Hannah Delisha lega diterima


Akaun Instagramnya yang sebelum ini hanya mempunyai sekitar 20,000 pengikut naik mendadak dan kini menjadi lebih 500,000 impak daripada drama Mencintaimu Mr. Photographer.

Berbekalkan wajah jelita, nama pelakon wanita, Hannah Delisha secara tiba-tiba menyelinap masuk dalam lambakan wajah pelakon wanita baharu dalam industri seni tanah air gara-gara penangan drama Mencintaimu Mr. Photographer yang baru berakhir tayangannya.

Gandingan dirinya melakonkan watak Aira Qaisara dengan si hero, Jemy (lakonan Syafiq Kyle) benar-benar memberi impak, sekali gus menghipnotis ramai penonton yang setia mengikuti perkembangan drama adaptasi novel tersebut.

Pertama kali diberi kepercayaan melakonkan watak utama di Malaysia, Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 20, bersyukur kerana debut lakonannya sebagai pelakon utama mendapat maklum balas positif.

Akuinya juga, dia tidak pernah menyangka drama rantaian tersebut akan menjadi buah mulut dan trending, sekali gus melambung tinggikan namanya dalam persada seni tempatan. Fenomena itu adalah satu situasi yang menyenangkan bagi pendatang baharu sepertinya. Malah, respons atau maklum balas yang diterima amat penting buat dirinya memperbaiki rentak serta mutu lakonan.

“Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang kebanyakannya bernada positif daripada orang ramai. Pada mulanya, saya gementar juga menunggu reaksi penonton. Maklumlah, saya ini pelakon yang masih lagi bertatih di Malaysia.

“Ada juga yang mengkritik, namun saya tiada masalah dengan kritikan. Bagaimanapun, saya sangat menghargai kalau kritikan yang dilemparkan bersifat konstruktif,” ujar Hannah memulakan bicara.

Mesej lucah

Disebabkan watak Aira, Hannah juga mengakui terkejut menerima maklum balas berbentuk ‘nakal’ daripada orang yang tidak dikenali dalam laman sosial seperti Instagram.

“Agak terkejut jugalah, ada dalam kalangan pengguna laman sosial yang cuba mengurat, malah menghantar gambar lucah kepada saya melalui ruangan direct messege (DM).

“Ada juga yang meluahkan perasaan cinta, namun saya tidak melayan semua mesej yang diterima kerana risau keadaan akan menjadi lebih buruk. Jadi, lebih baik saya buat tidak tahu sahaja. Kini, saya semakin faham dengan asam garam dunia hiburan. Benda-benda tersebut adalah antara perkara yang harus ditangani dengan baik,” jelas Hannah.

Ditanya mengenai langkah seninya yang semakin ligat di Malaysia, Hannah optimis untuk terus membina nama sebagai seorang pelakon yang disegani.

Kata wanita berdarah kacukan Inggeris-Melayu itu, dia sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Ada perbezaan berlakon di Singapura dan Malaysia. Kalau di sini, jadual saya lebih padat. Agak letih sedikit, namun seronok kerana apa yang saya lakukan sekarang adalah perkara yang diminati,” tutur Hannah yang mula berlakon secara serius menerusi drama web berjudul Finding Sandra di laman perkongsian video, YouTube sekitar tahun 2015.

Tolak cinta lokasi

Diusik pertanyaan tentang hubungan romantiknya dengan Syafiq, Hannah tersipu malu. Sambil melemparkan senyuman, dia menjawab: “Kisah cinta yang kami paparkan hanyalah di kaca televisyen. Di luar set penggambaran, kami tidak bercinta pun. Namun harus saya akui disebabkan drama tersebut, kadangkala ia terbawa-bawa sampai ke dalam kehidupan realiti.”

Hannah kemudian menegaskan, cinta yang tercipta untuk drama tersebut tidak langsung mengusik hati wanitanya sehingga mencetuskan cinta lokasi.

Selesa bekerja dengan Syafiq, dia sedar banyak peminat mahu melihat mereka menjadi pasangan kekasih dalam dunia realiti.

“Bagaimanapun, soal hati dan perasaan mana boleh dipaksa. Kalau inginkan kami benar-benar bercinta dalam kehidupan sebenar, itu tidak mungkin akan berlaku. Lagipun saya dan Syafiq baru berkenalan sekitar tiga bulan,” ungkap Hannah yang menyifatkan Syafiq sebagai seorang lelaki yang budiman.

Serba boleh

Dikurniakan wajah jelita dan fizikal yang menawan sementelah usianya masih hijau, Hannah yang juga popular menerusi drama 7 Hari di Singapura ingin mengukir nama sebagai aktres serba boleh.

Banyak mengalirkan air mata sepanjang menjayakan watak Aira, Hannah mengakui dirinya memang seorang yang sensitif.

“Saya memang seorang yang senang mengalirkan air mata. Jiwa saya amat sensitif dan apabila melakonkan watak Aira, saya amat kasihankan watak tersebut. Jadi, apabila kasihan terhadap sesuatu atau seseorang, saya senang untuk menangis.

“Lagi satu, saya tidak mahu mensia-siakan bakat yang dipinjamkan Tuhan. Apabila berlakon, saya akan memberikan sehabis baik. Saya tidak kisah orang melihat saya buruk di kaca televisyen, yang penting emosi dan mesej watak diberikan dengan sepenuhnya,” jelas Hannah yang amat mengagumi bakat lakonan aktres Hollywood, Jennifer Lawrence.

Nyanyian

Ketika khalayak menghargai bakatnya sebagai seorang pelakon, tidak banyak yang tahu bahawa wanita itu juga mampu menyanyi dengan baik.

Dia pernah dikenali sebagai duo Delisha bersama adiknya, Mia suatu ketika dahulu dan sempat menghasilkan single berjudul Retak.

Selepas mengambil keputusan untuk bergelar penyanyi solo, Hannah pernah menghadirkan dua buah single berjudul Anugerah ciptaan Akir dan Forezen daripada kumpulan Hyperact.

Sekitar awal tahun ini, dia telah melahirkan single ketiga berjudul Tidak Perlu Kata Apa-Apa.

Ditanya tentang komitmennya sebagai seorang penyanyi, kata Hannah, dia masih menyanyi.

“Saya masih menyanyi. Sejujurnya, saya ingin bidang nyanyian dan lakonan berjalan seiring. Kalau boleh, saya juga ingin mencuba bidang-bidang lain termasuk pengacaraan di Malaysia, namun perlu membahagikan masa dengan sebaik mungkin,” terangnya yang pernah mengacarakan program Ciptarasa Rempah Ratus untuk siaran TVi.

Sebelum menamatkan sesi wawancara, Hannah sempat meluahkan keinginannya untuk menetap di Malaysia dan meluaskan jenama seninya secara konsisten.

“Saya telah buktikan bakat saya di Singapura. Malaysia adalah sebuah negara yang lebih besar, saya tiada masalah untuk berpindah dan menetap di sini untuk terus berkecimpung dalam bidang seni. Orang di sini juga menerima kedatangan saya dengan baik,” tutup Hannah.



Post a Comment

Previous Post Next Post