
MENUTUP imej seperti yang dikenali menerusi Hey Waley sekitar 10 tahun lalu, kini Reshmonu hanya mahu dikenali sebagai Resh, penyanyi yang masih membara semangat seninya bahkan bersedia untuk kembali menawan hati khalayak dengan single berbahasa Melayu.
Muncul dengan gaya rambut cornrows dan fenomena lagu berjudul Hey Waley sekitar 2005 pantas mempopularkan Reshmonu ke persada muzik tempatan, sebelum menghilang sekitar 2009. Sehinggalah pada tahun lepas, dia membuat kemunculan semula dengan penjenamaan baharu dan mahu dikenali sebagai Resh.
Tidak lagi menggayakan stail rambut lama yang menjadi signatur utamanya, Resh atau nama sebenar Hiresh Haridas, 40, kembali mahu memberi warna dalam industri muzik tanah air dengan kehadiran album EP berjudul Who I Am yang turut memuatkan lagu siulan ramai berjudul Half The Man.
Terbaharu, Resh muncul dengan single duet bersama penyanyi kelahiran India, Monica Dogra menerusi lagu Trouble. Selain bertindak sebagai pelantun lagu, dia turut menjadi pengarah klip video lagu tersebut yang kini sudah boleh ditonton menerusi YouTube.
Ditemui Kosmo! pada satu sesi fotografi di V E Hotel & Residence di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, Resh berkongsi pengalaman bekerjasama dengan penyanyi terbabit, selain berbicara mengenai survival seni sebagai penyanyi bukan Melayu yang masih mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan.
“Saya berasa seronok berkesempatan bekerja dengan Monica. Dia merupakan seorang artis yang sama seperti saya. Bahkan, penggambaran klip video Trouble telah dijalankan di Malaysia dan India.
“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan dengan penghasilan lagu serta klip video Trouble. Saya juga gembira kerana dapat berkolaborasi dengan penyanyi luar. Ia membuka satu dimensi terhadap kemunculan semula saya dalam industri,” katanya.
Populariti
Ditanya tentang kemunculan semula sebagai penyanyi yang ‘serba baharu’, Resh menyifatkan dirinya tidak pernah menghilang daripada radar seni tanah air, sebaliknya banyak bekerja di belakang tabir dan mencari material terbaik untuk meneruskan kelangsungan sebagai penyanyi.
“Saya tidak pernah hilang. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya telah membikin beberapa album bahasa Inggeris dan Melayu. Cuma, selepas album Harapan, saya banyak bekerja di belakang tabir sebagai penerbit.
“Jadi, untuk kembali memenangi hati peminat, saya berbincang dengan pihak pengurusan dan mahu mencuba sesuatu yang baharu. Melalui perbincangan, saya tidak lagi menggayakan rambut cornrows dan jalur muzik juga berbeza berbanding dahulu.
“Walaupun masih mengekalkan muzik R&B tetapi ia sesuai dengan peredaran zaman. Saya mahu menggubah lagu yang sesuai dengan kemahuan muzik saya. Justeru, kalau ada pihak datang dan menyuruh saya menukar jalur muzik, ia sama sekali tidak akan dilakukan,” tegas Resh.
Tambah Resh, keberadaannya sebagai penyanyi bukan didayung keinginan mengejar populariti, sebaliknya kejujuran dalam berkongsi karya kepada khalayak.
“Sejak mula berkecimpung dalam bidang seni, bukan populariti yang saya cari. Saya cuma ingin berkongsi bakat dan muzik dengan sejujur hati. Dengan imej dan muzik baharu ini, kalau orang suka, saya gembira. Kalau tidak suka, saya akan terus menggubah muzik,” getusnya.
Pikat pendengar Melayu
Menyentuh mengenai projek akan datang, Resh sedang dalam proses mengumpul material untuk single berbahasa Melayu tidak lama lagi. Besar hasrat Resh mahu menembusi pasaran Indonesia dengan berkolaborasi dengan penyanyi kelahiran negara republik tersebut.
“Ya, saya akan hadir dengan single berbahasa Melayu dan kalau tiada aral melintang, saya akan berduet dengan penyanyi kelahiran Indonesia. Buat masa sekarang, itu sahaja boleh saya dedahkan (ketawa),” ujarnya.
Resh bertegas bahawa industri muzik tanah air sedang berkembang pesat. Soal bahasa tidak lagi menjadi masalah kerana Malaysia sebuah negara berbilang kaum.
“Saya gembira kerana semakin ramai penyanyi bukan Melayu yang diterima baik dalam kalangan peminat Melayu. Ini membuktikan mana-mana penyanyi boleh berjaya asalkan mereka ada karya yang baik.
“Bukan itu sahaja, zaman juga sudah berubah. Sekarang, media sosial memainkan peranan yang amat penting. Kalau dahulu orang berkomunikasi menerusi My Space atau Friendster, sekarang sudah ada Facebook, Instagram dan Twitter.
“Album atau lagu pun sudah boleh didapati secara digital menerusi iTunes dan Spotify. Album fizikal mempunyai nilai yang tersendiri tetapi saya tidak mampu menafikan kemaraan fenomena album yang dijual secara digital,” tutupnya optimis.