Pada usia 46 tahun dan masih bujang, Zamani mengakui dia kini sedang menjalin hubungan dengan seorang wanita dan akan memberitahu pihak media jika mereka mahu mendirikan rumah tangga kelak.
TIDAK dinafikan, program nyanyian Gegar Vaganza merupakan antara program realiti yang paling ditunggu-tunggu oleh penonton. Sejak diterbitkan, program dengan format konsert mingguan tersebut dilihat menjadi platform buat penyanyi lama untuk mencuri tumpuan peminat, sekali gus kembali menyinar.
Biarpun ramai yang mahu mencuba nasib untuk menyertai Gegar Vaganza, namun tidak bagi vokalis kumpulan Slam, Zamani.
Ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Live Showcase Ratu Dangdut Amelina dan Zamani Slam di D’Saji, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Syair Si Pari-Pari itu mengakui selesa dengan rutin hariannya kini sebagai penyanyi.
Katanya, biarpun tawaran menyanyi tidak sebanyak ketika selepas menamatkan program rawatan di Rumah Pengasih beberapa tahun lalu, namun rezeki dalam bidang nyanyian masih ada.
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap, Zamani Ibrahim, 46, itu turut berkongsi rasa terujanya menjelang konsert solo pertamanya tahun ini yang dijangka berlangsung di Restoran Terapung Taman Tasik Titiwangsa pada 6 Oktober depan.
KOSMO!: Apa khabar Zamani? Boleh kongsikan sedikit mengenai perkembangan terkini anda?
Zamani: Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja. Saya masih menerima undangan nyanyian seperti biasa.
Pada masa yang sama juga, saya sedang mencari lagu yang sesuai untuk dirakam dan dipasarkan sebagai single baharu. Kemungkinan besar, saya akan menyanyikan lagu hasil ciptaan penyanyi muda, Haqiem Rusli.
Anda dilihat begitu selesa dengan perjalanan seni sekarang. Tidak mahu mencuba nasib menyertai pertandingan nyanyian Gegar Vaganza seperti rakan-rakan anda yang lain?
Sejujurnya, buat masa ini, tawaran menyanyi masih ada. Biarpun tidak selebat beberapa tahun lalu iaitu ketika saya mula-mula keluar daripada Rumah Pengasih, namun, rezeki itu masih ada.
Bagi saya, biarlah peluang ini diberi kepada penyanyi yang betul-betul mahu menyanyi kembali dan mencari rezeki.
Adakah anda menolak sepenuhnya jika diberi peluang untuk menyertai pertandingan tersebut?
Saya mungkin akan pertimbangkan untuk menyertai Gegar Vaganza jika benar-benar memerlukan platform tersebut pada masa akan datang.
Namun, untuk tahun ini atau seterusnya, berilah peluang kepada rakan-rakan yang lebih memerlukan.
Sebagai seorang artis senior, bagaimanakah anda menjaga momentum karier nyanyian anda supaya tidak tenggelam oleh lambakan penyanyi baharu?
Mudah sahaja. Jika mahu kekal dalam industri, kita kena pandai bawa diri. Bagi saya, zaman glamor telah lama berlalu. Tidak perlu berlagak atau meninggi diri kerana bidang nyanyian ini perlu dianggap sebagai tempat untuk kita mencari rezeki.
Boleh ceritakan sedikit tentang penglibatan anda dalam Live Showcase Zamani Slam di D’Saji, Kuala Lumpur yang akan berlangsung bulan depan?
Saya berasa gembira kerana dapat melibatkan diri dalam projek ini. Selepas menjayakan tiga konsert berskala besar pada tahun lalu, persembahan ini lebih tertumpu kepada peminat yang mahu menonton saya secara solo. Pada persembahan tersebut, saya akan menyanyi sekitar 16 buah lagu.
Anda pernah menghabiskan banyak masa sebagai penghuni Rumah Pengasih sejak beberapa tahun lalu. Adakah anda masih mendapatkan rawatan di sana?
Rawatan di sana telah lama selesai. Namun, jika ada kelapangan dan jadual tidak padat, saya akan mengunjungi Rumah Pengasih bagi sesi bertanya khabar yang diadakan pada setiap hari Khamis.
Bagaimanakah pula dengan kehidupan peribadi anda? Sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang?
Saya sedang mengenali hati budi seorang wanita dan jika sudah sampai masanya untuk mendirikan rumah tangga, saya akan khabarkan pada pihak media.