Datuk Seri Vida pilih lelaki kaya, elak suami orang


Datuk Seri Vida berkongsi video reaksi daripada seorang peminat Korea mengenai lagunya di laman sosial baru-baru ini.

Nama Datuk Seri Vida kini memang hangat diperkatakan, sementelah usahawan yang kini bergelar penyanyi itu memberitahu menerima hampir 100 resume permohonan daripada lelaki di seluruh dunia yang memohon menjadi calon suaminya.

Beliau bagaimanapun mengaku belum terdesak untuk berkahwin, sebaliknya sedang giat mengatur strategi untuk menjadikan single pertamanya, I Am Me lebih popular apabila selepas hanya sebulan dimuat naik ke laman carian YouTube, lagu tersebut telah mencatat sambutan luar biasa apabila ditonton hampir enam juta pengguna internet.

Terkejut tetapi pada masa sama terharu, pemilik nama sebenar, Hasmiza Othman itu berkata, beliau yang mengaku teruja bergelar penyanyi kini masih dalam perancangan untuk menghasilkan klip video rasmi lagu tersebut dalam masa terdekat.

Ikuti temu bual bersama wanita kelahiran Kelantan itu yang juga bercakap tentang jodohnya dan jalinan kerjasama dengan jenama terkenal dunia, Louis Vuitton atau LV.



KOSMO!: Wah Datuk, tahniah kerana kini diintai hampir 100 lelaki yang menawarkan diri menjadi suami anda. Bagaimana anda melihat situasi tersebut?

DATUK SERI VIDA: Saya bersikap terbuka. Bagaimanapun, saya tidak mahu berkahwin dengan suami orang dan lelaki itu mesti kaya, jadi boleh belikan saya banyak beg tangan. Oleh kerana sudah ada pengalaman berkahwin, kalau boleh saya mencari calon suami yang berusia sekitar 40 hingga 50 tahun yang ikhlas dan jujur.

Namun, janganlah khalayak menuduh saya gatal pula mencari suami, sebab sebenarnya saya tidak terdesak untuk berkahwin pun. Bukan dalam masa terdekat (berkahwin) tetapi saya sentiasa berdoa yang baik-baik untuk jodoh saya.

Baiklah. Apa perasaan Vida dengan sambutan positif terhadap lagu I Am Me sehingga mendapat jumlah tontonan hampir enam juta?

Syukur Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka lagu ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat sehingga menjadi tular.

Apa yang saya boleh katakan, ini adalah perkara yang berlaku di luar jangkaan walaupun sasaran awal saya memang mahu ia meletup.

Saya juga tidak sangka lagu ini berjaya mencatat jumlah tontonan lebih lima juta kali dalam masa tiga minggu sahaja. Untuk pembikinan video lirik lagu ini, saya perlu berbelanja hampir RM200,000 termasuk baju dan logistik.

Ada yang mengatakan anda cuba meniru gaya penyanyi dari Jepun, Pikotaro yang terkenal dengan lagu Pen Pineapple Apple Pen untuk lagu ini?

Mula-mula, saya memang terasa hati dan tiga hari tidak aktif di laman sosial kerana membawa diri. Namun, saya tidak mahu melayan perasaan rajuk itu dan kembali bersemangat meneruskan hidup.

Untuk dakwaan meniru pula, saya rasa tiada istilah cuba meniru sesiapa. Saya cuma mahu buat perkara yang lebih kurang sama dengan dia. Lagipun, dia juga orang biasa. Jadi, kalau dia boleh buat, mengapa tidak saya.

Selain masyarakat tempatan, lagu tersebut turut mendapat reaksi daripada peminat luar negara seperti Arab dan Korea Selatan. Apa perasaan anda?

Walaupun lagu ini terikat dengan konsep seorang wanita atau ratu, namun ia boleh dinyanyikan oleh semua golongan termasuk lelaki dan kanak-kanak.

Jadi, tidak hairanlah jika lagu ini mudah mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan peminat tempatan tetapi juga dari luar negara seperti Turki dan Britain.

Saya sangat gembira kerana lagu ini boleh membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Selepas ini, apa pula perancangan lain untuk lagu berkenaan?

Insya-Allah, saya dalam perancangan untuk membuat klip video rasmi lagu ini. Sebab percubaan pertama selalunya akan ada perkara-perkara yang boleh diperbaiki. Jadi, saya akui berasa kurang berpuas hati dengan video lirik lagu tersebut kerana mahu hasilnya jauh lebih cantik daripada apa yang ada sekarang.

Saya menjadi penyanyi bukan sekadar untuk menyanyi tetapi perlu tahu prosedur yang betul. Jika saya tidak memberi sesuatu yang bagus kepada peminat, nanti lagu ini akan jadi basi.

Jadi, inilah cabaran saya untuk menjadikan lagu sentiasa segar di telinga pendengar. Saya merancang untuk menukar konsep dengan elemen kejutan bagi klip video baharu nanti.

Bagaimana pula dengan perancangan kolaborasi anda bersama jenama LV?

Saya masih menunggu hasil rekaan daripada pihak mereka.Ia akan dihasilkan dengan logo DSV pada setiap rekaan yang dibuat untuk pasaran rantau Asia dahulu. Jika tiada kekangan, mungkin ia mula memasuki pasaran pada awal tahun hadapan.

Post a Comment

Previous Post Next Post