Jangan benci Aiman Tino


BAKAT - Bakat seni Aiman mula dikesan sejak berusia lapan tahun bermula dengan kumpulan nasyid dan koir sekolah.

BERTEMU dengan penyanyi muda Aiman Tino yang tiba-tiba meledak dengan single Ku Rela Dibenci di Studio Utusan baru-baru ini tiada tanggapan yang luar biasa terhadapnya.

Orangnya kecil molek dan masih polos seperti remaja 18 tahun yang lain. Pertuturannya juga kadangkala tersekat-sekat, perlu dibantu bapanya, Yusry Ishak, 47, dan ibunya, Hazelina Mat Jalil, 40, yang sentiasa berada di sisinya sepanjang sesi fotografi berlangsung.

Tempoh enam bulan berkecimpung dalam industri muzik tempatan, Aiman masih terlalu hijau, bagaimanapun, tuahnya cukup luar biasa. Bersandarkan hanya sebuah single Ku Rela Dibenci yang dicipta oleh ibu bapanya, dalam masa empat bulan sahaja klip video lagu tersebut telah ditonton sebanyak 16.5 juta dalam laman YouTube.

Hal itu sekali gus membuatkan Aiman menewaskan lagu antarabangsa Crush dendangan Yuna dan Usher yang ditonton 15.3 juta sepanjang tempoh lima bulan lalu.

“Sebenarnya saya tidak menyangka akan menjadi penyanyi secara serius dan diterima peminat secepat ini. Mungkin sudah rezeki, jadi saya bersyukur dengan perjalanan seni yang cukup mudah dan pantas,” ujar Aiman membuka bicara sambil tersenyum.

Tambahnya, selain faktor lagu, nama unik Aiman Tino yang digunakan sebagai nama komersial juga antara penyumbang kepada populariti mendadaknya.

Akuinya, sejak bergelar penyanyi, ramai yang mempersoalkan nama uniknya. Tidak kurang ramai juga menyangka dia adalah anak atau memiliki pertalian darah dengan penyanyi veteran Herman Tino.

Dalam tawa yang panjang, pemilik nama sebenar, Muhammad Aiman Yusry menjelaskan, Aiman Tino merupakan nama timangan yang digunakan sejak kecil memandangkan ibunya merupakan peminat Herman Tino. Selain itu, nama tersebut diguna pakai bagi membezakannya dengan empat orang rakannya yang juga bernama Aiman.

Justeru, saat diminta memilih nama komersial, pada peringkat awal dia ingin menggunakan nama asalnya tetapi ditegah bapanya. Bapanya menyifatkan nama Aiman Tino kedengaran lebih komersial serta mudah diingati orang ramai.

“Pada peringkat awal saya ingin menggunakan nama asal sebagai nama komersial iaitu Aiman Yusry. Selepas berfikir panjang, bapa merasakan nama Aiman Tino lebih sesuai. Walaupun kedengaran agak klasik tetapi saya tidak kekok atau rasa malu kerana sudah terbiasa dengan panggilan Aiman Tino sejak kecil,” tuturnya.

Perubahan hidup

Bercerita lanjut tentang perjalanan seninya, Aiman mengatakan, semuanya berlaku dengan begitu pantas. Percubaan merakam lagu sekadar suka-suka untuk dimuat naik dalam YouTube demi kepuasan diri mengubah segalanya.

Biarpun selalu menyanyi dalam majlis kenduri kahwin mahupun menghadiri uji bakat nyanyian di pusat beli-belah, dia tidak pernah terlintas untuk bergelar seorang penyanyi secara serius.

“Semuanya bermula apabila saya membuat rakaman lagu di studio abang Herry, pemain gitar kumpulan Khalifah. Selepas lagu tersebut siap, abang Herry fikir lagu tersebut boleh pergi jauh dan akhirnya saya menjadi penyanyi,” kata Aiman menyambung cita-cita seni bapanya yang pernah menjadi finalis Bintang HMI.

Menyentuh tentang perubahan hidup, jelas Aiman, enam bulan lalu dia masih seorang remaja lepasan sekolah yang sibuk membantu perniagaan makanan ibu bapa di Restoran Asam Pedas Dataran Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Tidak disangka kini, rutin memasak char kuetiau dan sambal nasi lemak ditukar dengan memenuhi undangan pentas di seluruh negara.

Masih basah dalam ingatannya kali pertama menyanyikan lagunya sendiri di hadapan orang ramai sekitar April lalu. Takut dan gementar menguasai diri. Apatah lagi apabila lagu Ku Rela Dibenci semakin hangat diputarkan di corong radio, Aiman mula diburu peminat.

