Perjalanan anak seni ini tak selalunya indah. Masakan tidak, jika diselak lembaran diari mereka, pasti tercatat pelbagai cerita suka dan duka.
Begitu juga perjalanan karier pelawak, pelakon, penyanyi dan pengacara, Zizan Razak sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.
Benar kata pepatah, hidup ini ibarat pusingan roda, hari ini kita di atas, esok mungkin di bawah.
Ketika namanya menuju ke puncak populariti, Zizan antara bintang yang sering mendapat perhatian ramai, daripada kisah karier sehinggalah kontroversi demi kontroversi yang sedikit sebanyak menjejaskan namanya.
Namun itu kisah beberapa tahun lalu dan bintang berusia 33 tahun ini bangkit membawa personaliti yang lebih matang.
Jelas pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak ini, keutamaannya kini adalah kerjaya dan dia mengimpikan untuk menjadi pelakon yang lebih versatil.
“Memang saya kini lebih memilih dan hanya menerima kalau saya rasa mampu lakukan. Saya pun tak nak terhad kepada level pelakon komedi sahaja.
“Saya mahu jadi lebih versatil seperti Datuk AC Mizal. Buat masa ini saya sudah bawa karakter komedi, aksi dan selepas ini saya mahu cuba karakter romantis jika diberikan peluang,” ujarnya ketika ditemui selepas Malam Gala Abang Long Fadil 2 di Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Zizan, dia juga lebih selektif bagi memastikan dapat memberi kualiti kerja yang lebih baik.
Mengakui mengambil iktibar ketika sibuk dengan tugas sebagai pengacara Akademi Fantasia dan dalam masa yang sama terlibat dengan penggambaran Polis Evo.
Ketika itu, katanya, bukan sahaja dia sendiri yang penat tetapi pihak produksi tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Sebab tu sekarang saya lebih selektif dan terima tawaran kalau saya yakin boleh lakukan. Jadi bila kita buat kerja dengan baik, populariti itu akan datang dengan sendiri.
Zizan turut berpendapat tidak penting untuk membolot semua tawaran tetapi akhirnya menjadi 'carca marba' dan memberi kesan kepada diri sendiri.
Berkongsi perkembangan terkininya, Zizan berkata selain sibuk mempromosikan Abang Long Fadil 2, dia juga masih lagi dalam proses persiapan rapi memasuki set penggambaran sekuel Polis Evo.
“Malah untuk Polis Evo 2, pihak produksi beri saya kelonggaran untuk bentuk imej ikut kehendak saya. Jadi tak ada masalah untuk ada rambut atau sebaliknya,” katanya.
Impian tercapai
Bercerita pengalamannya berlakon di dalam Abang Long Fadil 2, Zizan berkata, cabaran paling sukar adalah berlakon di samping penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam.
Bagi Zizan, peluang itu umpama impian menjadi kenyataan kerana sudah lama mengimpikan berlakon bersama Yusof Haslam.
“Walaupun pada mulanya dia tak mahu berlakon di dalam filem ini, tapi kami berjaya memujuknya. Memang agak berdebar tapi saya rasa puas. Lebih puas bila dapat juga berlakon di samping Datuk AC dan A Galak.
Selain itu, katanya, babak akhir filem ini juga antara yang paling sukar dijayakan kerana mereka mengetahui lokasi tersebut pada saat akhir dan latihan juga di situ.
"Makan masa tiga hari juga untuk selesaikan penggambaran walaupun yang keluar di filem dalam tempoh lima minit sahaja,” katanya yang percaya Abang Long Fadil sudah mempunyai peminat sejak KL Gangster lagi.
Katanya, soal sambungan ke filem bergantung kepada penerbit dan pengarah tetapi dia percaya filem ini mampu tarik penonton ke pawagam kerana Abang Long Fadil sudah punya pengikut yang tersendiri.