SYAZWAN mengakui dirinya seorang yang susah memulakan perbualan dengan orang yang kurang dikenali sebagai punca digelar sombong.
Dikatakan bersikap dingin dan acuh tidah acuh dengan pihak media, pelakon yang baru-baru ini popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku, Syazwan Zulfikly tampil memberikan kenyataan berhubung perkara tersebut.
Dilabelkan sebagai sombong dan tidak mesra dengan sebarang permintaan fotografi atau temu bual yang dijalankan, Syazwan, 30, sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mengasari bekas teman wanitanya yang juga merupakan pengacara televisyen, Shenty Feliziana, mempunyai persepsi sendiri mengapa dirinya dianggap sebegitu.
Katanya, disebabkan kisah lama tersebut dia seperti digam daripada melibatkan diri dalam mana-mana drama sebuah stesen televisyen berbayar tempatan.
Tidak mahu lagi dikaitkan dengan cerita berbaur negatif, Syazwan mahu kerjaya seninya berjalan tanpa noda hitam yang tidak memberikan faedah kepadanya.
Dia memasang azam baharu mahu konsisten memberikan mutu lakonan terbaik seperti yang ditunjukkan melalui watak Helmi dalam drama bersiri yang mencatat rating 12 juta penonton tersebut.
Kosmo!: Ramai yang masih menganggap Syazwan sebagai seorang yang panas baran disebabkan kisah lama. Boleh anda jelaskan?
Syazwan: Sebenarnya, saya sudah tidak mahu kisah lama diungkit kembali. Disebabkan kisah lama, sehingga kini saya digam sebuah stesen televisyen.
Saya memang jenis yang susah untuk memulakan perbualan dengan orang lain. Disebabkan perangai sebegitu, saya dicop sebagai sombong, kurang mesra, panas baran dan sebagainya. Saya sudah lupakan kisah lama dan saya yakin Shenty pun begitu.
Hidup saya sekarang hanya sibuk berlakon walaupun orang masih tidak kenal siapa saya dalam industri.
Anda berbakat besar sebagai pelakon tetapi kurang popular sehingga kini. Mengapa?
Sejak dahulu lagi saya memang begini. Saya berlakon untuk mencari rezeki, bukan untuk popular. Saya tidak pandai bergaul dengan media. Kalau saya punya kelapangan pun, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah.
Jadi, anda lebih suka menghabiskan masa di rumah? Tidakkah anda mempunyai kawan-kawan?
Kebanyakan kawan saya sudah berumah tangga. Saya pula masih membujang sementara usia semakin meningkat. Kalau keluar pun, saya sudah tidak rasa seperti dahulu kerana saya semakin tua dan tidak mempunyai teman wanita buat masa sekarang.
Pada pendapat anda, apa agaknya yang membuatkan anda masih dilabelkan sebagai sombong dalam kalangan media?
Perkara tersebut berlaku kerana silap saya. Suatu ketika, ada wartawan cuba menghubungi saya, namun cara dia menanyakan soalan agak kasar membuatkan saya tidak selesa.
Perbualan kami menerusi telefon terputus, namun saya cuba menghubunginya kembali.
Tidak lama kemudian, apabila muncul dalam sebuah majlis, saya seperti dipulau kerana insiden tersebut. Saya tidak mahu menegakkan benang yang basah. Apa yang sudah berlaku, biarkan sahaja.
Anda bergerak secara sendiri dan tidak bernaung dalam mana-mana syarikat pengurusan. Tidakkah hal tersebut menyekat peluang untuk terus berkembang sebagai pelakon?
Saya mahu bergerak bebas dan tidak mahu terikat dengan mana-mana syarikat untuk keuntungan mereka. Saya banyak berlakon tetapi tidak diketahui orang ramai.
Hanya disebabkan 7 Hari Mencintaiku, orang mula memberikan perhatian kepada saya. Pengikut saya di laman Instagram pula naik secara mendadak sekitar 100,000 pengikut baharu disebabkan drama tersebut.
Sebenarnya saya tidak menghiraukan hal tersebut tetapi setidak-tidaknya saya bersyukur dan rasa dihargai.