Selepas hampir setahun menyepi, penyanyi Nomad, 28, tampil dengan single terbaharu, Lebih Dari Terindah.
Lebih istimewa, Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd Alieff Ayub, 28, mendendangkan lagu ciptaan Kunci Demak itu bersama penyanyi baharu, Dayah Bakar.
Mencipta populariti dengan lagu Tetap Menantimu, Nomad mengharapkan Lebih Dari Terindah memberi impak.
"Saya berharap lagu ini diterima baik.
Namun, saya tidak dapat membayangkan bagaimana maklum balas peminat kerana tidak pernah menghasilkan lagu duet.
"Single ini ada nilai sentimental sendiri.
Selain lagu duet pertama, ia juga adalah hasil kerjasama dengan pelukis tersohor, Yusof Ghani," katanya yang kini bernaung di bawah Hikayat Records.
Berdebar menunggu reaksi peminat, Nomad bagaimanapun tidak mengharapkan single baharunya itu mencetus fenomena seperti lagu Tetap Menantimu.
"Single Tetap Menantimu meledak atas bantuan drama bersiri Love You Mr Arrogant, yang mengambil lagu itu sebagai runut bunyi," katanya.
Mengenai kerjasamanya dengan Dayah, Nomad mengakui proses rakaman sungguh mudah.
"Dayah mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
Untuk menjadi serasi, kami berusaha lebih sedikit agar mesej lagu ini sampai kepada pendengar," katanya.
Nomad berkata, dia akan tampil dengan single ciptaan sendiri berjudul Maaf, bulan depan.
"Saya sudah menyanyikan tiga lagu yang dihasilkan komposer tempatan. Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya menyanyikan lagu ciptaan sendiri," katanya yang makin sibuk menguruskan perniagaan keluarga di Terengganu.