Azira Shafinaz rancang nikah tahun depan


Barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa anggota kumpulan DeFam, Azira Shafinaz kini sedang menjalin hubungan istimewa dengan seorang lelaki berketurunan Afganistan bernama Yasser Khan. Menurut Azira, hubungan mereka sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.

Bukan sengaja ingin merahsiakan percintaan dengan lelaki berusia 31 tahun itu, namun bagi Azira, selagi belum ada perancangan rasmi dan tersusun untuk melangkah ke gerbang yang sah, tidak elok untuknya menghebohkan kisah percintaan mereka.

Ditemui pada sidang akhbar kempen Terima Kasih Media Prima baru-baru ini, Azira mendedahkan, jika tiada aral melintang dan segala perancangan berjalan lancar, dia ingin segera menamatkan zaman bujang bersama kekasihnya itu sekitar tahun depan.

Turut ditebak mengenai perkembangan terkini kumpulan DeFam yang dikatakan tidak lagi bersama atau sudah membawa haluan masing-masing, Azira menafikan perkara tersebut. Katanya, DeFam yang masih dianggotai bersama Sophia dan Manggis akan muncul dengan single berbahasa Melayu selepas Aidilfitri nanti.

KOSMO!: Maaf bertanya, mungkin ramai yang masih keliru mengenai status percintaan anda dengan seorang lelaki bernama Yasser Khan, boleh jelaskan?

AZIRA SHAFINAZ: Saya sudah mengenalinya hampir enam tahun. Dia bukan orang dalam industri. Saya tidak berniat untuk merahsiakan perhubungan kami dan saya tidak pernah menafikan bahawa dia kekasih saya. Mungkin disebabkan dia bukan orang dalam industri dan tidak sukakan glamor, orang tidak tahu bahawa dia kekasih saya.

Jadi, anda sudah ada perancangan ke arah perkahwinan?

Kami pernah berbincang untuk ke arah itu (perkahwinan). Malah, sebelum ini kami ada merancang namun ia tergendala selepas nenek saya meninggal dunia sekitar April lalu.

Jadi, untuk menghormati pemergian nenek, kami tangguhkan dulu hasrat untuk berkahwin. Insya-Allah, sekarang kami sedang tunggu masa dan tarikh yang sesuai. Entahlah, saya dapat rasakan bahawa jodoh saya sudah sampai waktunya. Mungkin tahun depan.

Doakan sahaja yang terbaik kerana saya sudah beritahu kepadanya yang saya tidak mahu tunggu lama-lama.

Apa yang membuatkan Yasser begitu istimewa pada mata anda?

Kami adalah dua individu yang amat berlainan personaliti. Bagi saya, dia seorang yang amat bertoleransi dan memahami kesibukan jadual kerja saya sebagai seorang anak seni.

Dalam perhubungan tipulah kalau kata tidak pernah bergaduh, namun kalau ia terjadi antara kami, dia yang sentiasa positif dan membetulkan keadaan.





Menjelang perkahwinan nanti, adakah anda akan bertunang atau hanya melakukan perkara yang wajib iaitu akad nikah?

Kalau ikutkan saya dan keluarga, kami memang ingin melalui proses tersebut mengikut adat seperti bertunang dan sebagainya.

Namun kalau ikut cara Yasser, dia mahu buat perkara yang wajib sahaja (bernikah). Resepsi pun tidak perlu. Bagaimanapun, tengoklah nanti bagaimana perancangannya. Insya-Allah tahun depan.

Baiklah mengenai DeFam, bagaimana dengan desas-desus yang mengatakan kumpulan tersebut sudah berpecah, apa komen anda?

DeFam masih wujud. Cuma buat masa sekarang, orang keliru sebab kami banyak bergerak sendirian.

Insya-Allah selepas Aidilfitri nanti, kami akan muncul dengan single terbaharu berbahasa Melayu. DeFam tetap keutamaan saya dan akan terus diperjuangkan.

Mungkin persembahan pentas sudah kurang yang melibatkan kami bertiga namun itu tidak mematahkan semangat kami.

Boleh anda kongsikan rutin Ramadan tahun ini?

Ramadan tahun ini aga suram kerana saya baru kehilangan nenek. Sebenarnya, beliau ialah nenek angkat. Semestinya saya rindukan juadah yang disediakannya seperti martabak, kuah kacang, rendang ayam, rendang dendeng dan banyak lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post