Percaya satukan Nawhki, Didi Astillah


PENANTIAN hampir setahun bagi dua penyanyi, Nawhki dan Didi Astillah berbaloi apabila lagu mereka Percaya akhirnya dilancarkan.

Lagu bergenre ‘Pop Bossa’ itu sangat menarik kerana mempunyai unsur 'funky' serta menimbulkan perasaan tenang terhadap pendengar.

Menurut Nawhki atau Ikhwan, lagu berkenaan sudah siap direkodkan tahun lalu namun baru dilancarkan.

“Kami baru melancarkan Percaya kerana mahu ia dilancarkan serentak dengan video klipnya,” katanya ketika pelancaran Percaya di ibu pejabat Warner Music Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya yang mencipta sepenuhnya lagu itu, pemilihan Didi adalah tepat kerana dia berjaya membawa lagu tersebut dengan baik.

“Saya tak boleh menyanyi dan saya boleh rap sahaja. Kalau saya menyanyi, saya rasa orang akan baling objek kepada saya,” selorohnya.

Sementara itu, Didi pula berkata, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Nawhki untuk menyanyikan lagu itu.

“Apabila kali pertama saya mendengar demo Percaya, hati saya berdebar-debar untuk membawa lagu tersebut. Namun, produser mahu saya menyanyikan lagu itu dan saya bersetuju untuk menyanyikannya.

“Semasa sesi rakaman, produser tidak memberi sebarang tekanan kepada saya malah mereka memberi sokongan dan memberi kebebasan kepada saya untuk membawa lagu tersebut dengan cara tersendiri,” katanya.

Didi berkata, Percaya adalah lagu yang paling diminatinya sepanjang kariernya menjadi penyanyi.

Muzik klip Percaya sudah boleh ditonton di laman video YouTube sejak Isnin lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post