RENTETAN isu pertelingkahan yang terjadi antara pelakon Ika Nabella dan seorang wanita yang dikenali dengan nama Needa Abdullah di sebuah lapangan terbang baru-baru ini, pelakon drama Lara Terindah itu dikatakan ada membuat satu laporan polis pada minggu lalu di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Bukan itu sahaja, kata Ika, dia juga meminta pihak berkenaan untuk mengemukakan permohonan maaf atas tindakan kata-kata kesat dan ugutan yang disifatkan sebagai mencemarkan imej dan reputasinya. Justeru, pelakon berusia 28 tahun itu meminta pihak tersebut untuk berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari.
Sungguhpun begitu, katanya, sehingga artikel ini ditulis, dia belum menerima sebarang permohonan maaf secara terbuka daripada individu berkenaan.
“Ya, saya memang ada buat laporan polis. Saya juga meminta pihak berkenaan untuk memadamkan segala posting yang dimuat naik di laman sosial miliknya yang ada menyentuh dan menyebut nama saya. Saya berasakan tindakannya itu sudah memalukan saya dengan melemparkan kata-kata kesat yang keterlaluan.
“Sehingga ke hari ini, saya masih lagi menerima mesej secara peribadi di Instagram daripada pengikut di laman sosialnya menceritakan perihal mengenai wanita tersebut,” kata pelakon drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menurut Ika, sekiranya ia berlarutan, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. Sungguhpun begitu, menurut Ika, sebolehnya dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut.
Ika membuat laporan polis berhubung insiden pertelingkahan dengan seorang wanita di lapangan terbang baru-baru ini.
“Kalau dia berasakan bahawa apa yang berlaku itu adalah disebabkan kesilapan saya, saya minta maaf. Cuma, apabila dia menghantar mesej terlebih dulu kepada saya di Instagram dengan mengeluarkan perkataan berbaur penghinaan, itu tidak sepatutnya.
“Apa yang saya kongsikan di Instagram itu hanyalah 10 peratus sahaja. Sebenarnya, apa yang saya terima lebih daripada itu,” cerita bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam itu.
Menurutnya lagi, dia juga tidak ada menerima sebarang mesej secara peribadi daripada wanita berkenaan untuk bersua bagi menyelesaikan konflik yang tercetus.
“Kena lihatlah dulu kalau mahu jumpa untuk apa. Kalau bertemu untuk meneruskan maki hamun, tak perlulah rasanya. Cuma, satu yang saya minta hentikan posting segala apa yang boleh mencemarkan dan menjatuhkan maruah saya,” katanya.
Ditanya mengenai status wanita berkenaan, kata Ika, dia tidak mengenali individu tersebut secara peribadi. Bagaimanapun, atas tanda hormat, dia menggelarkan individu tersebut dengan panggilan ‘makcik’ sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih berusia.
“Saya panggil dia makcik kerana saya menghormati dirinya sebagai orang yang saya percaya jauh lebih tua daripada saya. Bagaimanapun, saya tidak pasti sekiranya dia mempunyai gelaran atau pangkat tertentu, mungkin Datuk ke Datin,” katanya.
Baru-baru ini, berlaku kekecohan di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur apabila individu yang dikenali sebagai Needa bertengkar dengan Ika ketika berada di ruangan kutipan bagasi gara-gara insiden perlanggaran.
Konflik itu tidak terhenti di situ, sebaliknya berterusan di laman sosial hingga mendapat perhatian dan respons dalam kalangan netizen.