Alicia Amin Panas, realistik dan optimis


Seksi, liar dan berani, barangkali itu persepsi pertama masyarakat pada Raja Alicia Raja Amin, gadis berusia 22 tahun ini. Personaliti Alicia yang terbuka dalam segala perkara dan dilihat lari daripada acuan gadis Melayu yang tipikal dan digambarkan selama ini patuh pada norma-norma masyarakat setempat.

Dengan mudah Alicia Amin meraih perhatian banyak pihak untuk memperkatakan setiap tindak tanduk yang dilakukan. Setiap lontaran pendapat dan bukti-bukti kerjanya sebagai model yang dikongsi di laman sosial dengan pantas mendapat kritikan pedas.

Gaya hidup bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima ini antara topik hangat yang paling menarik perhatian ramai. Kerjaya Alicia yang dilihat tidak kisah untuk menayangkan seluruh anggota tubuhnya itu tidak ketinggalan menjadi topik bicara pengguna laman sosial.

“Benar, saya tidak kisah dengan kutukan orang. Hati saya ini dah keras. Tak lut dengan kejian orang luar yang tak habis-habis mempertikaikan kerjaya saya,” kata Alicia sebelum lanjut membuka bicara tentang diri.

Tidak akan menuding kesalahan yang dilakukan kepada orang lain, Alicia mengakui dia hanya mahu menjadi diri sendiri. Dunia peragaan adalah minatnya sejak kecil lagi.

“Saya sangat terbuka, berani dan daring (seksi). Saya tak lakukan kerana orang lain, semuanya kerana saya. Saya masuk Asia’s Next Top Model ini pun kerana diri saya sendiri. Saya tidak kacau orang pun.

“Lagipun semua kerja (fotografi sebagai model) itu dilakukan di Australia. Saya juga tak pernah expose hasil kerja saya itu di ruangan peribadi saya. Orang (luar) yang mencarinya,” tegas Alicia ang kini menetap di Kuala Lumpur sejak Februari lalu .

Alicia pernah berkelana di Melbourne, Australia hampir dua tahun bagi mengikuti pengajian ijazah dalam bidang hubungan sosial dan psikologi di Universiti RMIT. Bagaimanapun disebabkan faktor-faktor tertentu, Alicia terpaksa menangguhkan pengajiannya sebelum menyertai Asia’s Next Top Model.

Nama Alicia semakin hangat diperkatakan apabila berlakon dalam drama Meh Sandar Lagi yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini. Nah, di situlah tercetusnya permulaan kontroversi yang melonjakkan nama Alicia, anak kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di Johor Bahru ini. Hinggakan ada pihak yang menyebarkan gambar pembabitannya dalam fotografi pakaian dalam jenama antarabangsa.

Seiring dengan pembabitannya dalam dunia seni, maka macam-macam pandangan negatif dilontarkan kepadanya. Benar, selama ini Alicia selesa di pentas peragaan semata-mata. Bidang itu yang terlebih dulu membina keyakinan diri untuk menarik perhatian ramai. Sekaligus mencipta nama agar sebaris dengan peragawati yang lain.

Bagaimanapun keadaan itu tidak sama jika dia memegang tiket sebagai pelakon dalam drama Melayu tempatan. Walaupun mengetahui risiko yang dia bakal dikecam, atas dasar ingin merasai pengalaman baharu dalam hidup, Alicia tenang menempuhinya.

“Apabila seorang budak fesyen memasuki arus perdana, nak tak nak mereka pasti kena kritik dengan orang luar. Dah banyak kali contoh berlaku dalam industri sebelum ini. Saya pun dah terkena, dah berasa pun macam mana peritnya,” ujar Alicia.

Ini cerita aku

MENYIFATKAN persepsi negatif orang luar terhadapnya terjadi kerana tidak mengetahui latar belakang peribadinya selama ini, Alicia juga tidak akan menjadikan perkara itu sebagai satu masalah besar.

