Anuar Zain utamakan kepuasan peminat


PENYANYI popular, Anuar Zain tetap yakin dan positif menghasilkan album walaupun menyedari nilai pasaran industri muzik tidak begitu memberangsangkan.

Katanya, tindakan itu dibuat bukan bersifat keuntungan semata-mata tetapi dilakukan atas dasar tanggungjawab kepada industri.

“Saya sedar ramai penyanyi lebih selesa mengeluarkan single, namun saya pula ambil risiko untuk buat album.

“Bahkan, setiap kali membuat album, saya tidak pernah meletakkannya sebagai satu kerugian.

“Bagi saya, setiap pemain industri harus kuat dan saling bekerja keras sekali gus melawan situasi ini agar industri terus relevan dan diterima,” katanya kepada media ketika ditemui selepas pelancaran album terbarunya, Anuar Zain, kelmarin.

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini berkata, setiap album yang dibuat adalah demi memenuhi kepuasan peminat yang setia menyokongnya selama ini.

“Sebenarnya, saya sangat kritikal dengan kerjaya sendiri.

“Dalam setiap karya yang dihasilkan, keutamaan adalah pada peminat dan pendengar setia saya. Saya akui cukup-cukup risau jika tidak dapat memberi kepuasan kepada mereka.

“Pendek kata, setiap album yang terhasil bukanlah kerana saya tetapi khas buat peminat dan pendengar saya. Sebab itu, saya akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, kata penyanyi berusia 46 tahun ini, setiap album yang dihasilkan turut menunjukkan sisi kematangannya.

Lancar album baharu

Selepas sekian lama, adik kepada selebriti popular, Ziana Zain ini bakal tampil dengan album terbarunya, Anuar Zain, pada awal Oktober ini.

Katanya, album itu memuatkan lapan lagu iaitu Kembali, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Hujan, Kembali Padamu Ilahi dan Selamat Malam.

Tambahnya, album yang menelan belanja ratusan ribu ringgit itu turut mendapat sentuhan komposer tempatan dan Indonesia seperti Helen Yap, Habsah Hassan, Najwa Mahiaddin, Syed Haron Ahmad, Numata, Alto dan Alam Anggara Urbach.

“Saya seorang yang sangat teliti, sebab itu juga album ini mengambil tempoh sehingga lima tahun untuk disiapkan.

“Malah, kerana teliti juga, album ini turut memakan kos besar meliputi proses pembikinan lagu sehinggalah sesi fotografi yang menggunakan helikopter bagi mendapatkan gambar eksklusif kulit album.

“Lagi pula, setiap lagu di dalam album ini mempunyai keistimewaan dan ceritanya tersendiri bermula daripada proses pemilihan lagu sehinggalah kepada proses akhir rakaman,” katanya yang mendapat tajaan beberapa pihak.

Untuk rangka promosi, Anuar menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn Bhd bekerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings akan mengadakan Anuar Zain Album Tour 2016 di beberapa lokasi terpilih iaitu Mydin USJ pada 9 Oktober, Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang (30 Oktober); Mydin Meru Raya, Ipoh (6 November); Mydin Gong Badak, Terengganu (12 November), Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan (4 Disember) dan Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru (17 Disember).

Kembali berlakon?

Anuar berkata, lagu Andainya Takdir ciptaan Helen Yap dan lirik oleh Habsah Hassan dipilih sebagai single pertama bagi albumnya itu.

Bahkan, pelantun lagu Sedetik Lebih ini turut melancarkan video muzik lagu berkenaan yang akan dimuat naik di YouTube hujung minggu ini.

Katanya, selain dirinya, video muzik itu juga menampilkan pelakon Sharifah Sakinah, Puteri Balqis dan Hafidzuddin Fadzil.

Mengakui berlakon bukanlah satu tugas mudah, Anuar yang pernah tampil dalam filem Soal Hati dan Bintang Hati, bagaimanapun berjaya menghayati wataknya dengan baik menerusi video muzik terbabit.

“Keutamaan saya hanyalah menyanyi. Jadi, mungkin tidak untuk saya kembali berlakon kerana saya tidak mahu lari fokus,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post