Keidupan Fadil berubah apabila disangka sebagai pembunuh upahan bernama Tiger.
Selepas tiga tahun, Abang Long Fadil kini bukan lagi gengster jalanan. Percaya atau tidak, naratif kehidupan Fadil kini berubah secara total apabila tiba-tiba terjebak dalam kancah dunia mafia tanpa diduga.
Begitulah sinopsis awal mengenai filem sekuel terbitan Skop Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama Astro Shaw, Abang Long Fadil 2 yang dijangka menjengah pawagam tempatan tidak lama lagi.
Siapa sangka watak Fadil (lakonan Zizan Razak) boleh dikembangkan sejauh ini sehingga dijadikan sekuel selepas sekadar tampil sebagai tukang lelucon dalam filem KL Gangster pada tahun 2011.
Selepas sahabat baiknya, Malik terpaksa menjalani hukuman lima tahun di penjara, Fadil yang berhasrat untuk terus cuci tangan’ terpaksa melakukan tugasan terakhir jika mahu dibebaskan daripada cengkaman Geng Shark, seperti mana yang divisualkan dalam filem Abang Long Fadil pada tiga tahun sudah.
Untuk sekuel filem berkenaan kali ini, Fadil juga berdepan insiden lebih mencabar selepas terjebak dalam dunia mafia, selain diburu pihak berkuasa kerana dianggap suspek utama iaitu seorang pembunuh upahan bernama Tiger.
Kisah watak sampingan seperti Fadil yang diangkat menjadi hero sebenarnya bukan sesuatu yang baharu terutamanya di Hollywood misalannya. Antara watak-watak yang pada mulanya dianggap sebagai pelengkap filem sebelum menjadi teraju utama di sana termasuklah Hit Girl dalam filem Kick Ass, Dory (Finding Nemo), Minions (Despicable Me) dan banyak lagi.
Cuma, sejauh mana sikap gila-gila Fadil mampu mengekalkan momentum untuk berterusan menarik perhatian khalayak pastinya terjawab di pawagam nanti, tambahan pula bajet keseluruhan filem ini dianggarkan mencecah RM3.2 juta sebaik memulakan penggambaran di sekitar Putrajaya dan ibu negara kira-kira dua tahun lepas.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.
Masih kekal duduk di kerusi sutradara seperti mana filem pertama, Syafiq Yusof pastinya memiliki formula istimewa supaya kisah tauladan yang cuba disampaikan menerusi filem Abang Long Fadil 2 berterusan melekat di jiwa penonton.
Sementelahan pula, magis yang dimiliki Syafiq terutamanya ketika bermain dengan kesan khas dan sinematografi serta plot twist yang tidak terjangka selama ini, pastinya tidak lagi mengundang pertikaian penonton.
Menyedari harapan menggunung penonton berhubung perkara itu, Syafiq memberikan jaminan betapa sekuel kali ini tidak sama berbanding yang pertama lantaran jalan cerita dan pelakon yang berbeza melainkan Zizan, selain cukup padat dengan aksi-aksi mendebarkan kendatipun kekal bermain dengan elemen komedi.
“Menerusi sekuel kali ini, penonton dapat menyaksikan bagaimana Fadil terjerumus ke dalam kancah dunia mafia, selain perubahan hidupnya berbanding sekadar menjadi gengster jalanan sebelum ini.
“Saya juga boleh jamin ia memaparkan kisah penceritaan yang jauh lebih matang dan elegan berbanding filem pertama kerana jalan cerita berbeza,” ungkap Syafiq.
Menjadikan filem Kingsman: The Secret Service sebagai sumber inspirasinya ketika mengarahkan filem ini, Syafiq bagaimanapun percaya Abang Long Fadil 2 tetap memiliki keistimewaannya tersendiri terutamanya ketika membabitkan babak-babak penuh aksi.
“Masalah cuaca tidak menentu merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi ketika sesi penggambaran sebelum ini hingga menyebabkan beberapa babak terpaksa ditangguhkan,” ceritanya lagi.
Dalam pada itu, salah seorang pelakon, Tania Hudson memberitahu, dia berdepan cabaran untuk memastikan wataknya sebagai seorang wartawan jenayah bernama Yana sentiasa kelihatan hidup gara-gara watak itu tidak wujud dalam filem terdahulu sebelum ini.
PELBAGAI usaha terpaksa dilakukan Fadil bagi membersihkan namanya semula.
“Perasaan gementar semasa sesi penggambaran sedikit demi sedikit dapat diatasi terutamanya dengan bantuan Zizan yang suka melawak di set lokasi.
“Kami juga tidak berdepan masalah untuk membentuk keserasian dalam masa singkat,” jelasnya.
Getus Tania, dia juga teruja menjayakan watak komedi buat julung-julung kalinya menerusi filem ini.
“Sudah sekian lama saya mahu mencabar kemampuan diri menjayakan watak sebegini. Alhamdulillah, ia dipermudahkan apabila berlakon bersama Zizan dan Achey,” ujarnya.
Filem Abang Long Fadil 2 mengisahkan mengenai perjalanan hidup Fadil yang terjebah ke dunia mafia yang didalangi Taji Samprit dan anaknya, Wak Doyok.
Pada masa sama, terjadinya satu insiden yang menyebabkan Fadil disalah anggap oleh Inspektor Wahab dan Inspektor Shuib sebagai pembunuh upahan yang dikenali sebagai Tiger, sekali gus terpaksa memburu seteru utama Taji Samprit yang cukup gila kuasa bernama King Kong.
Kesulitan yang dialami Fadil juga tidak terhenti di situ apabila terserempak dengan Yana, seorang wartawan TVKL yang sering kali membuat liputan kes-kes pembunuhan yang dilakukan Tiger sebelum ini.
Pelbagai aksi dan situasi komedi turut berlaku dalam hidup Fadil sebagai seorang pembunuh upahan. Justeru, Fadil hanya memiliki satu cara untuk membersihkan namanya iaitu mencari identiti sebenar Tiger bagi membetulkan semula keadaan kelam-kabut yang berlaku dalam kehidupannya sekali gus membuktikan dirinya tidak bersalah.
Selain Zizan, Tania dan Achey, turut membintangi filem berkenaan ialah Syamsul Yusof, Wak Doyok, A. Galak, Mas Khan dan ramai lagi.
Berjayakah Fadil menempuh setiap dugaan yang berlaku? Siapakah Tiger yang sebenar dan apakah misteri yang cuba disembunyikannya selama ini? Jangan lupa saksikan Abang Long Fadil 2 di pawagam berdekatan bermula 24 Ogos ini.