LAGU Sedalam Dalam Rindu hasil ciptaan Alam dan lirik oleh Bazil dan Iwan benar-benar memberi seribu makna buat pendatang baru, Tajul Ariff atau nama sebenarnya, Tajul Arif Noor Md Shari dalam dunia muzik tempatan.
Tidak hanya kerana memiliki suara mirip arwah abangnya, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari (Achik Spin), namun keupayaan vokal anak muda berusia 19 tahun ini turut dipuji ramai.
Lebih membanggakan, muzik video single sulung daripada penyanyi berkenaan juga sudah pun mencecah lebih 20 juta tontonan menerusi laman YouTube.
Sudah pasti, angka besar itu menjadi pendorong buat penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan ini untuk terus menggapai sukses dalam nyanyian.
Menyorot perjalanan seninya, Tajul mula mengasah skil nyanyiannya menerusi aplikasi Smule beberapa tahun lalu dengan mendendangkan cover version lagu-lagu popular lantas memuat naik di laman sosial.
Sejak itu, bakatnya mulai diintai label rakaman FMC Music lantas melamarnya untuk mengikat kontrak sebagai penyanyi profesional.
Bersyukur dengan perjalanan kerjayanya setakat ini, bintang yang dilahirkan pada 1 April 1999 ini mengakui ‘hayatnya’ di dalam dunia nyanyian masih lagi hijau. Banyak perkara yang perlu dipelajari demi menimba pengalaman.
“Saya anggap diri ini masih dalam proses belajar untuk menyesuaikan diri dalam seni. Masih banyak yang perlu saya timba untuk jadi penyanyi yang baik.
Bagaimanapun, saya rasa syukur dan gembira sebab single pertama pun dapat perhatian yang baik dari pencinta muzik tanah air.
“Kiranya ia permulaan baik buat orang baru macam saya ni,” luahnya membuka kata.
Sementara itu, Tajul menyifatkan kerjayanya yang makin menampakkan sinar ini turut merubah gaya dan rutin hidupnya.
“Alhamdulillah, hidup saya sekarang berubah serta-merta. Kalau dulu orang tidak kenal pun, tapi sekarang adalah juga peminat yang mahu bergambar. Syukur bila diri makin diterima. meski ramai pendatang baru seangkatan yang tidak kurang hebatnya.
“Saya percaya pada rezeki dan rasanya tidak perlu nak banding-bandingkan kami yang masih baru ni sebab semuanya ada kelebihan dan kelompok peminat masing-masing,” katanya positif.
Tajul ditemui Media Hiburan ketika proses rakaman untuk program Muzik-Muzik Raya, baru-baru ini.
Selain popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu, namanya kian kukuh dalam dunia muzik apabila single keduanya bersama Wany Hasrita yang berjudul Di sana Cinta Di Sini Rindu turut menerima perhatian.
Lagu duet gamit memori
Lagu duet tersebut nyata memberi impak besar buat kedua-dua penyanyi muda itu apabila rata-rata netizen membayangkan kerjasama itu ibarat menggamit nostalgia Nana (Siti Nordiana) dan Achik Spin.
Berkongsi mengenai perkara tersebut, Tajul akui sudah pun mengetahui respons yang diterima netizen.
“Ada yang komen dan tidak kurang yang katakan kami ni pasangan duet serasi. Alhamdulillah, komen dan kritikan diterima.
“Baik atau buruk saya tetap anggap sebagai dorongan. Tambah lagi sebagai orang baru, sudah tentunya komen-komen netizen banyak membantu untuk melihat mana yang kurang untuk diperbaiki.
“Soal banding dengan arwah abang, saya tidak kisah kerana arwah memang abang saya. Jadi mahu tidak mahu, pasti akan ada yang mengaitkan. Saya okay saja,” terang Tajul ringkas.
Tambahnya lagi, selain membanding ada juga yang anggap keserasian bersama Wany menerusi lagu tersebut seperti adanya ‘bunga-bunga cinta’ di antara mereka.
“Tak bercinta pun. Kami sekadar rakan sekerja dan hanya mahu berikan yang terbaik untuk lagu tersebut. Lebih-lebih tak ada pun sebab masing-masing masih muda dan tengah gigih untuk bina nama,” kongsi Tajul menjelaskan kedudukan sebenar.
Mengulas perkembangan terkininya pula, Tajul sudah pun merancang merakamkan single terbaru, namun masih mencari lagu yang sesuai dengan personaliti dan tone suaranya.
“Selebihnya, saya giat promosi single duet saya bersama Wany selain memenuhi undangan persembahan nyanyian dan sesi fotografi,” kata Tajul mengakhiri perbualan.