Atikah Suhaime pilih bersara


Melakonkan watak utama seorang GRO bernama Ameera dalam filem Pencuri Hati Mr. Cinderella, filem arahan dan lakonan Ahmad Idham itu adalah projek terakhir Atikah Suhaimie sebelum balik ke Singapura.

Tiada angin, tiada ribut pelakon yang pernah terjebak kontroversi gambar bogel, Atikah Suhaime memberi bayangan melalui Instagram miliknya untuk ‘bersara’ dari dunia lakonan tanah air.

Ternyata apabila ditemui pada majlis tayangan filem Pencuri Hari Mr. Cinderella di ibu negara, pemilik nama lengkap Nur Atikah Mohd. Suhaime itu mengakui bahawa dia ingin berehat daripada bidang lakonan dan kembali menetap bersama keluarganya, Singapura.

Alasannya, selama tempoh enam bulan tidak menerima sebarang tawaran lakonan, dia menjadi trauma. Tidak lagi bernaung bawah syarikat pengurusan MIG, Atikah, 26, turut memaklumkan kepada Kosmo! hasrat untuk berehat daripada dunia lakonan, tambahan lagi didukung kekurangan masa bersama keluarga terutama ibu bapanya.

Kembali menetap di Singapura sejak Ramadan lalu, pelakon filem My Stupid Boss itu juga sudah mempunyai kerjaya stabil sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat di sana.

Bagaimanapun, dia masih menerima tawaran berlakon atau pengacaraan hanya di Singapura namun tidak lagi seaktif dahulu.

Dalam pada itu, Atikah bercerita tentang pengalaman melakonkan watak gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam filem Pencuri Hati Mr. Cinderella yang bakal ditayangkan 10 Ogos ini. Bergandingan dengan Ahmad Idham, dia juga teruja berpadu lakonan dengan idolanya, Haliza Misbun.

KOSMO!: Apa penjelasan Atikah tentang luahan hasrat untuk meninggalkan dunia lakonan sebagaimana yang dimuat naik menerusi Instagram anda baru-baru ini?

ATIKAH SUHAIME: Sebenarnya saya sudahpun berehat dari dunia lakonan di Malaysia. Entahlah, selama enam bulan sejak Oktober tahun lalu, saya jadi trauma kerana tidak langsung mendapat tawaran berlakon di Malaysia. Lebih-lebih lagi, apabila saya tidak lagi bernaung bawah mana-mana syarikat pengurusan. Saya cuma inginkan masa depan yang stabil dengan sumber kewangan yang kukuh.

Mengapa anda memadam status tersebut? Tidakkah tindakan tersebut menimbulkan kekeliruan dan bersifat ironik?

Ibu menyuruh saya memadam posting tersebut. Saya cuma mahukan hidup yang normal. Ekoran kontroversi yang berlaku sebelum ini, sejujurnya saya trauma apabila tiada sumber pendapatan yang tetap.

Apabila difikirkan semula, sewaktu tawaran masih ligat sebelum ini, saya terlepas banyak perkara penting dalam hidup seperti sambutan hari kelahiran ibu saya, bapa masuk hospital sedangkan saya tidak sempat melawat dan sebagainya. Jadi lebih baik saya berehat dan pulang ke pangkuan keluarga.

Jadi apa yang anda akan lakukan selepas ini memandangkan anda tidak lagi berlakon?

Saya masih menerima tawaran berlakon tetapi hanya di Singapura. Kalau ada tawaran mengacarakan pun saya akan pertimbangkan. Sebenarnya, saya sudah mula bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat di Singapura.

Jadi, hanya Sabtu dan Ahad sahaja saya boleh luangkan masa berlakon atau mengacara. Pelik juga, apabila saya sudah nekad untuk kembali ke Singapura dan berehat, ada produksi yang menghubungi mengambil saya berlakon namun ia terpaksa ditolak kerana saya sudah ada komitmen lain.

Tidakkah anda menyesal dengan keputusan tersebut kerana anda masih muda dan tentu ada banyak peluang untuk berjaya dalam karier seni?

Mungkin sudah sampai waktunya saya fikir tentang masa depan. Insya-Allah, kalau sudah lama berehat dan keadaan semuanya kembali stabil, saya akan aktif semula dalam lakonan. Filem Pencuri Hati Mr. Cinderella ini menjadi projek terakhir saya di Malaysia.

Baiklah, boleh kongsi sedikit tentang watak anda dalam filem ini dan pengalaman berlakon di samping Ahmad Idham?

Saya melakonkan watak sebagai seorang GRO bernama Ameera. Biarpun bertugas sebagai GRO, saya jatuh cinta dengan Imran (lakonan Ahmad Idham). Seronok berlakon dengan abang Idham kerana dia sangat profesional dan matang. Namun apa yang saya kesalkan ialah tiada adegan idola saya, Haliza Misbun.

Sekitar 20 tahun lalu, drama Cinderella merupakan satu fenomena yang sangat hebat dan Haliza adalah pelakon utamanya.

Tidakkah anda risau dibandingkan dengan aktres itu?

Risau juga kerana sejujurnya, Haliza merupakan salah seorang idola saya dalam bidang lakonan. Namun saya cuba melakukan yang terbaik. Apa orang mahu kata, terpulang kepada mereka.

Post a Comment

Previous Post Next Post