauki Aksan selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Pahang yang disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar hari ini.
Anak seni, Afdlin Shauki menyifatkan gelaran 'Datuk' yang diterimanya hari ini, sebagai pendorong semangatnya untuk lebih aktif dalam kerja amal bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
Afdlin Shauki, 46, berkata, penganugerahan itu juga 'kena pada masanya' kerana beliau baharu sahaja menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki beberapa bulan lalu supaya kerja amal tersebut dapat dilakukan dalam keadaan yang lebih teratur dan tertib.
Beliau yang sudah 26 tahun terlibat dalam bidang seni juga menyifatkan pemilihannya sebagai seorang daripada penerima anugerah sebagai penghargaan daripada institusi kesultanan dan kerajaan negeri Pahang kepada anak seni.
"Namun begitu, penghargaan ini tidak boleh dilihat dari sudut anak seni semata-mata... ada bidang lain yang juga diberi perhatian seperti kerja amal. Saya melihat gelaran ini datang dengan tanggungjawab yang cukup besar supaya kemuliaannya dipelihara," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.
Afdlin Shauki atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan merupakan seorang daripada 33 penerima darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan istiadat itu.
Sementara itu, Pengasas dan Pemilik D'Herbs Holding Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman yang sinonim dengan gelaran 'Terlajak Laris' berkata anugerah Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepadanya adalah pencapaian yang tidak pernah dijangkakan.
Alif Syukri menambah penghargaan itu lebih manis buatnya kerana beliau sendiri adalah anak Pahang kerana dilahirkan di Kuala Lipis.
"Saya memang amat terharu apabila diberikan anugerah ini pada usia 30 tahun. Ini akan menjadi salah satu peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan... saya harap anugerah ini akan menjadikan saya lebih murah rezeki dan dikurniakan kebahagiaan," katanya.