Malah Alicia juga dengan rela hati akan bertanggungjawab sepenuhnya pada setiap perkara yang bakal terjadi selepas nekad menceburi bidang peragaan secara profesional ketika berusia 15 tahun.

Minat dalam bidang peragaan semakin menebal sewaktu keluarganya berpindah dari Johor ke Seri Hartamas, Kuala Lumpur. Bapa, Raja Amin ketika itu bertugas sebagai doktor pakar jantung di Hospital Besar Singapura manakala ibu, Karina bekerja sebagai peguam.

Bagaimanapun setiap kali menyuarakan isi hatinya, untuk menjadi model, pasti kedua ibu bapa akan menentang hasrat anak sulung mereka itu. Sedangkan menurut Alicia, pendekatan ibu bapanya berlainan dan dilihat sangat toleransi kepada empat lagi adik-beradik yang lain.

Oleh sebab itu, Alicia bermati-matian menunjukkan kesungguhan minatnya dalam dunia peragaan dan kerap kali juga terjadi perbalahan anak beranak setiap kali topik itu dibangkitkan.

“Sebagai anak sulung dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, mereka mahu saya memilih profesion yang lebih terjamin. Saya sendiri pada peringkat awalnya mahu menjadi doktor veterinar.

“Tapi selepas usia 18 tahun, saya nekad mahu menjadi model pula. Kali ini jiwa saya benar-benar memberontak. Saya membuktikannya dengan hidup berdikari, keluar rumah dan duduk menyewa selama enam bulan.

“Tak boleh nak mengharapkan job sebagai model, saya bekerja sebagai pembancuh kopi untuk mendapatkan wang lebih. Kena cari kalau tidak mana cukup nak bayar sewa rumah, makan dan lain-lain.

“Itu adalah antara proses kematangan dalam kehidupan saya yang menjadikan diri saya berdikari sampai ke hari ini,” kata Alicia yang meletakkan dirinya sebagai ‘tikus makmal’ dalam keluarga.

Pun begitu, Alicia bertuah kerana dalam apa juga ketika, orang tuanya sentiasa merestui dan memahami dirinya. Hubungan yang keruh satu masa dulu kini sudah pulih. Seperti perumpamaan, air yang dicincang tidak akan putus, pada hari ini, hubungan Alicia dengan setiap seorang daripada ahli keluarganya itu semakin rapat dan harmoni.

Jiwa kental

Biarpun dihujani pelbagai kritikan namun Alicia enggan terlalu memikirkan soal itu. Biarpun kisah peribadinya diserang bertubi-tubi lantaran pernah mendedahkan dirinya tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun itu bukan persoalan utamanya.

Apa yang penting, Alicia telah pun menduduki peperiksaan O Level sebelum melayakkan dirinya ‘terbang’ ke Melbourne bagi mengikuti pengajian sedia ada. Biarpun pengajiannya itu terhenti seketika, namun Alicia tetap bercita-cita untuk menghabiskan kursus yang diikuti satu masa nanti.

“Sejak kecil saya adalah pelajar cemerlang. Tak belajar mana pun, boleh dapat markah A. Selepas berpindah dari Woodlands Secondary School, Singapura pada 2010, saya sendiri tidak menyangka dapat 6A 2B dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR)

“Mungkin dah rasa diri ini pandai sangat, saya tak nak ambil SPM. Tapi selepas itu, saya cover balik dengan O Level. Saya belajar bersungguh-sungguh selama sebulan, tak keluar rumah semata-mata nak pastikan dapat keputusan cemerlang dan pergi ke Australia.

“Kalau saya tak dapat nak menyambung kursus pengajian sebelum ini, saya nak mengambil kursus undang-undang. Nak kaitkan hubungan sosial dan psikologi masyarakat dengan sistem perundangan.

“Apapun saya tak pernah menyesali apa yang terjadi dalam hidup saya selama ini. Yang penting, restu orang tua untuk ‘menyelamatkan’ saya dalam apa jua ketika,” kata Alicia penuh makna.

Post a Comment

Previous Post Next Post