Iltizam sukarelawan Faizal Tahir


BANTUAN - Faizal Tahir merancang untuk mengadakan sekali lagi konsert amal One Moment for Them bagi mengumpul dana bagi membantu pelarian perang di Syria.

BAGI segelintir masyarakat, mereka berpendapat kerjaya sebagai selebriti lebih sinonim dengan limpahan kontroversi dan hanya melibatkan aktiviti hiburan semata-mata.

Tidak dinafikan, dunia artis tidak dapat lari daripada dihimpit cerita panas yang pastinya kurang enak untuk didengar. Namun, itu tidak bermakna mereka gagal memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.

Perkara itu diakui oleh pelantun lagu Negaraku, Faizal Tahir. Baginya, peterana selebriti itu tidak hanya berlandaskan populariti tetapi ia mempunyai tarikan tersendiri.

Menurut pemegang trofi Penyanyi Lelaki Terbaik Anugerah Planet Muzik 2011 itu, kerjaya sebagai selebriti juga mampu berada di kedudukan hierarki individu berpengaruh selain ahli politik, para ilmuan, pemerintah negara, mahupun ahli sukan.

“Setiap daripada kita mempunyai idola masing-masing dan ia akan membuat kita mudah terpengaruh dengan cara mahupun tindakan mereka.

“Selebriti turut mempunyai pengaruh tersendiri yang mampu menarik peminat menjalani kehidupan ke arah positif,” katanya ketika ditemui dalam Program Khidmat Sosial Suspended Meal dan iamFAITHMEN di Sekolah Bimbingan Jalinan, Kasih Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyedari kelebihan tersebut, Faizal memilih untuk menyemarakkan semangat sukarelawan terutama dalam kalangan golongan belia.

Kesedaran tersebut terzahir kerana dia berasa yakin bahawa setiap selebriti mempunyai pengaruh dan tarikan tersendiri dalam menyampaikan mesej positif kepada peminat.

“Saya sendiri melalui pengalaman sama apabila tidak menghiraukan nasihat kedua orang tua tetapi menerima bulat-bulat apa dikatakan oleh individu yang dikagumi,” kata pemuja bintang bola sepak dunia, David Beckham itu ceria.

Cara tersebut tidak hanya dapat meringankan beban insan yang memerlukan tetapi mampu memupuk rasa syukur dan menghargai kelebihan diri berbanding individu lain.

Perkara tersebut juga telah mendorong lelaki berusia 38 tahun itu menubuhkan badan sukarelawan atau organisasi bukan kerajaan (NGO) bernama iamFAITHMEN.

Sejak dua tahun ditubuhkan, pelbagai aktiviti melibatkan kemasyarakatan di dalam dan di luar negara telah berjaya dilestarikan.

“Selain membantu masyarakat tempatan, dalam tempoh dua tahun ini juga kami telah ke Indonesia bagi melihat sendiri kehidupan kanak-kanak yang dipaksa menjadi pengemis oleh ibu bapa mereka.

“Situasi itu agak menyedihkan kerana sebagai pelapis masa depan, mereka seharusnya mendapat pendidikan dan layanan sewajarnya.

“Justeru, kami berusaha membantu dengan memberikan bantuan kelengkapan harian agar dapat meringankan beban mereka,” terang Faizal dalam nada sayu.

Kesungguhan Faizal dalam usaha membantu masyarakat kurang bernasib baik turut meraih perhatian kerajaan apabila iamFAITHMEN menjadi penerima Anugerah Sukarela Terbaik dalam sebuah program anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM),

Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan bapa kepada enam orang cahaya mata itu lebih bersemangat untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan pada masa akan datang.

Aktiviti amal

Dalam pada itu, Faizal turut berkongsi pengalaman saat berpeluang menghabiskan masa bersama 152 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih baru-baru ini.

Dengan kerjasama Suspended Meal, sebuah badan yang ditubuhkan Unit Alumni Fakulti Komunikasi & Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, program berkenaan telah menyalurkan sumbangan kewangan dan 250 pek makanan tengah hari buat pelajar dan kakitangan sekolah terbabit.

Jelas kelihatan aura gembira pada wajahnya, Faizal mengakui dia berasa terhibur apabila kunjungannya diserikan dengan persembahan pelajar dari pelbagai peringkat usia.

“Pelajar yang berusia empat hingga 19 tahun gigih membuat persembahan sehinggakan saya berasa dilayan seperti seorang wakil rakyat,” seloroh penyanyi lagu Assalamualaikum tersebut.

Baginya, aktiviti sebegitu secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban mereka yang rata-rata menjalani kehidupan sebagai gelandangan dan kurang bernasib baik.

Pada masa sama, Faizal turut berharap iamFAITHMEN dapat memperkayakan aktiviti sedemikian pada masa akan datang, selain memupuk masyarakat untuk turut terlibat dalam kerja amal.

Kerjaya seni

Meskipun sibuk terlibat dengan aktiviti sukarelawan, Faizal tidak menafikan dirinya tetap menumpahkan sepenuh tumpuan kepada bidang nyanyian.

Faizal memberitahu, dia kini dalam proses mengumpul material bagi menghasilkan album baharu selepas Anatomi yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu.

Dia juga bersyukur meskipun album tersebut telah hampir sembilan bulan dipasarkan, ia masih mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat.

“Terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan terhadap album tersebut sehingga ke hari ini meskipun sudah hampir setahun ia diterbitkan,” tutur Faizal tersenyum.

Selain sibuk memberi tumpuan kepada kerjaya sendiri, Faizal juga perlu menentukan haluan seni buat artis naungan syarikat rakamannya, Faithful Music.

Mengakui kesibukan tersebut adakalanya ‘menyesakkan’ fikiran tetapi Faizal positif terhadap setiap keputusan yang dilakukan dan berusaha membahagikan masa antara keluarga, kerjaya serta aktiviti amal.

“Kepadatan komitmen membuatkan saya rasa terbeban tetapi ini semua rezeki. Saya tidak mahu mengeluh dan cuba positif dalam setiap perkara kerana setiap keputusan yang diambil turut melibatkan banyak pihak terutama artis bawah syarikat rakaman saya,” ujar penyanyi lagu Setia duet bersama Elizabeth Tan itu.

Barisan artis yang bernaung bawah label Faithful Music kini termasuklah Aizat Amdan, Hanie Soraya, Aziz Harun, Nastia, Harris Baba dan Caliph Buskers.

Post a Comment

Previous Post Next Post