AKTIF dengan aktiviti kerohanian membuatkan Saiful berasa lebih tenang, mempelajari ilmu baharu selain berpeluang bertemu peminat.
SEJAK kebelakangan ini semakin ramai selebriti tempatan berkongsi kisah penghijrahan mereka dan tidak terkecuali pelawak popular, Saiful Apek yang kini sedang giat mendalami ilmu agama Islam.
Mengakui bakal mengundang pandangan negatif daripada segelintir masyarakat, Saiful atau nama lengkapnya, Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff tidak membiarkan situasi itu mematahkan semangatnya.
Demi memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik pada masa depan, Saiful hanya ‘memekakkan’ telinga terhadap segala tohmahan mahupun sentimen mengatakan dirinya hanya berlagak ‘alim kucing’.
Berkongsi kisah penghijrahan dalam menyesali khilaf terdahulu, pelawak berusia 47 tahun itu turut meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak mengatakan kumpulan Senario tidak lagi relevan dalam industri.
Meskipun tenggelam dek kerana timbunan pelapis baharu, kumpulan yang telah berusia hampir 20 tahun itu bakal kembali dan menggegarkan pentas Istana Budaya pada bulan Februari tahun depan.
KOSMO!: Lama kiranya tidak mendengar perkhabaran Saiful, apakah perkembangan terkini anda sekarang?
SAIFUL: Saya masih bergiat aktif dalam bidang seni dengan memenuhi undangan majlis. Mungkin disebabkan kurang mendapat liputan media menyebabkan ramai menyangka saya telah meninggalkan industri hiburan. Selain itu, setelah meningkat usia, saya memilih untuk mendalami ilmu agama Islam dan kerap menghadiri majlis ilmu.
Sejak bilakah anda mengambil keputusan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan?
Pada pandangan saya, mempelajari ilmu agama adalah asas sebagai muslim dan tidak ada alasan khusus mengapa saya perlu berubah. Tambahan, sejak usia semakin meningkat, saya mula menyedari bahawa telah sampai masa untuk mengejar ilmu akhirat.
Bagi mereka yang mengikuti perjalanan kerjaya seni saya, mereka mungkin mengetahui bagaimana kisah hidup saya terdahulu.
Pengalaman jatuh bangun bergelar anak seni itu banyak mengajar saya tentang erti kehidupan.
Menerusi laporan sebuah portal berita, anda dikatakan aktif sebagai penceramah agama. Bolehkah anda jelaskan mengenai perkara itu?
Sejujurnya saya sendiri tidak mengetahui bagaimana ia boleh bermula, namun apa yang dapat dikatakan ialah saya mula mempelajari ilmu agama dengan menghadiri kelas agama.
Semenjak itu terdapat dalam kalangan mereka menjemput saya untuk memeriahkan majlis ilmu agar dapat diselitkan dengan lawak jenaka.
Sebagai pencerahan, saya bukan seorang penceramah agama yang setaraf dengan pendakwah. Apa yang dilakukan hanya saling berkongsi ilmu dan pengalaman serta mempelajari daripada khilaf terdahulu.
Sepanjang terlibat dengan aktiviti berbentuk kerohanian, apakah pengalaman yang boleh anda kongsikan?
Saya berasa seronok dan tenang selain berpeluang berkongsi ilmu dengan tetamu yang hadir. Paling menarik, kadangkala tidak hanya masyarakat Melayu sahaja yang hadir ke majlis tersebut tetapi terdapat juga peminat berbangsa India dan Cina.
Ia merupakan suatu perkara yang amat menyentuh hati dan terasa amat bersyukur kepada Tuhan dengan perubahan berlaku pada diri saya.
Tidakkah wujud rasa bimbang sekiranya dilabel sebagai ‘alim kucing’ atau cuba berlagak alim apabila bergerak aktif dengan aktiviti kerohanian?
Berubah ke jalan yang lebih baik itu terdapat banyak cabaran. Justeru, saya tidak mengambil endah mengenai kritikan atau pandangan negatif kerana meskipun kita berbuat baik, mereka tetap akan mengata, apatah lagi melakukan perkara buruk.
Bergerak aktif dengan aktiviti berbentuk kerohanian, adakah anda akan meninggalkan dunia hiburan?
Menyertai program kerohanian tidak bermakna saya perlu melupakan bidang seni. Perkara paling penting adalah mengetahui batas agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
Biarpun, ramai yang menjangka kami tiada lagi dalam industri sehingga mengatakan kumpulan Senario tidak lagi relevan dalam industri. Mungkin disebabkan terlalu ramai pelapis baharu membanjiri industri menyebabkan mereka terlepas pandang akan kewujudan orang lama seperti kami.
Perkara itu merupakan suatu persaingan sihat dan bagus buat pelapis masa depan tetapi saya berasa agak terkilan apabila ada stesen televisyen mengatakan Senario tidak relevan, malah tidak mempunyai permintaan. Siapakah yang menentukan sama ada artis itu relevan, atau adakah mereka dinilai berdasarkan populariti?
Justeru, sebagai salah seorang ahli Senario apakah yang anda ingin lakukan agar kumpulan Senario kembali merancakkan industri?
Saya bersama ahli asal kumpulan Senario akan kembali membuat persembahan di Istana Budaya pada Februari tahun depan demi mengubat rindu peminat.
Menerusi persembahan tersebut Senario akan menampilkan kesemua artis yang pernah berjuang mengukuhkan kedudukan Senario di dalam industri sehingga ke hari ini.
Mereka terdiri daripada Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussain, Wahid, Mazlan, Azlee, Yassin, Hamdan dan Ilya.