Arja Lee sambung belajar peringkat sarjana


Arja bergambar bersama kru penggambaran Seekers Underground pada tayangan perdana rancangan itu di One Utama, baru-baru ini.

Mengakui tidak begitu popular berbanding rakan artis lain yang seangkatan dengannya, pelakon dan penyanyi, Arja Lee mempunyai pendekatan tersendiri untuk kekal relevan dalam industri seni tanah air.

Walaupun rezekinya dalam bidang lakonan mahupun nyanyian tidak semeriah selebriti lain, Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, 33, tidak hanya berpeluk tubuh sebaliknya melibatkan diri dalam bidang lain seperti perniagaan.

Bukan itu sahaja, dia bakal menyambung pengajian peringkat sarjana pada bulan Mac tahun depan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dia juga menyimpan hasrat untuk menabur bakti dalam bidang pendidikan sesudah tamat pengajian nanti.

Dalam pada itu, pelakon filem ... Dalam Botol itu menyahut cabaran untuk terlibat dalam misi penyiasatan dunia paranormal melalui program Seekers Underground yang kini ditayangkan di portal online, Tonton setiap Jumaat.

KOSMO!: Bagaimana perkembangan seni terbaharu anda?

ARJA: Saya akan melibatkan diri sebagai peserta dalam Seekers Underground. Dalam program berkenaan, saya akan ke sebuah villa terbengkalai yang dikatakan ‘berhantu’ di Batu Pahat Johor. Sebagai umat Islam, saya tidak menolak kewujudan makhluk halus atau perkara ghaib. Jadi, saya memberanikan diri merasai sendiri bagaimana perasaan ditinggalkan di kawasan ‘berhantu’ secara berseorangan.

Selepas menyertai program Gempak Superstar, bagaimana dengan kerjaya nyanyian anda?

Nyanyian memang keutamaan saya. Malah saya akan muncul dengan single terbaharu berjudul Budak Nakal. Insya-Allah kalau tiada aral melintang, ia akan dilancarkan awal tahun 2017. Ini satu perkembangan baik buat diri saya kerana sebelum ini saya hanya menyanyikan lagu balada tetapi single baharu ini berbeza sedikit kerana ia merupakan sebuah lagu rancak.

Bagaimana dengan kerjaya lakonan, jarang kelihatan anda berlakon di kaca televisyen apatah lagi filem?

Ya, saya akui memang kurang tawaran berlakon namun itu tidak mematahkan semangat saya. Bukan saya memilih watak tetapi tawaran berlakon memang kurang. Walaupun tawaran berlakon kurang, saya beralih pula ke bidang nyanyian. Dalam pada itu, saya juga sibuk dalam bidang perniagaan. Selepas Arja’s Cookies dan Arlee Pomade, saya berkolaborasi dengan Raini Exlusive untuk mengeluarkan kurta rekaan sendiri yang diberi nama Koleksi Dhanee oleh Arlee. Insya-Allah ia akan dilancarkan hujung tahun ini.

Khalayak masih samar-samar dengan keberadaan anda sebagai seorang pelakon mahupun penyanyi. Adakah anda okey dengan tanggapan sebegitu?

Saya okey sahaja. Saya memang jenis tidak berputus asa. Sebab itu saya tidak hanya bergantung dengan rezeki dalam bidang lakonan mahupun nyanyian sahaja. Saya mempersiapkan diri dalam bidang perniagaan. Saya akan tetap berusaha keras kerana banyak perkara yang boleh diusahakan. Rezeki akan datang kemudian kalau kita terus bekerja keras.

Anda juga memasang impian bergelar pensyarah. Ada perkembangan untuk ke arah itu?

Alhamdulillah, saya akan menyambung pengajian sarjana pada Mac 2017. Saya akan menghantar kertas kerja saya hujung tahun ini atau awal tahun 2017 malah telah berbincang dengan pihak universiti. Saya akan menyambung pengajian peringkat sarjana (Masters) penyelidikan di bawah fakulti kreatif untuk tempoh dua tahun di UiTM Shah Alam.

Post a Comment

Previous Post Next Post