Amanda Misbun cari peluang baru


SETELAH hampir lima tahun menyepikan diri, pelakon Amanda Misbun kini kembali mengorak langkah menyambung kerja-kerja seni yang telah ditinggalkan sebelum ini.

Menurut pelakon yang sebelum ini dikenali menerusi drama Apa Celop, Angin Rindu Sarajevo, Surat Terakhir dan lain-lain ini, dia mengambil keputusan berehat seketika dunia lakonan selepas bergelar ibu kepada dua cahaya mata comel, Qisya, 5, dan Abdul Khaliq, 3.

“Keputusan itu saya lakukan ketika itu kerana mahu beri tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak, malah saya tidak mahu terlepas melihat mereka membesar di depan mata.

“Saya tidak pernah berhasrat untuk berhenti terus dalam kerjaya seni kerana lakonan sememangnya menjadi minat saya sejak dulu lagi, cuma ada ketika kita perlu dahulukan perkara lain untuk sementara waktu.

“Setelah lama berehat dan anak-anak pun sudah boleh berdikari serta dijaga oleh orang lain tanpa kehadiran saya, barulah saya kembali aktif semula dalam bidang lakonan sebagaimana yang saya lakukan sekarang ini,” jelasnya.

Begitu pun, menurut Amanda lagi, tidak mudah untuknya kembali menempatkan diri memandangkan ramai pelakon baru yang muncul selain pihak produksi yang masih tidak menyedari dia kini aktif semula.

Bagaimanapun, pelakon yang cukup dikenali dengan sikap rendah dirinya ini percaya, peluang dan rezeki itu tetap datang bila tiba masa.

“Pada mulanya sukar juga nak kembali tempatkan diri kerana ramai ingat saya sudah tidak mahu berlakon lagi kerana lama berehat, namun selepas satu tawaran datang, satu persatu tawaran lain mula masuk.

“Saya tidak kisah tentang pelakon baru kerana bagi saya, kalau kita bagus orang akan terima dan begitulah sebaliknya. Ia juga terletak pada rezeki, jika bukan rezeki kita, buat macam mana pun ia tetap tidak akan berpihak kepada kita,” tegas Amanda lagi.

Membenarkan kata-katanya, pelakon ini juga berpeluang muncul pertama kali di pentas teater apabila dapat tawaran daripada Amar Asyraf yang untuk tampil dalam pementasan siri Monolog Perempuan Satu Malam yang baru berlangsung hujung minggu lalu.

Selesa urus anak-anak sendiri

Menyifatkan peluang itu sebagai bulan jatuh ke riba, Amanda mengambil peluang tersebut untuk mengembangkan lakonannya ke pentas teater.

“Sebenarnya memang dari dulu lagi saya memang ingin sangat berlakon teater untuk mencuba pengalaman baru di pentas selain mencabar kemampuan lakonan untuk persembahan lakonan yang berlangsung secara live begitu.

“Alhamdulillah, peluang itu diberikan Amar Asyraf yang percaya kepada bakat dan lebih menarik ia datang pada waktu yang tepat selepas saya membuat kemunculan semula selepas lama berehat dari dunia lakonan.

Berkongsi kehidupannya sebagai seorang ibu, kata Amanda, tiada apa lebih manis daripada apa dilaluinya hari ini sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata yang menyerikan kehidupannya.

“Sejak bergelar ibu, memang saya memilih untuk menjaga dan menguruskan sendiri keperluan anak-anak termasuk menghantar dan menjemputnya dari sekolah.

“Semuanya saya lakukan sendiri tanpa pembantu rumah kerana saya dan suami lebih selesa urus anak tanpa harapkan orang lain kerana mahu lihat mereka membesar depan mata.

“Suami juga seorang ahli perniagaan dan banyak bekerja dari rumah, jadi apabila saya terlibat urusan di luar saya tidak ada masalah untuk tinggalkan anak bersama dengannya,” kata Amanda yang bersyukur dikurniakan suami yang cukup memahami.

Post a Comment

Previous Post Next Post