MENURUT Dayang Nurfaizah, memuatkan 10 trek berentak balada dalam album terbaharunya bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dicapai. Beberapa kali juga perasaan penghibur berusia 36 tahun itu berbolak-balik, risau jika rantaian material yang sekian lama ditunggu oleh peminat kedengaran membosankan.
Hal ini kerana, album yang mengangkat namanya sebagai judul rasmi itu boleh disifatkan sebagai ubat pelepas rindu setelah hampir enam tahun diam tanpa sebarang penerbitan album studio.
Benar, memutarkan album tersebut buat kali pertama membenihkan sedikit rasa bosan, sementelah hampir 95 peratus lirik yang diadun dalam setiap lagu meriwayatkan tentang cinta yang tidak kesampaian.
Album dibuka dengan trek Layarlah Kembali. Dentuman bass dengan sulaman ketikan piano memberikan sedikit kejutan luar biasa. Digarap indah oleh komposer Aubrey Suwito bersama lirik tulisan Ad Samad, Dayang menjelaskan secara halus mengenai hatinya yang masih setia pada bekas kekasih dalam lagu berkenaan.
Tidak terlalu berat, Layarlah Kembali masih mengekalkan gaya nyanyian Dayang yang bersahaja dengan sedikit lontaran vokal tinggi pada pengakhiran lagu.
Begitu juga dengan Usah Dibilang Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Ajai. Kembali menyanyikan lagu komposer yang cukup terkenal dengan irama balada selepas kali terakhir merakamkan lagu Seandainya Masih Ada Cinta sekitar 16 tahun lalu, cetusan kimia antara karya Ajai dengan suara Dayang masih serasi.
Selain Usah Dibilang Cinta, Dayang turut merakamkan sebuah lagi lagu ciptaan Ajai berjudul Separuh Mati Ku Bercinta. Bakal dijadikan single baharunya, Separuh Mati Ku Bercinta boleh dikelaskan sebagai antara lagu terbaik dengan melodi yang senang melekat dalam jiwa pendengar.
Cuma, melodi pada dua rangkap pertama korus kedengaran mirip lagu Same Script Different Cast yang pernah dipopularkan oleh Whiteny Houstan dan Deborah Cox pada tahun 2000. Selebihnya, Separuh Mati Ku Bercinta punya kekuatan sendiri baik dari segi komposisi, produksi dan penulisan lirik.
Beralih pada Takdir, trek ciptaan Hazami ini kedengaran cukup mengasyikkan, walaupun intinya berteraskan kisah tentang pengharapan besar seorang wanita terhadap lelaki yang dicintai.
Tidak banyak karya Hazami yang dinyanyikan oleh penyanyi lain. Jika ada sekalipun, hanya beberapa lagu yang benar-benar membekas dalam jiwa pendengar seperti Harapan nyanyian Fazli Zainal dan Tiada Dikau Tiada Makna (Sarah Raisuddin). Siapa tahu, Takdir mampu meletakkan Hazami kembali menyerlahkan sisi kreatifnya sebagai komposer dan penulis lirik.
Antara lagu lain yang menarik perhatian adalah trek berjudul Dia, ciptaan Ezra Kong, Omar K dan Hael. Tidak bergantung pada ketikan piano atau gitar semata-mata, Dia digarap secara moden tanpa meninggalkan acuan balada yang ada pada Dayang Nurfaizah secara keseluruhan.
Melengkapkan albumnya, Dayang juga memuatkan tiga buah lagu yang mengangkat namanya di pentas Anugerah Juara Lagu iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung. Selain itu, tiga lagu ini yang dirakam secara langsung menerusi pertandingan berprestij tersebut turut diisi sebagai trek bonus.
Secara keseluruhan, Dayang Nurfaizah diterbitkan dengan penuh ketelitian. Ketelitian yang dimaksudkan bukan sahaja terletak pada teknologi yang digunakan dalam proses produksi bagi setiap lagu, tetapi termasuk rekaan sampul album dengan tema polos yang minimalis.
Memotretkan wajahnya dalam set monokram, Dayang berjaya meluahkan 10 trek lagu yang terkandung secara visual pegun tanpa perlu berlebih-lebihan bermain dengan sebarang percikan warna.
Biarpun logo ‘Dayang’ yang pernah dijadikan sebagai tanda dagang sejak album Dayang Sayang Kamu sehingga Sayang & Cahaya tidak lagi digunakan, namun, signatur rekaan baharu yang cuba diperkenalkan oleh Dayang kali ini boleh disifatkan sebagai menjadi.
Barangkali, ada peminat yang merindukan rendisi R&B Dayang menerusi alunan suara merdunya. Masakan tidak, lagu-lagu seperti Sayang (menampilkan Marcell), Hilang, Ingin Ku Miliki, Aku Rindu Aku Jemu atau Dayang Sayang Kamu telah meletakkan pemenang Vokal Wanita Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-20 itu pada satu aras berbeza dalam industri muzik tempatan suatu ketika dahulu.
Namun, seperti mana peminat dapat menerima album Kasih (2005) yang menampilkan rakaman semula lagu-lagu malar segar seperti Fatwa Pujangga, Malam Bulan Dipagar Bintang dan Tiga Malam dalam irama R&B, mereka juga pasti dapat mendakap album terbaharu milik Dayang ini sebagai salah satu percubaan untuk melengkapkan portfolio seninya sebagai seorang penyanyi versatil. Walau apa pun Dayang, kami tetap sayang kamu.