As’ad Motawh Saya tahu beza konsert, showcase!




Pantang ada kesilapan sedikit, warganet nampaknya seakan tidak pernah mahu mensia-siakan segala peluang untuk mengecam dan mengkritik penyanyi berusia 18 tahun ini.

Sejak membuat kemunculan pertama menerusi lagu berjudul Senyum, As’ad Motawh tidak pernah gagal menerima komen negatif daripada pembencinya dalam media sosial.

Malah, ada yang bersikap keterlaluan dengan sengaja mencari kesalahan penyanyi ini meski adakalanya perkara yang berbangkit tidak relevan untuk dipanjangkan.

Seperti isu dia dikecam kerana berhasrat mengadakan konsert The Percaya Tour yang telah pun memulakan siri jelajah semalam.

Dituduh tidak layak mengadakan konsert kerana tidak mempunyai pakej vokal yang sempurna sebagai seorang penyanyi, hasrat As’ad juga dipertikai kerana dia cuma mempunyai dua buah lagu sahaja setakat ini.

“Saya pun tak pasti kenapa ada yang tak puas hati sangat. Idea untuk mengadakan jelajah ini memang datang daripada saya dan pengurus. Sejak mula bergelar artis, saya akui menyimpan banyak impian dan antaranya adalah mengadakan konsert jelajah.

“Syukurlah pengurus saya banyak membantu merealisasikan hasrat ini dan agak mengejutkan kerana impian ini menjadi nyata juga,” katanya menjernihkan kekeruhan.

Pun begitu penyanyi ini sedar akan ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan kenyataannya. Paling menghiris kalbu tatkala isu perkataan konsert pula yang menjadi perdebatan.

Ada yang menuduh dia mengada-ada mahu menggunakan perkataan konsert untuk menggambarkan kehebatan persembahannya kecilnya itu. Lalu, apa lagi perlu dilakukan olehnya?

“Memang benar ada komen yang diterima sebegitu. Bagi saya, tak salah pun kalau saya mencuba apa lagi melakukan sesuatu yang tak pernah dibuat oleh orang. Kalau ia menjadi, bagus. Kalau ia tak menjadi, bukan satu penyebab untuk saya mudah putus asa.

“Kita dah biasa dengar artis buat persembahan atau konsert jelajah apabila mereka mempunyai album. Tak salah kalau saya cuba beri kelainan dengan mengadakan jelajah dengan lagu pula,” katanya mempertahankan niatnya.

Namun As’ad tetap dengan pendirian, dia tidak pernah menyebut perkataan konsert sebelum ini. Katanya, dia hanya menggunakan kata nama jelajah dan showcase (persembahan kecil) memandangkan ia percuma.

Peminat yang hadir pula tidak perlu membayar wang memandangkan mereka boleh hadir ke lokasi yang ditetapkan.

“Satu sahaja yang saya mahu katakan, takkanlah saya tak pandai mahu membezakan antara showcase dan konsert. Saya tahu konsert adalah sebuah persembahan berskala besar.

“Mungkin berlakunya salah faham sebab memang ia bukanlah sebuah konsert. Malah ada juga yang ingat ia adalah sebuah konsert solo hanya kerana saya menjadi tumpuan utama. Tidak. Sepanjang berada di enam lokasi siri jelajah ini, saya bersama rakan Isma San dan kumpulan Outbreak,” katanya.

Soalan panas , As’ad jawab
1. Ingatkan buat showcase secara solo rupa-rupanya bawa ‘tentera’ lain rupanya. Ada yang dakwa As’ad temberang? Komen sikit.

As’ad : Itu semuanya kerana mereka telah mendapat informasi yang salah. Kalau tengok nama persembahan ini pun bukannya nama saya seorang, contohnya As’ad Motawh Road Tour.

2. Bagaimana awak mengendalikan segala kritikan yang diterima terutama kata nista dan kutukan?

As’ad : Itu normal dan saya sebagai seorang manusia biasa pun tak dapat nak puaskan hati semua orang. Apa yang boleh saya lakukan adalah belajar untuk memperbaiki kelemahan diri dan cuba memberikan contoh yang baik pada golongan muda lain. Perjalanan saya pun masih jauh.

3. Adakah As’ad seorang artis yang akan membaca semua komen dalam media sosial?

As’ad :Percaya tak, saya akan membaca semua komen itu? Kasihanlah kepada orang yang menulis komen itu. Penat-penat dia tulis dan berusaha untuk mengutuk saya, jadi saya bacalah. Komen yang baik saya terima, yang tak baik pun saya terima dan maafkan. Sejak masuk dalam industri saya sudah biasa dikecam dan bak kata warganet sendiri, kalau tak kuat jiwa maka berhentilah jadi artis. Mahu tak mahu, saya kenalah kuat.

Post a Comment

Previous Post Next Post