Bella Thorne tak suka dipuji cantik


Pelakon Bella Thorne mempunyai sikap dianggap pelik. Gadis berusia 19 tahun dan mula mencipta nama menerusi siri Disney, Shake It Up itu tidak suka setiap kali dipuji cantik.

Apabila ada yang memuji kecantikan wajahnya, reaksi Bella pasti menunjukkan kurang selesa dengan penghargaan itu. Begitupun dia mempunyai alasan tersendiri.

Katanya, pada pertemuan pertama, rupa paras tidak sepatutnya menjadi perkara yang harus ditimbulkan. Masih ada banyak kata sapaan lain yang boleh digunakan sebagai permulaan perbualan.

“Saya rasa seolah-olah memikul satu beban berat setiap kali melangkah keluar. Masyarakat terlalu obses dengan selebriti. Mereka akan melihat cara solekan, pakaian, kasut, beg tangan malahan sehingga ke warna pengecat kuku.

“Paparazi pula ada di mana-mana. Timbul rasa bimbang mereka sengaja mengambil gambar jerawat saya dan mula reka cerita kulit saya teruk kerana berparti sepanjang malam.

“Bagi saya, cantik itu subjektif. Pada pertemuan pertama, kita boleh tanya khabar dan bukannya mengatakan sesuatu berkaitan dengan penampilan. Kadangkala perkara seperti itu sensitif untuk sesetengah pihak,” katanya.

Ibu Bella pernah menyimpan harapan untuk melihat anaknya menjadi penyanyi. Bagaimanapun, Bella mula bersinar selepas membintangi drama Entourage dan The O.C dan kerjaya itu berterusan sehingga ke hari ini.

Sepanjang tempoh bersama Disney, Bella terpaksa menukar suara dan personaliti sesuai dengan Shake It Up. Sebaik tamat kontrak, anak seni itu mula melakukan semua perkara yang diinginkannya.

“Beberapa tahun hidup dengan dua identiti berbeza membuatkan saya bertukar menjadi seorang yang suka memberontak. Saya mula mencacah tatu. Menindik lidah dan perut. Saya tercari-cari identiti sebenar.

“Ada segelintir peminat yang bertanya, siapa saya yang sebenarnya kerana mereka melihat perubahan yang sangat ketara. Inilah diri saya yang sebenar. Peminat mengenali saya menerusi watak Cece dalam Shake It Up.

“Ketika bersama Disney, saya tidak dibenarkan sama sekali muncul dengan diri sebenar. Saya harus menjaga pergerakan dan pertuturan agar tetap kelihatan seperti Cece walaupun di luar waktu bekerja,” katanya.

Mula meneroka dunia lakonan, sukar membuktikan kepada pengarah dan penerbit bahawa saya mampu membawa pelbagai karakter. Mereka tidak mahu pelakon yang mempunyai latar belakang Disney membintangi karya mereka.

Apabila menghadiri uji bakat, mereka sambil lewa ataupun menolak menjalankan uji bakat terhadap saya sebaik mengetahui saya pernah bersama Disney untuk beberapa tahun.

“Saya terpaksa merayu agar mereka menerima saya untuk menjalani uji bakat. Saya tidak malu kerana saya lakukan itu demi masa depan. Saya mungkin masih dilihat sebagai pelakon Disney seandainya tidak berusaha mencari peluang.

“Saya bersyukur ada beberapa pengarah dan penerbit mengambil risiko memberikan karakter saya dalam karya mereka. Pujian yang mereka berikan akan saya simpan agar bekerja lebih keras,” katanya.

Pernah bercinta dengan Gregg Sulkin, Brandon Lee, Ryan Nassif dan Tyler Posey, aktres itu dianggap mempunyai masalah mental apabila memuat naik status di media sosial menyatakan dia tidak boleh hidup tanpa teman lelaki.

Dalam masa beberapa saat, status itu dikongsikan dan menjadi tular di media sosial. Netizen mula membuat spekulasi pelakon itu mempunyai perangai buruk iaitu suka berganti-ganti pasangan.

Lebih mengejutkan apabila pelakon itu secara terbuka mengakui dia seorang biseksual dan andai diberi pilihan, Bella ingin mengajak Kristen Stewart untuk bertemu janji dengannya.

“Netizen mengambil serius setiap status yang ditulis oleh selebriti kesayangan mereka. Situasi itu turut menimpa diri saya. Kalau saya kemas kini status menceritakan makanan yang saya nikmati hari itu, saya rasa perhatian yang diberikan tidak sehebat itu.

“Namun, sebaik saja saya mengaku yang saya biseksual, ramai yang kongsikan status saya itu dan kemudian bertindak balas dengan menghina saya. Saya malas melayani netizen yang berlagak baik,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post