Perjalanan aktres ini di dalam bidang seni bukannya baru bermula. Dia sudah mula berjinak-jinak di dalam dunia lakonan sejak 2010 dan semakin dikenali selepas membintangi beberapa filem di bawah Metrowealth Production.
Namun kontroversi yang berlaku tahun lalu benar-benar meninggalkan kesan buat Atikah Suhaime.
Meskipun puas menafikan dia terlibat dengan skandal video seks, namun gambar bogel yang tersebar tidak lama selepas itu memburukkan lagi keadaan.
Ternyata kontroversi itu bukan sahaja menjejaskan nama baiknya, tetapi memberi kesan terhadap karier seninya.
Akui gadis berusia 26 tahun ini, dek kerana kontroversi terbabit, dia tidak mendapat apa-apa tawaran berlakon sejak Oktober tahun lalu.
Situasi itu menyebabkan dia terpaksa pulang ke negara asalnya di Tampines, Singapura dan bekerja sebagai pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat.
"Benar, saya sudah pulang ke Singapura sejak Ramadan lalu disebabkan tidak ada tawaran lagi di Malaysia. Lebih-lebih lagi duit simpanan saya makin susut. Jadi saya buat keputusan untuk mencari kerja di Singapura.
"Alhamdulillah selain bekerja sebagai pegawai pemasaran, saya juga menerima tawaran berlakon dan mengacara, tapi hanya di Singapura dan tidaklah seaktif dulu.
"Lucunya bila saya sudah kembali ke Singapura, barulah ada beberapa tawaran, tapi kerana sudah ada komitmen, saya terpaksa tolak," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi Atikah, segala yang berlaku ada hikmahnya kerana dia kini mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga.
Berbeza ketika sibuk berlakon banyak perkara yang terpaksa ditinggalkan termasuk sambutan hari lahir ibunya, majlis perkahwinan sepupu dan kelahiran anak saudara malah ada ketika tidak sempat melawat bapanya yang dimasukkan ke hospital.
"Jadi saya lihat inilah masa untuk saya tebus balik masa yang tidak sempat saya luangkan bersama mereka dan jalani hidup secara normal," jelasnya.
Ditanya tindakannya memadam status mengenai 'persaraannya' dari industri seni sehingga ada sesetengah pihak yang melihat dia keliru dan tidak tetap pendirian, Atikah menjelaskan, tindakan itu dibuat atas permintaan ibunya.
Atikah juga mengakui dia mahu menjalani kehidupan normal dan tidak perlu melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian orang lain.
Atikah bakal muncul dalam filem terbaru, Pencuri Hati Mr Cinderella yang akan ditayangkan 10 Ogos dan mungkin kali terakhir berlakon.
Hajat tak kesampaian
Sementara itu, berkongsi filem terbaru lakonannya, Atikah berkata, dia teruja apabila berpeluang berlakon bersama Ahmad Idham.
Bagaimanapun ujar Atikah, dia agak terkilan kerana hajatnya berlakon di samping Haliza Misbun tidak kesampaian meskipun berada di dalam filem yang sama.
"Saya melakonkan watak sebagai seorang GRO bernama Ameera. Suatu hari saya berkenalan dengan Salman (lakonan Idham) di tempat kerja saya dan Salman seterusnya meminta saya menemaninya untuk beberapa hari. Dari situ kami saling jatuh cinta.
"Seronok berlakon dengan abang Idham kerana dia sangat profesional, matang dan banyak beri tunjuk ajar pada saya. Namun apa yang saya kesalkan ialah tiada adegan idola saya, Haliza.
"Saya berharap suatu hari nanti, saya berpeluang berlakon bersamanya," katanya yang tidak bimbang andai ada yang membandingkan lakonannya dengan Haliza.