Kolaborasi pertama Nik Qistina, Darren Espanto


Nik Qistina tidak sangka diberi peluang berkolaborasi dengan Darren yang berasal dari Filipina.

Tidak ramai penyanyi baharu diberi peluang untuk berkolaborasi dengan artis antarabangsa dan bagi penyanyi muda, Nik Qistina Hafifah Abd. Rashid, dia antara yang bertuah untuk dikurniakan rezeki itu.

Berpeluang merakamkan versi lain untuk single sulungnya, Young Hearts bersama bakat popular dari Filipina, Darren Espanto, remaja berusia 17 tahun itu berkata, ia sesuatu yang tidak terlintas dalam fikirannya.

Menurut Nik, pada mulanya dia hanya meluahkan hasrat untuk menghasilkan Young Hearts dalam bahasa lain selain Inggeris, namun syarikat rakamannya, Universal Music mencadangkan dia berduet dengan Darren.

“Pada mulanya saya berasa risau juga untuk berduet dengan Darren kerana dia mempunyai kelompok peminat yang besar di Filipina dan takut andainya kolaborasi kami tidak diterima.

“Namun begitu, peminatnya menyambut baik paduan suara kami, malah ada yang mula mengikuti saya di laman Instagram selepas lagu ini dilancarkan di laman YouTube,” katanya pada satu sesi fotografi di Universal Music, Petaling Jaya baru-baru ini.

Selain Young Hearts, Nik turut menyumbangkan suara bagi lagu bertajuk My Baby & Me yang merupakan single hit Darren di Filipina.

Dia turut meluahkan rasa bersyukur kerana mereka berdua memiliki minat sama dalam pemilihan genre dalam muzik, sekali gus menjadikan proses rakaman kedua-dua buah lagu tidak mengambil masa yang lama.


Nik Qistina - Young Hearts ft. Darren Espanto

Serasi

Perkara sama turut diakui oleh Darren, pemenang tempat kedua The Voice Kids Filipina 2014 yang menganggap Nik sebagai seorang rakan duet yang ‘gila-gila’.

“Sebelum berjumpa,kami berdua telah berhubung menerusi laman sosial masing-masing dan cuba berborak tentang dunia muzik. Ternyata cita rasa kami tidak banyak bezanya.

“Dia juga membawakan lagu My Baby & Me dengan baik dan peminat saya juga memberi respons yang positif dengan versi baharu yang kami nyanyikan ini,” katanya yang turut hadir pada sesi fotografi itu.

Dalam pada itu, penyanyi yang dilahirkan di Kanada tersebut berkata, walaupun dia tidak biasa dengan perkembangan muzik Malaysia, namun daripada apa yang dilihat, sejak hadir ke negara ini untuk mempromosikan lagu-lagu nyanyiannya, Darren dapat melihat perbezaannya.

Katanya, peminat di Filipina lebih menggemari lagu-lagu balada dan bersifat romantis, berbanding muzik Malaysia yang memiliki lebih banyak kepelbagaian genre muzik.

“Kolaborasi bersama Nik membuka peluang kepada saya untuk mendekati peminat di Malaysia pula dan berharap lagu duet kami menerima sambutan baik di sini,” jelasnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post