Penampilan sulung bintang Singapura, Hannah Delisha menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer di samping Syafiq Kyle berjaya membawa pemilik nama sebenar Hannah Delisha Blackburne Birch ini dilimpahi skala populariti yang bukan calang-calang.
Meskipun masih hijau dalam dunia seni baik di Malaysia dan Singapura, namun tuah dan peluang yang diraih gadis kacukan Melayu-Inggeris ini dianggap sebagai rezeki terpijak buatnya dalam kerjaya seni.
Apatah lagi, setelah menerima maklum balas baik daripada penonton terhadap mutu lakonannya di dalam drama bersiri itu, kredibiliti bintang berusia 21 tahun ini sekali lagi akan teruji di dalam sebuah filem tidak lama lagi.
Enggan menyatakan butiran filem tersebut dengan lebih lanjut kerana masih dalam proses perbincangan, namun Hannah nyata teruja berlakon dalam filem genre seram itu. Apatah lagi, filem tersebut bakal diarahkan pengarah berkaliber, Osman Ali.
Menyifatkan tawaran yang hadir sebagai kepercayaan cukup berharga, Hannah turut merakamkan rasa terharunya kerana dipilih terlibat dalam filem itu yang bakal memasuki set bulan depan.
“Alhamdulillah dengan tawaran yang datang. Saya percaya pada rezeki dan bila peluang seperti ini hadir di depan mata, sudah pasti saya tidak akan lepaskan.
“Bagaimanapun sebagai muka baru, saya perlu explore cabang seni lain dan kesempatan berlakon naskhah filem yang bagus tidak akan saya lepaskan. Saya cuba beri yang terbaik nanti, insya-ALLAH.
“Cuma selain teruja nak berlakon filem, lebih penting saya berharap dapat kutip ilmu daripada pelakon senior lain selain pengarahnya juga,” katanya ketika ditemui pada majlis Grand Opening Mary Jardin di Shah Alam, baru-baru ini.
Mary Jardin merupakan jenama yang baru sahaja memperkenalkan produk penjagaan wajah sendiri dan bakal mengeluarkan pakaian atas jenama tersebut dalam tempoh terdekat.
Tak sangka dikenali
Melihat perkembangan positif terhadap profesionnya sebagai pelakon ketika ini, Hannah sesekali tidak pernah mengimpikan apa yang laluinya kini pernah diangan-angankan sebelum ini. Malah akuinya, dia hanya muka baru yang mahu mencari tapak kukuh dalam arena seni di Malaysia.
“Saya sungguh tidak sangka sebab sedar, bukan mudah untuk membuatkan peminat mengenali kita hanya dengan satu drama saja. Saya pun tak jangka drama Mencintaimu Mr Photographer boleh meletup.
“Inilah rezeki dan terima kasih buat penonton yang setia menyokong drama tersebut dari awal hingga akhir,” luah Hannah yang turut berbesar hati apabila rata-rata penonton memberi respons yang positif terhadap dirinya.
Terdahulu, Hannah turut aktif di Singapura dan kurang dua tahun terlibat dalam dunia showbiz di sana, Hannah yang boleh bertutur dalam beberapa bahasa dunia sudah pun berlakon lebih sembilan drama.
Pada masa sama, Hannah juga turut mempunyai beberapa single kerana selain berlakon, dia turut aktif menyanyi dan menjadi pengacara.
Ditanya keutamaannya ketika ini memandangkan bidang lakonan lebih menampakkan sinar di dalam kerjaya, Hannah berazam untuk terus sukses dalam nyanyian dan lakonan.
“Percaya atau tidak selepas berlakon drama itu, saya juga ada menerima tawaran rakam lagi. Satu perkembangan baik sebab sebelum ini pun saya sudah pun punyai beberapa single seperti Retak dan Anugerah.
“Kalau kena pada masanya, saya tidak akan lepaskan peluang untuk rakam lagu baru kerana selain berlakon, saya juga meminati nyanyian,” jelasnya yang turut kagumi kualiti lakonan aktor Arash Mohamad yang mendukung peranan sebagai bapanya dalam drama Mencintaimu Mr Photographer.
Pengikut IG bertambah
Sementara itu, Hannah juga sudah boleh melirik senyum lebar kerana dia tidak hanya memiliki peminat yang banyak menyokong, tetapi juga bilangan pengikutnya di laman sosial turut bertambah.
Terang Hannah, mungkin pertambahan pengikut itu adalah daripada impak populariti drama Mencintaimu Mr Photographer.
“Terima kasih buat peminat sama ada di Malaysia dan Singapura yang menyokong. Tiada kata yang boleh saya tafsirkan bagi gambarkan perasaan ini. Saya masih lagi baru dan perlu banyak belajar untuk tambah ilmu,” luah Hannah ringkas.
Dalam ramai memuji, pasti ada mengeji. Namun Hannah tidak mengambilnya sebagai hal besar kerana sebagai manusia, dia tidak mampu puaskan hati semua pihak.