PERKAHWINAN - Majlis perkahwinan Hazama dan Genervie cukup ringkas tanpa sebarang dulang dan wang hantaran. Hazama hanya memberi mas kahwin RM300 kepada isterinya.
PAGI Ahad lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pernikahan penyanyi Hazama dengan kekasihnya, Genervie Kam. Pasangan yang telah bercinta selama lima tahun itu selamat diijabkabulkan dalam sebuah majlis serba ringkas berlokasi di Orchid Villa, Sungai Gombak, Selangor.
Tanpa pengumuman ataupun sidang akhbar yang sering menjadi agenda wajib kebanyakan selebriti menjelang hari bahagia mereka, Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 33, sebaliknya memilih untuk melangsungkan hari bahagia secara tertutup tanpa kehadiran pihak media.
Bukan mahu berkahwin secara sembunyi, namun tegas Hazama yang ditemui usai majlis resepsi di lokasi sama, sejak dahulu lagi dia telah mengimpikan sebuah majlis perkahwinan serba ringkas dan melaksanakan perkara wajib sahaja iaitu akad nikah.
Bagaimanapun atas bantuan keluarga dan rakannya, majlis perkahwinan yang dirancang hanya dalam tempoh seminggu itu berjalan lancar. Disebabkan kesuntukan masa, penyanyi yang popular dengan lagu Di Amaran Mama itu tidak sempat untuk membuat kad perkahwinan, sebaliknya hanya menghantar jemputan menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon sahaja untuk kenalan dan keluarga terdekat.
“Jujurnya, jika boleh saya hanya mahu bernikah di pejabat kadi dan kemudian mengadakan majlis makan-makan kecil di rumah. Tidak sangka walaupun merancang dalam tempoh yang singkat, perkahwinan saya mendapat tajaan hasil bantuan rakan-rakan.
“Mengenai tarikh perkahwinan pula, ia tiada sebarang simbolik tetapi secara kebetulan jadual agak lapang. Perkahwinan ini mencatat rekod peribadi untuk saya kerana berjaya melangsungkan perkahwinan yang dirancang dalam tempoh seminggu. Alhamdulillah, walaupun ia kerja gila tetapi saya bersyukur semuanya berjalan lancar,” kata Hazama yang hanya menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada isterinya.
Genervie, 37, yang kelihatan cukup anggun pada majlis resepsi tersebut tidak terkejut apabila diajak melangsungkan perkahwinan, hanya sekitar seminggu lalu. Pemuzik yang juga pengurus Hazama itu menjelaskan, biarpun belum bergelar isteri ketika itu, dia sudah mempraktikkan diri untuk mengikut kata bakal suami.
“Sebagai pengurus peribadinya, saya tahu jadual kerja Hazama. Oleh itu, ketika diajak untuk berkahwin saya tidak terkejut dan terus mencari tarikh yang sesuai.
“Walaupun ketika itu belum berkahwin, saya telah mempraktikkan diri untuk mengikut kata-kata Hazama. Tambahan dia telah membuat lamaran sebelum itu, jadi saya telah mempersiapkan minda untuk berkahwin pada bila-bila masa. Saya memang tidak melakukan sebarang persiapan kecuali menyediakan dokumen yang wajib,” ujar Genervie sambil ketawa.
Hazama tersenyum lebar mendengar kata-kata isterinya. Akui Hazama, sikap terbuka, menghormati dan mendengar kata, antara sebab Genervie bertakhta di singgahsana hatinya sebagai suri idaman.
“Dia cukup memahami dan saling melengkapi segala kekurangan saya. Saya harapkan kebahagiaan kami akan kekal sehingga akhir hayat,” tutur Hazama.
Beza budaya
Menyentuh soal perbezaan agama dan budaya, Genervie atau nama sebenarnya, Genervie Kam Shi Ling telah memeluk agama Islam sejak April tahun lalu atas kerelaannya sendiri.
Lebih istimewa, wanita itu memeluk agama Islam tanpa pengetahuan Hazama terlebih dahulu.
“Saya memang sengaja tidak memberitahunya tentang keinginan memeluk agama Islam kerana ingin membuat kejutan. Buat masa sekarang semuanya masih baharu dan saya masih dalam proses belajar lebih dalam tentang Islam.
“Walaupun sudah bertukar agama, saya masih mengekalkan nama Kam Shi Ling. Bagi saya pertukaran nama tidak penting, apa yang lebih penting adalah hati,” luah Genervie.
Tambah Hazama, meskipun mereka telah bercinta agak lama, dia tidak pernah memaksa isterinya untuk memeluk agama Islam semata-mata mahu menghalalkan perkahwinan.
Oleh sebab itu, dia cukup terkejut dan terharu apabila wanita itu terbuka hati untuk memeluk agama Islam dengan rela hati.
“Sepanjang bercinta saya tidak pernah memaksanya peluk Islam. Soal agama harus datang dari hati.
“Waktu mengetahui dia seorang mualaf, saya memang terharu dan bangga. Sebagai suami, menjadi tugas saya selepas ini untuk mendidiknya sebaik mungkin,” kata Hazama.
Saat ditanya soal perbezaan budaya pula, Hazama menjelaskan, mereka berdua tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri. Bagi mereka, perbezaan itu hanya dari segi warna kulit dan bahasa.
Sambung Genervie, jika mempunyai kelapangan, sempena kedatangan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, keluarganya juga akan menganjurkan sebuah majlis minum teh yang merupakan adat kaum Cina meraikan pengantin baharu.
“Keluarga tidak ada masalah untuk menerima Hazama, saya juga sudah terbiasa bergaul dengan masyarakat Melayu. Jika tiara aral melintang ketika cuti Tahun Baru Cina nanti, keluarga saya akan menganjurkan sebuah majlis ringkas iaitu upacara minum teh.
Cahaya mata
Tidak lengkap rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata, begitu juga dengan pasangan pengantin baharu ini. Menurut Genervie, usianya bukan muda lagi dan jika boleh, dia mahu segera menimang cahaya mata.
Perkara itu turut dipersetujui Hazama sambil menyifatkan anak sebagai anugerah terindah dalam mana-mana perkahwinan.
“Sebelum berkahwin, orang sibuk bertanya bilakah saya mahu berumah tangga? Selepas berkahwin, orang bertanya bilakah mahu menimang cahaya mata? Bagi mengelak soalan tersebut, rasanya lebih baik kami segera mempunyai anak,” tutur Hazama tertawa.
Bagaimanapun disebabkan kesibukan kerjaya, Hazama dan Genervie tidak berkesempatan untuk berbulan madu seperti pasangan pengantin baharu yang lain. Selepas majlis perkahwinan, Hazama akan kembali sibuk dengan nyanyian.
Selain terlibat dengan AJL31 menerusi lagu Di Amaran Mama, dia juga akan sibuk dengan program Mentor sehingga bulan Mei tahun ini.
“Nampaknya kami akan berbulan madu di belakang pentas AJL31 (ketawa). Memang tidak sempat untuk bercuti ke mana-mana sehingga bulan Mei.
“Selepas itu tidak lama umat Islam akan berpuasa, jadi perancangan berbulan madu terpaksa ditunda sehingga mempunyai tarikh yang sesuai,” ujar Hazama menutup bicara.