
Penyanyi Mila Jirin atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 29, mengesahkan dia kini hamil tiga bulan.
Juara program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu berkata ini adalah kehamilan kedua selepas mengalami keguguran Jun lalu.
“Selepas dua hari disahkan hamil dan kandungan berusia lima minggu, saya mengalami keguguran. Mungkin kerana sebelum itu saya tidak tahu saya hamil dan terlalu aktif bergerak ke sana-sini.
“Alhamdulillah, selepas kehilangan besar itu Allah SWT gantikan dengan berita gembira ini. Kali ini saya lebih berhati-hati dan tidak banyak bergerak,” katanya.
Menurut Mila, dia sengaja merahsiakan berita itu sebelum ini kerana mahu memastikan kandungan kuat terlebih dahulu selain enggan terlalu teruja.
“Selepas disahkan hamil dua minggu, saya kongsi berita gembira ini dengan ahli keluarga sahaja. Namun, selepas masuk tiga bulan dan rakan-rakan nampak saya semakin berisi, barulah saya kongsi di laman sosial.
“Saya dijangka melahirkan bayi sulung ini pada Jun tahun depan. Doakan semoga kandungan saya sentiasa sihat dan segalanya berjalan lancar,” katanya.
Mila turut menjelaskan tidak mengalami alahan teruk sepanjang tempoh kehamilan.
“Alhamdulillah saya okay. Cuma, kadang-kadang saya dan suami loya pada tengah hari,” katanya.