Fazley Yaakob dilantik Duta Pelancongan Halal Taiwan


Sesuatu yang membanggakan penulis bersama beberapa teman media yang terpilih, apabila dapat menyaksikan pelantikan cef selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan sempena lawatan teroka halal di negara berkenaan baru-baru ini.

Menghabiskan selama lima hari empat malam dalam rombongan kerja bersama Fazley anjuran SukaSucre Creatives x Uprising Entertainment Sdn. Bhd. di Taiwan memberi satu pengenalan baharu kepada penulis terhadap Fazley dan Taiwan khususnya.

Fazley tidak meletakkan jurang ‘pangkat’ dengan rakan-rakan media apabila dia sendiri turun padang mengikuti setiap itinerari teroka halal yang diaturkan oleh Biro Pelancongan Taiwan termasuk menaiki bas dan juga menghadapi cuaca panas yang mengiringi perjalanan kami di sana.

Ironinya, cukup besar tugas dan tanggungjawab lelaki yang dikenali sebagai ‘Abang Asmara’ itu sebagai duta bagi memperkenalkan Taiwan sebagai destinasi pelancongan halal yang tidak harus dipandang enteng oleh rakyat Malaysia.

“Pelancong Malaysia sangat gemar ke Korea atau Jepun misalnya walaupun mereka tahu ia bukan sebuah negara yang sempurna penyediaan makanan halal termasuk kurang terdapat masjid.

“Kalau nak tahu, di Taiwan terdapat masyarakat Islam dan banyak masjid yang ada antaranya sudah berusia beratus tahun. Malah, di sekeliling masjid berkenaan terdapat banyak gerai makanan halal,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Menang

Jadi katanya, adalah menjadi tugasnya sebagai duta halal Taiwan untuk berkongsi maklumat dengan pengunjung bukan hanya di Malaysia tetapi di Singapura, Brunei dan Indonesia, bahawa datang ke Taiwan tidak perlu risau tentang makanan, cara penyediaan makanan tersebut serta perihal solat.

“Ada beberapa restoran halal dan hotel yang menyediakan tandas dengan paip basuhan. Kita pergi Eropah pun susah nak cari tandas yang ada paip. Itu menunjukkan mereka respek cara orang Islam.


Selepas pelantikannya sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan, cef yang juga merupakan penyanyi lagu Asmara Ini itu merancang untuk membuka restoran di Taiwan.

“Malah, ada beberapa hotel dan restoran yang menyediakan tempat masak termasuk perkakas periuk dan mangkuk khas untuk menyediakan makanan halal. Hotel dan restoran itu juga dikunjungi oleh majlis halal Taiwan,” jelasnya yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan selama setahun bermula 23 Julai lalu.

Pelantikan itu dibuat sempena Pameran Kulinari Taiwan 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Taiwan pada 23 Julai lalu.

Mengakui sudah menjadi duta halal secara tidak langsung selama setahun dan meneroka Taiwan sebelum tarikh rasmi pelantikan, Fazley menyifatkan pemilihannya itu satu tanggungjawab besar yang harus dipikulnya dengan jujur.

Detik pelantikan bermula apabila tahun lalu Fazley berjaya menewaskan seorang cef Taiwan dalam pertandingan persahabatan memasak makanan halal di sana.

“Tahun lepas, saya datang sebagai cef jemputan untuk bertanding dengan cef di Taiwan. Saya memenangi pertandingan itu sehingga mendapat liputan menyeluruh daripada pihak media Taiwan, Jepun dan China.

“Sejak itu, saya sering mendapat undangan bagi mempromosikan Taiwan termasuk di Kuala Lumpur sehingga mereka melantik saya,” ujarnya yang memasak tiga menu iaitu daging salai masak lemak cili api, udang kara masak telur masin dengan cili padi, kuih puteri mandi dengan caramelise bananas ketika meraih tiket kemenangan.

Kongsi resipi

Selain menjadi Duta Pelancongan Halal Taiwan, secara timbal balik, kata Fazley, dia juga menjadi duta kecil untuk menggalakkan orang Taiwan melancong ke Malaysia.

“Selepas kemenangan di Taiwan, saya mendapat liputan yang meluas daripada media di sana. Saya membawa nama Malaysia dan produk-produk di negara kita. Secara tidak langsung saya perkenalkan Malaysia kepada mereka,” ujarnya yang turut bermurah hati berkongsi resipi masakannya dengan cef-cef di beberapa hotel di Taiwan.

Katanya, dia ada berbincang dengan beberapa cef di Taiwan untuk memperkenalkan resipi-resipinya di restoran halal dan hotel di Taiwan.

“Saya pegang prinsip arwah ayah yang juga merupakan tukang masak. Dia cakap tidak salah untuk berkongsi ilmu. Ini kerana, kalau saya berkongsi resipi sekali pun rasa masakan tidak akan sama dengan kita. Semuanya bergantung pada air tangan masing-masing,” ujarnya optimis.

Album Mandarin

Dalam perkembangan lain, Fazley memberitahu, dia bakal mengeluarkan album mini Mandarin di Taiwan tidak lama lagi.

“Saya akan bekerjasama dengan penyanyi Soo Wincci yang bertindak sebagai alih bahasa untuk enam lagu yang akan dimuatkan dalam album itu nanti.

“Satu daripada single saya yang berjudul Ketiadaan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi turut akan dialih bahasa ke bahasa Mandarin,” kongsinya.

Bagi Fazley, dia tidak ada masalah untuk menyanyi lagu Kantonis, namun untuk lagu Mandarin dia masih belajar sebutan kosa kata.

Maka, tiga anak lelakinya yang mahir menulis dan bertutur dalam bahasa Mandarin menjadi rujukan terdekatnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post