Khamar Ali Daud Idam cipta nama di Malaysia


Usianya masih muda, baru mencecah 15 tahun namun minatnya dalam bidang nyanyian lebih ke depan dan matang berbanding usianya.

Bermula sebagai bintang kecil di Selatan Thailand, Khamas Khan atau nama sebenarnya, Khamar Ali Daud bukan sekadar mahu menjadi artis yang berjaya di negara sendiri sebaliknya juga di Malaysia.

Sebagai langkah permulaan, dia mahu mengenali muzik Melayu terlebih dulu dan langkah pertamanya adalah merakamkan beberapa lagu hari raya popular di Malaysia ke bahasa Thai.

“Dengan bantuan ayah yang juga pengurus saya (Rosdee Daud), saya mengorak langkah merakamkan lagu raya seperti Suasana Hari Raya, Balik Kampung dan Selamat Hari Raya dalam bahasa Thai.

“Sekurang-kurangnya saya mahu membiasakan dulu diri saya dengan budaya Malaysia dan secara perlahan-lahan mempelajari bahasa Malaysia dan lagu popular lain.

“Saya memang minat dengan Anuar Zain dan lagunya seperti Keabadian Cinta,” katanya yang turut mempunyai single sendiri berjudul Khengau Maidairak (Lonely Not In Love).

Berdarah kacukan Thai, Melayu dan Pakistan, anak jati Sungai Golok, Narathiwat ini mula menyanyi pada usia 10 tahun.

Ketika berusia 13 tahun, dia menjuarai pertandingan nyanyian di sekitar Narathiwat dan seterusnya menjadi finalis The Voice Kids Thailand 2014 di Bangkok. Pada tahun sama, Khamas juga menjuarai Thai Junior Supermodel.

“Ketika ini giat mempelajari bahasa Malaysia dengan guru khas di Sungai Golok. Apabila agak fasih kelak barulah saya akan memulakan rakaman single Melayu dengan sepenuhnya. Saya tidak perlu terburu-buru ke arah itu kerana masih bersekolah,” katanya yang turut meminati Justin Bieber dan Bruno Mars.

Peminat di Bangkok puji lagu raya

Nyata langkah Khamas menyanyikan semula lagu Suasana Hari Raya yang pernah dipopularkan Allahyarham Datuk Sharifah Aini mendapat pujian daripada peminatnya di Thailand termasuk di Bangkok.

Memandangkan lagu yang diberi judul Salam Syawal itu boleh ditonton di YouTube maka langkah mempromosikannya juga menjadi lebih mudah termasuk ke pihak stesen penyiaran tempatan.

“Selama ini orang Muslim di Thai tidak ada lagu raya yang khusus. Jadi ayah saya berpendapat sudah sampai masanya kami merakamkan lagu raya Melayu yang popular tapi dalam bahasa Thai. Melodi asalnya kami kekalkan cuma susunan muzik sahaja diberi nafas baru selain lirik.

“Liriknya juga berkisar mengenai hari raya seperti maaf-bermaafan, keunikan juadah raya hinggalah kepada baju Melayu,” kata Khamas yang berduet dengan abangnya, Khalis Khan, 23, serta kakaknya, Khalin Khan, 19, untuk lagu Suasana Hari Raya/Salam Syawal itu.

Apa yang menarik, mereka sekeluarga kerap juga berkunjung ke Kuala Lumpur sepanjang Ramadan lalu dan Syawal ini bagi memenuhi undangan persembahan serta wawancara dengan media Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post