Fiza Halim harap jodoh bersama Aizat kekal


PASANGAN ini berharap perkahwinan mereka mampu kekal selepas masing-masing sudah punya pengalaman hidup sebagai duda dan janda.

Sejak awal tahun lepas, sudah banyak khabar angin yang bertebaran tentang hubungan cinta penyanyi serta pelakon, Fiza Halim dengan seorang lelaki yang tidak dikenali identitinya.

Selepas kegagalan rumah tangga dengan bekas suami kedua, Mohd. Aizam Mat Saman atau Adam AF pada tahun 2014, pemilik nama Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim ini dilihat lebih berahsia tentang kisah peribadi.

Meskipun sering memuat naik gambar bersama lelaki tersebut dalam laman Instagram, wanita berusia 36 tahun ini kekal mengunci mulut apabila ditebak soalan siapakah buah hati terbaharunya dan membiarkan foto tersebut berbicara sendiri.

Namun begitu, kedatangan Aidilfitri baru-baru ini seolah-olah melembutkan hati bekas anggota kumpulan Elite ini untuk lebih terbuka dalam mengesahkan status sebenar dirinya, sekali gus menjawab semua persoalan peminat sebelum ini.

Menerusi beberapa keping gambar bersalam-salaman dalam laman Instagram, status yang ditulis menggambarkan Fiza kini kembali menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri selepas tiga tahun menjanda.

KOSMO!: Bolehkah Fiza jelaskan status sekarang dan siapakah lelaki di dalam gambar yang sering dimuat naik dalam Instagram anda?

FIZA: Alhamdulillah, saya selamat bergelar isteri semula pada Disember tahun lalu kepada seorang juruterbang syarikat penerbangan Malindo Air bernama Aizat Al Jefri Abd. Kuddus yang juga seorang duda anak dua.

Pernikahan kami berlangsung secara tertutup dan dihadiri oleh keluarga di rumah saudara saya di Cyberjaya. Lelaki yang sering bergambar bersama saya dalam laman Instagram itulah suami saya sekarang.

Mengapakah anda memilih untuk merahsiakan pernikahan yang sudah hampir mencecah usia tujuh bulan ini?

Saya tiada niat untuk berahsia, namun bagi perkahwinan kali ini biarlah hanya diketahui oleh keluarga dan Allah sahaja.

Saya tahu bukan semua orang di luar sana yang menyenangi keputusan saya untuk berkahwin semula.

Jadi, saya pilih untuk tidak menghebohkannya dan membiarkan masa menentukan bilakah masa yang sesuai untuk peminat tahu tentang hubungan kami.

Tidakkah anda berasa pilihan tersebut akan menimbulkan lebih banyak kata-kata kurang enak terhadap anda?

Tidak mengapa kerana saya dan suami tahu hubungan kami sah dan halal. Rasanya tidak perlu untuk terlalu terbuka kerana apa yang penting bagi saya ialah kebahagiaan sendiri dan bukan untuk memuaskan hati orang lain.

Apakah yang membuatkan pintu hati anda terbuka untuk menerima kehadiran Aizat sebagai suami?

Semua pertanyaan itu saya tidak mampu jawab kerana semuanya digerakkan oleh Allah. Saya terima ketentuan bahawa ditakdirkan menjadi isteri lagi, sekali gus mencuba yang terbaik.

Bergelar isteri buat kali ketiga, apakah perasaan anda?

Semestinya bersyukur dan lega kerana Tuhan berikan lagi peluang untuk berasa bahagia meskipun saya sering dicaci dan dilemparkan pelbagai tohmahan sewaktu bergelar seorang janda. Saya anggap ini adalah rezeki yang Allah berikan kepada saya kerana tidak mudah melatah sepanjang diuji.

Apakah yang anda janjikan untuk perkahwinan kali ini?

Ini bukanlah perkahwinan pertama untuk saya dan suami, jadi masing-masing sudah ada pengalaman sebelum ini. Kegagalan rumah tangga yang lalu membuatkan kami banyak belajar daripada kesilapan serta kelemahan diri dan lebih menghargai pasangan.

Harapan kami berdua biarlah ini perkahwinan kami yang terakhir sebelum menutup mata dan saya harap semua pihak turut mendoakan agar jodoh kami berkekalan hingga ke syurga.

Post a Comment

Previous Post Next Post