Fara Hezel tidak terkesan apabila dilabel sebagai menumpang populariti adiknya, Aiman Tino.
Selepas Aiman Tino mengecapi populariti sebagai penyanyi, kini tiba giliran kakaknya, Fara Hezel mengikuti jejak langkah untuk terjun ke dunia seni menerusi single sulungnya bertajuk Setiaku Pasti.
Meskipun baru dua bulan berkecimpung dalam bidang nyanyian, Fara atau nama sebenarnya, Nur Fara Azira, 21, telah terkena tempias populariti Aiman sejak belum bergelar penyanyi apabila gambarnya menjadi tular di internet.
Fara yang ditemui pada penggambaran klip video lagu Setiaku Pasti di Kajang, Selangor baru-baru ini memberitahu, dia tidak kisah seandainya dikatakan menumpang populariti Aiman untuk dikenali ramai.
Fara bahkan melihat situasi tersebut dari sudut positif. Baginya, sebagai adik-beradik tidak salah jika mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain bukannya bersaing.
KOSMO!: Setakat dua bulan menjadi penyanyi, bagaimanakah penerimaan peminat terhadap Fara Hezel?
Fara Hezel: Sejak melancarkan single Setiaku Pasti sekitar bulan Jun lalu dan lagu mula dimainkan menerusi radio, saya menerima banyak sokongan daripada peminat.
Saya masih dalam proses belajar menjadi anak seni seperti kemahiran berkomunikasi dengan orang ramai. Mujur Aiman banyak memberi tunjuk ajar kerana dia lebih berpengalaman.
Mengapakah anda memilih Fara Hezel sebagai nama komersial?
Nama sebenar saya ialah Nur Fara Azira. Sebelum menjadi penyanyi, saya bertanya kepada ibu, apakah nama komersial yang sesuai digunakan?
Selepas berfikir panjang, ibu mencadangkan nama saya digabungkan dengan namanya Hazelina menjadi Fara Hezel. Bagi saya, nama tersebut ringkas dan mudah diingati.
Apakah komen anda apabila didakwa menumpang populariti Aiman untuk dikenali ramai?
Bagi saya, tidak salah untuk menumpang populariti Aiman kerana kami adik-beradik. Namun sebagai penyanyi, saya tidak mahu hanya dikenali sebagai kakak Aiman Tino.
Jika boleh, biarlah saya dikenali hasil usaha dan bakat sendiri. Kami tidak bersaing, sebaliknya saling menyokong antara satu sama lain kerana karier saya dan Aiman bermula sebagai projek keluarga.
Maknanya, apa yang kami lakukan bukan untuk kepuasan diri semata-mata tetapi lebih kepada membantu keluarga untuk menambah rezeki.
Lumrah menjadi anak seni, pastinya tidak dapat lari daripada kritikan atau terjebak dengan kontroversi, adakah anda sudah bersedia?
Sejak membuat keputusan untuk terjun ke dunia seni saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Jadi, segala cabaran terpaksa dihadapi termasuklah dikritik mahupun terbabit dalam kontroversi.
Saya melihat sendiri Aiman sudah melaluinya dan sedar ada harga yang harus dibayar apabila dikenali ramai. Apa pun saya akan ambil pendekatan untuk tidak cepat melatah terhadap sebarang isu dan kena banyak bersabar.
Bagaimanakah pula tentang arah tuju muzik anda sebagai penyanyi?
Setakat ini, saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada bapa, Yusry Ishak sebagai komposer dan ibu, Hazelina Mat Jalil sebagai penulis lirik. Mereka yang mencipta lagu Setiaku Pasti dan ia amat sesuai dengan jiwa saya yang meminati lagu balada.
Sungguhpun begitu, bapa tetap meminta pandangan saya sebelum membuat sebarang kata putus. Saya selesa bekerja dengan ibu bapa sendiri kerana mereka amat arif tentang kebolehan dan minat anak mereka.
Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kerjaya anda?
Selain sibuk mempromosi single Setiaku Pasti, saya kini dalam proses merakam sebuah lagu duet bersama Aiman. Kiranya ini kerjasama pertama saya bersama Aiman dalam sebuah lagu.
Menariknya dalam lagu berentak rancak itu, Aiman akan menyanyikan bahagian rap. Memang ia agak berlainan daripada apa yang saya dan Aiman biasa nyanyikan tetapi sebagai penyanyi kami harus mencuba sesuatu yang baharu bagi mencipta kelainan.
Jika tiada aral melintang, lagu baharu itu akan dikeluarkan pada awal tahun depan.