3 Juara mula bertarung


KATEGORI Rock menjadi pentas pertama 3 Juara yang berlangsung hujung minggu lalu. Seramai enam peserta layak ke peringkat seterusnya selepas dipilih oleh komposer Edrie Hashim (lima dari kiri), manakala Awie (tengah) akan menjalankan tugas sebagai juri tetap.

Diilhamkan daripada acara muzik terulung tanah air iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL), program realiti terbaharu terbitan TV3, 3 Juara yang mencari juara bagi tiga kategori berbeza iaitu Balada, Rock dan Irama Malaysia kini mula membuka gelanggangnya.

Pada minggu pertama, pentas pertarungan dibuka dengan kategori Rock yang menguji kemampuan lapan peserta terpilih untuk kekal bertanding.

Diadili oleh penerbit terkenal Edrie Hashim dibantu vokalis Search, Amy, sebanyak enam peserta layak ke pertandingan seterusnya, mencicirkan impian dua peserta iaitu Kelvin dan Rahr.

Mereka ialah Nurain Asyikin Ibrahim (Ayien), 24, Muhammad Ariffuden Mohd. Rafee (Kudien), 22, Indra Putra Masri (Indra), 24, Muhammad Fhazrill Fesol (Arill), 18, Kamarul Gamari (Arul), 26, dan Anni Pisali (Eva Maria) 23 tahun.

Kelayakan enam peserta kategori Rock ini sekali gus akan memberi persaingan kepada dua lagi kategori iaitu Balada dan Irama Malaysia.

Kategori Irama Malaysia menggunakan kepakaran komposer tersohor Pak Ngah sebagai ‘kepala’ akan menilai lapan peserta iaitu Mursalin Azzahan (Mursalin), 27, Nur Amierazatyka Ayob (Tyka), 21, Abdul Rah’man Mahadi (Rahman), 25, Azizzul Haqim Md. Anuwar (Azizul), 28, Hasraniza Dollah (Hazra), 28, Nur Atikah Mohd. Yousof (Nura), 18, Noor Hidayah Halim (Cha), 25, dan Nur Najwa Zayani Mohd. Fauzee (Zayani), 20.

Bagi kategori Balada pula, Ajai akan menilai lapan peserta iaitu Nur Shafreeza Zainal Abidin (Eeza), 23, Salmah A. Asis (Salmah), 26, Mohd. Nor Hadii Rosli (Hady), 28, Muhammad Faisal Firdaus Manaf (Faisal), 26, Aqeem Farhan Mohammad (Aqeem), 22, Mohd. Azumi Shazani Mohd. Jalaluddin (Azumi), 18, Apprilissa Sue Ann (April), 27, dan Nur Hafizah Mohamad Jalin (Eja), 24 tahun.

Baharu

Menurut Penerbit Eksekutif program tersebut, Muhammad Suffian Che Isa, 3 Juara diwujudkan dengan tiga kategori kerana mahu mencari bakat terbaik daripada setiap kategori, sekali gus memberi sinar terhadap industri seni tanah air.

“Malaysia ketandusan bakat nyanyian berkualiti sejak akhir-akhir ini terutama dalam kategori Irama Malaysia yang semakin hari semakin dilupakan. Pihak kami optimis untuk melahirkan bintang seni yang mampu bertahan dalam industri sampai bila-bila.

“3 Juara bukanlah sebuah program untuk belajar seperti program nyanyian lain. Ia adalah pentas untuk menunjukkan kemampuan para peserta yang sebenar,” ujarnya pada sidang media memperkenalkan para peserta program 3 Juara di hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Kata Suffian lagi, penglibatan peserta yang sudah berdiri sebagai artis rakaman juga tidak dinafikan kerana percaya terdapat penyanyi-penyanyi yang mempunyai bakat besar tidak diberi peluang meluas untuk menonjolkan bakat mereka kepada umum.

“Ya, saya akui ada beberapa peserta yang bukan sahaja pernah menyertai program nyanyian, malah bergelar juara. Sebagai contoh, Salmah yang pernah menjuarai Mentor 5 turut menjadi salah seorang peserta kerana saya percaya dia sangat berbakat dan ia tidak dilihat sepenuhnya oleh masyarakat.

“Boleh dikatakan 3 Juara turut memberi peluang kedua kepada para penyanyi sedia ada yang tidak mempunyai komitmen dengan mana-mana syarikat rakaman untuk membuktikan kehebatan bakat mereka kepada orang ramai,” ujarnya lagi.

Juri

Demi mendapatkan bakat yang hebat, program yang dihoskan oleh tiga pengacara iaitu Mira Filzah, Ammar dan Issey Titan itu menyediakan khidmat juri yang berkaliber.

Tiga penyanyi handalan dipertanggungjawabkan menggalas tugas sebagai juri tetap iaitu Noraniza Idris (Irama Malaysia), Awie (Rock) dan Datuk Rossa (Balada).

Persaingan para peserta pada setiap konsert pula dibantu oleh tiga nama besar tanah air yang bertindak sebagai penerbit iaitu Pak Ngah (Irama Malaysia), Edrie Hashim (Rock) dan Ajai (Balada).

Teruja diberi peluang sebagai juri tetap, Rossa berkata, beliau optimis untuk mencungkil bakat di Malaysia selepas diberi pulang sebagai juri pertandingan nyanyian popular di negara kelahirannya, X Factor Indonesia.

“Saya sangat teruja untuk bertugas sebagai juri dalam program ini. Saya yakin orang Malaysia mempunyai bakat nyanyian yang luar biasa dan saya gembira menjadi sebahagian daripada proses mencari penyanyi hebat di sini,” ujar juri dan mentor X Factor Indonesia itu yang berjaya melahirkan juara untuk dua musim iaitu Fatin Shidqia (musim 1) dan Jebe & Petty (musim 2) di bawah didikannya.

Pertandingan program realiti berformat sistem liga itu akan menyaksikan dua peserta daripada setiap kategori akan berentap melalui pusingan battle setiap minggu demi memungut mata daripada undian penonton, juri tetap dan penerbit.

Pengumpulan mata akan berterusan sehingga minggu penyingkiran sebelum ke konsert separuh akhir berlangsung. Peserta untuk ketiga-tiga kategori akan berentap dalam satu konsert setiap minggu demi mengumpul mata sebelum diiktiraf sebagai juara.

Post a Comment

Previous Post Next Post