Shah Iskandar memberi kepercayaan kepada isterinya untuk menguruskan akaun Instagram miliknya demi tidak mahu ketinggalan berkongsi cerita dengan peminat biarpun dalam keadaan sibuk.
Kehadiran pelakon lelaki kelahiran Singapura ini di gelanggang seni tempatan bukanlah sesuatu yang asing lagi. Biarpun namanya tidak hangat diperkatakan seperti Aaron Aziz mahupun Aliff Aziz, namun bakat lakonannya antara yang sering ditonton di kaca televisyen khusus buat penggemar drama Melayu.
Tidak mahu sekadar selesa dengan pencapaian lakonan yang dimiliki sekarang, Shah Iskandar sekali lagi membuka lembaran baharu dalam profil seninya apabila terbabit dalam, drama rantaian sebanyak 100 episod, Dendam Aurora.
Menjadi antara peneraju utama dalam drama yang kini hangat ditayangkan di saluran Astro Prima, Shah yang ditemui dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini teruja berkongsi perkembangan seninya.
“Saya memegang watak sebagai seorang lelaki bernama Haikal Hamzah yang mempunyai dua identiti dalam drama yang turut dibintangi Nabila Huda dan Ungku Ismail ini. Kadangkala saya perlu membawa watak jahat, kemudian baik dan kembali jahat,” katanya mesra memulakan bicara.
Mengakui watak sebagai Haikal Hamzah begitu mencabar kredibilitinya sebagai pelakon, namun pemilik nama lengkap Shah Iskandar Mahfuz itu nekad tidak mahu mempersiakan peluang yang diberikan rumah produksi Global Station Sdn. Bhd. tersebut.
Ujarnya, demi memastikan kualiti lakonan ditumpahkan sepenuh jiwa dalam drama yang diadaptasi dari Itali berjudul Tuscan Passion itu, dia sanggup menolak sebarang tawaran lakonan lain sepanjang penggambaran berlangsung.
“Sebenarnya, ini merupakan kali pertama saya berlakon dalam siri yang panjang. Saya pernah menerima tawaran lain sebelum ini tetapi ditolak kerana sibuk dengan tawaran berlakon drama biasa dan telefilem.
“Namun, saya sangat teruja dengan karakter yang ditawarkan dalam Dendam Aurora. Perkara itu membuatkan saya rasa sudah tiba masanya untuk fokus kepada satu komitmen dan memberikan hasil terbaik sehingga tamat penggambaran pada penghujung tahun ini.
“Saya juga tidak mengambil tawaran lain sepanjang penggambaran ini kerana dinasihatkan oleh pihak pengurusan untuk fokus kepada drama ini sahaja,” katanya yang memulakan penggambaran sejak bulan Mac lalu.
Laman sosial
Terus rancak berbicara, sengaja kemudian topik perbualan beralih ke arah laman sosial. Ujar pemenang anugerah Pelakon TV Lelaki Popular bagi Anugerah Bintang Popular 2014 itu, dia sering diajukan pertanyaan daripada peminat tentang ‘kehilangan’ dalam dunia seni.
Menafikan perkara tersebut, sebenarnya tawaran lakonan buat lelaki berusia 35 tahun itu tidak pernah putus. Dia bagaimanapun mengakui tindakannya yang jarang berkongsi cerita di laman sosial bersama peminat menjadi faktor timbulnya persoalan tersebut.
“Sebelum ini saya kurang aktif berkongsi cerita dengan peminat di laman sosial. Perkara itu membuatkan peminat sering bertanya ke mana saya pergi?
“Bagaimanapun, saya sedar pada zaman sekarang laman sosial mempunyai banyak kepentingan jika diuruskan dengan baik. Perkara itulah yang sedang saya lakukan,” terangnya.
Menariknya, kebanyakan gambar yang dimuat naik dalam akaun Instagram Shah dilakukan oleh isterinya, Siti Sarah Mohd. Noor.
“Biarpun sibuk dengan jadual penggambaran, saya tetap tidak mahu ketinggalan berkongsi perkembangan terkini dengan peminat.
“Justeru, saya akan mengambil gambar untuk dihantar kepada isteri bersama kapsyen yang sesuai. Kemudian, isteri akan memuat naik gambar itu ke Instagram.
“Pada masa sama, saya ingin mendedahkan kepada isteri tentang perjalanan kerjaya saya dalam industri ini sebagai seorang pelakon,” kongsinya sambil tertawa.
Anak
Mengikat tali perkahwinan pada 16 Januari tahun lalu, seperti pasangan berkahwin lain, Shah juga tidak dapat mengelak daripada ditanya soal anak.
Melepaskan hela panjang, pelakon drama Syurgaku Tak Sempurna itu mengakui dengan penuh sesalan kerana pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak memikirkan soal anak ketika awal perkahwinannya dahulu.
“Saya pernah ditegur oleh ibu apabila mengeluarkan kenyataan kepada media tentang perancangan keluarga yang mahu dilakukan.
“Ternyata kata-kata itu menjadi satu doa apabila kami masih belum dikurniakan rezeki anak. Isteri juga sering mengajak saya mencuba pelbagai jenis makanan tambahan dalam usaha untuk mendapatkan zuriat, namun buat masa ini mungkin belum ada rezeki buat kami,” kongsinya panjang lebar.
Perbualan kemudian bertukar rancak semula apabila ditanya perihal kerjayanya yang pernah diuruskan oleh si isteri.
Sambil tertawa besar, ujar Shah, tugas tersebut cuma sempat digalas oleh Siti Sarah dalam masa beberapa minggu sahaja.
“Sejujurnya, isteri saya seorang ‘ulat buku’ yang rajin membaca pelbagai jenis bahan bacaan untuk menghasilkan produk kecantikan yang berkualiti dan selamat.
“Disebabkan perkara itu, kemahiran berkomunikasi isteri agak kurang, terutamanya apabila melibatkan soal kontrak atau perjanjian tawaran kerja yang datang untuk saya.
“Apabila diberitahu bahawa dia tidak perlu lagi menjadi pengurus saya, dia sangat gembira. Sebenarnya, dia pun pening kepala untuk menguruskan jadual kerja saya,” kata Shah menutup bicara.