Idealistik gastronomi Fazley Yaakob


MASAKAN - Biarpun bergelar cef tetapi Fazley tetap membiarkan urusan penyediaan makanan di rumah diuruskan oleh isterinya sendiri.

BIARPUN setelah dua minggu Lebaran diraikan, namun aura sambutan hari kebesaran itu tetap masih dapat dirasai. Tidak mengira sama ada berkalung emosi suka mahupun duka, perayaan Aidilfitri tetap berlangsung sebulan lamanya.

Suasana itu juga turut dirasai oleh pelantun lagu Asmara Ini, Datuk Fazley Yaakob yang tetap akan meneruskan tradisi ziarah-menziarahi sanak saudara.

Baginya, menjaga silaturahim sesama ahli keluarga adalah perkara penting yang diterapkan oleh Allahyarham bapanya, Datuk Yaakob Mohammad.

Kini insan kesayangan Fazley itu

telah lebih setahun menyambut seruan Ilahi selepas meninggal dunia sekitar Februari tahun lalu. Biarpun ia satu jangka masa yang panjang,

Fazley bagaimanapun mengakui dia sekeluarga masih

‘diselimuti’ dengan perasan duka.

“Kehilangan ayah banyak memberi kesan, tambahan apabila tiba sambutan hari raya. Pada kebiasaan Lebaran sebelum ini, ayah akan menentukan kediaman mana perlu diziarahi dahulu,

namun suasana tersebut kini berbeza setelah ketiadaannya.

“Tidak dinafikan sehingga ke hari ini saya masih berasa terkejut dan adakalanya sukar untuk mempercayai bahawa lebih setahun ayah telah pergi meninggalkan kami sekeluarga.

“Biarpun ketiadaan bapa tetapi saya tetap meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan mengekalkan hubungan sesama sanak saudara,” terang pelakon filem Gila Bola tersebut.

Amat mementingkan hubungan kekeluargaan, Fazley secara peribadi mengakui dia tetap mengekalkan asuhan kedua orang tuanya terhadap ketiga-tiga anak lelakinya.

Menurut penyanyi berusia 39 tahun itu, dia tidak berasa canggung mahupun malu untuk mengakui bahawa ketiga-tiga cahaya matanya itu masih tidur sebilik bersama dia dan isteri, Azrene Soraya.

Biarpun anak sulungnya, Ahmad Fariedz Shah sudah berusia sembilan tahun, manakala anak kedua, Ahmad Fieradz Shah, 7, dan bongsu Ahmad Fierudz Shah, 5, Fazley tetap membiarkan ketiga-tiga anaknya kekal tidur bersama.

“Ramai kenalan bertanya mengapa saya masih membiarkan anak tidur tanpa membiarkan mereka hidup berdikari sendiri. Pada saya, jalinan kekeluargaan itu lebih bererti dengan sentuhan.

“Secara peribadi, saya sendiri sehingga berusia 18 tahun masih tidur bersama kedua-dua orang tua. Saya dan tiga adik yang lain akan tidur di bilik berasingan melainkan ibu bapa kami ingin ruang privasi buat mereka,” ujar Fazley.

Magis masakan

Tidak jemu mengukirkan senyuman, Fazley turut memberitahu bahawa hidangan air insan istimewa juga mempunyai magis tersendiri bagi mengekalkan hubungan.

Bukan sekadar hiasan hidangan cantik di mata dan rasanya yang lazat tetapi juadah yang disediakan dengan penuh aura kasih sayang juga secara tidak langsung dapat menimbulkan emosi tenang.

“Selain daripada deria bau, rasa makanan juga dapat memberikan kesan nostalgia dan mengeratkan hubungan terutama buat mereka yang berkeluarga.

“Dalam pada itu, saya difahamkan ada kajian kesihatan mengatakan hidangan seperti manisan dan coklat dapat menenangkan emosi terutama buat mereka yang sedang marah.

“Jadi, selain kenikmatan rasanya yang lazat ironinya setiap hidangan itu bagai mempunyai emosi dan perasaan tertentu kepada kita,” ujar pemilik restoran SukaSucre Bistro, Cheras berkenaan.

Lebar sayap

Melanjutkan cerita dalam dunia masakan, Fazley mengakui gelaran sebagai juara program MasterChef Selebriti Malaysia 2012 telah membuka peluang buatnya lebih mendalami tentang ilmu kulinari.

Jika sebelum ini kecenderungannya lebih kepada menikmati hidangan tetapi kini dia lebih tertarik untuk melakukan inovasi gastronomi masakan.

Sorotan daripada kecintaannya terhadap dunia masakan, Fazley menyambut baik usaha restoran berasaskan hidangan asli Melayu, Mamanda yang berpangkalan di Singapura untuk membuka cawangan di Malaysia.

Pengalaman menjalinkan kerjasama selama empat tahun dalam mengadakan majlis rasmi di Mamanda telah menjadikan Fazley selesa meneruskan kelangsungan restoran tersebut di tanah air.

“Mamanda cawangan Malaysia akan dibuka di TPC Kuala Lumpur yang dahulunya dikenali sebagai Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara.

“Berdasarkan perancangan, insya-Allah restoran tersebut akan dibuka selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada proses pengubahsuaian dan hiasan dalaman yang dilakukan,” terang Fazley seraya tersenyum.

Bagai mempunyai cahaya mata baharu, Fazley turut memberitahu, Mamanda juga ada perancangan untuk membuka cawangan secara global di London, Britain dan Kyoto atau Osaka, Jepun.

Menurut jejaka kelahiran Negeri Sembilan itu, meskipun menguruskan sendiri restoran miliknya, SukaSucre Bistro di Cheras, namun dia tiada halangan memberikan sepenuh tumpuan untuk memajukan Mamanda.

“Jadual kerja mungkin padat tetapi saya tidak mempunyai masalah untuk memberi fokus kepada kedua-dua restoran kerana minat bidang masakan,” katanya.

Mengulas lanjut, pemilihan lokasi dibuat berdasarkan kajian terhadap persekitaran masyarakat setempat yang mudah menerima budaya luar selain membantu penganut agama Islam mendapatkan makanan halal.

“London dan Jepun antara lokasi yang kerap dikunjungi oleh pelancong beragama Islam dan pembukaan cawangan baharu ini dapat memudahkan mereka mendapat makanan halal.

“Pemilihan Jepun pula dibuat berdasarkan respons masyarakat setempat yang terbuka dalam menerima budaya luar. Bagaimanapun, lokasi cawangan restoran masih tidak diketahui kerana berada dalam peringkat perbincangan,” jelas Fazley panjang lebar.

Biarpun sibuk menguruskan perniagaan, bapa tiga cahaya mata itu tetap tidak akan meletakkan titik noktah dalam bidang nyanyian.

Dia sebaliknya optimis akan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi demi menunaikan hasrat bapanya agar meneruskan usaha dalam lapangan seni tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post