“Saya akui pada mulanya sangat takut kerana tidak tahu bagaimana penerimaan orang ramai ketika itu.

“Pengalaman diserbu peminat juga suatu perkara yang baharu untuk saya. Walaupun tidak berapa selesa diperhatikan orang ramai, namun selepas beberapa bulan, saya mula menerima baik situasi tersebut.

“Ibu bapa juga tidak pernah melepaskan saya seorang diri. Bagi mereka saya masih lagi seorang anak kecil. Mungkin orang lihat saya seperti dikongkong tetapi saya perlukan mereka untuk sentiasa memberi tunjuk ajar,” jelasnya yang meminati Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Suip.

Selain persembahan sulungnya, suatu perkara yang tidak boleh dilupakan Aiman adalah apabila mendapat bayaran pertama sebagai penyanyi. Sungguhpun tidak berkongsi jumlah yang diperoleh, kata Aiman, perasaan meraih pendapatan sendiri itu cukup luar biasa.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika bapa memberi wang hasil persembahan pentas buat kali pertama.

“Disebabkan terlalu gembira, saya mengambil gambar wang tersebut sebagai kenangan dan ia terus digunakan untuk membeli pakaian dan kasut. Wang itu juga menyedarkan saya bahawa kerjaya nyanyian suatu pekerjaan yang serius. Secara tidak langsung ia mematangkan saya.

“Saya bukan lagi remaja yang boleh melakukan hal mengikut hati dan perasaan sendiri kerana sudah mempunyai komitmen terhadap kerja. Bapa berpesan, harus menjaga disiplin dan tingkah laku kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku dalam dunia seni seperti kontroversi yang boleh menjatuhkan kerjaya sendiri,” tuturnya panjang lebar.

Biarpun semakin sibuk dengan persembahan pentas, kata Aiman, jika mempunyai masa lapang dia masih membantu ibu bapanya di restoran keluarga.

Berniaga sudah menjadi darah dagingnya. Justeru, biar semakin dikenali tiada alasan untuknya tidak melakukan rutin yang telah diikuti sejak berusia 13 tahun.

Sementelah dia masih ingat dengan janji pertamanya iaitu bergelar penyanyi kerana mahu membantu keluarga dan mengembangkan perniagaan makanan ibu bapa.

Masa depan

Justeru, pada tahun depan, Aiman merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan sambil meneruskan kerjaya nyanyian.

“Saya masih muda dan keluarga amat mementingkan pelajaran. Walaupun kerjaya nyanyian memberi pendapatan lumayan tetapi saya tetap ingin menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan. Hal ini kerana impian terbesar saya ialah mengembangkan perniagaan makanan keluarga sehingga ke Kuala Lumpur.

“Menerusi bidang nyanyian, selain dapat mengumpul modal, saya juga memperoleh ilmu yang mungkin tidak dipelajari di sekolah. Jadi, peluang ini akan digunakan sebaik mungkin demi masa depan saya serta keluarga,” katanya yang berkebolehan bermain gitar.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya seninya, selepas lagu Ku Rela Dibenci, Aiman bakal muncul dengan single kedua berjudul Permata Cinta yang turut mendapat sentuhan bapanya sebagai penulis lirik. Single kedua itu masih memilih acuan yang sama iaitu memiliki melodi dan nyanyian mendayu seperti tahun 1990-an.

Kedengaran ‘jiwang’ dan tidak sesuai dengan usianya tetapi tegas Aiman, lagu bergenre seperti itulah yang melekat dengan jiwanya berbanding lagu rancak dan moden. Dia tidak pernah dipaksa menyanyikan lagu sedemikian, sebaliknya minat tersebut bercambah sejak kecil lagi.

“Bapa melalui zaman 1990-an, jadi sejak kecil saya sudah diperdengarkan lagu-lagu balada dari zaman berkenaan. Secara automatik minat itu timbul tanpa dipaksa-paksa. Ramai juga orang mempersoalkan kenapa menyanyikan lagu ala 1990-an sedangkan saya masih muda.

“Oleh itu, untuk single ketiga saya akan mengeluarkan sebuah lagu rancak hasil gabungan idea orang lama dan baharu. Mungkin untuk lagu seterusnya saya akan mula mengeluarkan lagu ciptaan sendiri,” ujarnya menutup bicara.



Post a Comment

Previous Post Next Post