SELEPAS berjaya bergelar penerbit drama tersohor, A. Aida kini dalam perancangan untuk merealisasikan hasratnya untuk membikin sebuah filem berjudul Cik Siti.
Tidak cukup dengan fenomena luar biasa drama terbitan syarikatnya, A. Aida Production berjudul Andainya Takdir yang berjaya mencatat jumlah tontonan sebanyak 10 juta sepanjang bersiaran, Datuk A. Aida sudah bercadang untuk menerbitkan sekuel drama tersebut.
Kata A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, drama yang asalnya diterajui pelakon Shukri Yahaya dan Nina Iskandar itu akan mengekalkan pelakon terdahulu, namun mengetengahkan isu serta realiti kehidupan masyarakat yang lebih mencengkam hati.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Andainya Takdir mendapat tempat istimewa dalam kalangan penonton. Sebenarnya saya sasarkan 20 juta tontonan, namun 10 juta pun sudah memadai.
“Saya sudah menjangka drama itu akan menjadi hit kerana isu yang diketengahkan amat dekat dengan jiwa penonton. Untuk sekuel nanti, saya ingin terus membuatkan penonton tidak senang duduk melihat naratif yang kemas dan realiti kehidupan lebih dekat dengan khalayak,” ujar A. Aida.
Ditanya mengenai formula kejayaan drama terbitan syarikat miliknya, A. Aida bagaimanapun berkata, ketulusan dalam penerbitan drama sangat penting terutama dalam memaparkan realiti kehidupan yang sebenar.
“Saya tidak suka bikin naskhah yang syok sendiri atau bersifat terlalu fantasi. Itu bukan cara saya. Penonton ingin dihidangkan dengan cerita yang berlaku dalam kehidupan seharian, jadi saya beri apa yang mereka mahu.
“Tidak kisahlah kalau orang cakap drama terbitan saya klise atau sebagainya. Apa yang penting, orang ingin menonton naskhah sebenar, bukan buka televisyen kemudian berangan tidak henti-henti disebabkan terlalu hanyut dengan fantasi yang bukan-bukan,” getus wanita berusia 46 tahun itu.
Ditanya mengenai pendapatnya tentang kebanjiran drama adaptasi novel yang kebanyakannya menggunakan tajuk yang bukan-bukan atau meleret, A. Aida mempunyai buah fikirannya tersendiri.
“Itu adalah hak masing-masing. Kalau sudah tajuk novelnya bukan-bukan, bukan 100 peratus salah terletak pada bahu pengarah atau penerbit.
“Apa yang boleh dibuat kalau itu memang kehendak penonton tetapi kalau sudah terlalu banyak naskhah yang sedemikian, penonton akan bosan. Dahulu drama terbitan saya, Halimah Jonggang pun teruk dikecam hingga masuk Parlimen. Bagaimanapun, ia menjadi satu trend dan ramai penerbit pun ikut menghasilkan drama sebegitu,” katanya.
Filem sulung
Dalam perkembangan lain, A. Aida bakal menerbitkan sebuah filem berjudul Cik Siti. Naskhah tersebut dijadikan filem selepas telefilem dengan judul yang sama mendapat sambutan baik daripada penonton.
Kata A. Aida, sebagai penerbit filem tersebut, dia masih mencari pelakon wanita paling sesuai untuk membawakan watak Cik Siti yang baginya sukar untuk diterjemahkan.
“Saya masih mencari pelakon wanita yang sesuai untuk melakonkan watak Cik Siti. Filem ini berdasarkan kisah legenda dan pelakon yang bakal terpilih haruslah sempurna dari segala segi.
“Bukan sahaja cantik dan mempunyai karisma, sesiapa yang dipilih mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menterjemahkan watak ini dengan cemerlang. Bukan mudah untuk membawakan karakter seorang wanita yang berkahwin dengan 99 orang lelaki,” jelasnya.
Diusulkan persoalan, mengapa selepas sekian lama baru kini dia mempunyai keyakinan untuk menerbitkan karya filem, A. Aida berkata, sudah tiba waktu untuk syarikat miliknya meluaskan jenama dengan menerbitkan filem.
“Ingin bikin filem bukan sesuatu yang mudah. Kos pembikinan bukan sedikit. Banyak perkara yang perlu diambil kira. Kalau saya ingin bikin filem, saya bukan bikin sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Filem Cik Siti akan menggunakan banyak teknik pengimejan berkomputer (CGI). Hampir 80 peratus CGI akan digunakan dan perkara tersebut adalah kekuatan filem yang diharapkan memulakan penggambaran pada tahun depan itu,” tuturnya menutup perbualan.