Beringat cara Ryzal Jaafar


MENGEKALKAN kelangsungan karier sebagai seorang pelakon bukanlah suatu perkara yang mudah. Ditambah dengan kebanjiran pelakon baharu dan lambakan syarikat penerbitan, untung nasib pelaku seni yang menjadikan bidang lakonan sebagai sumber rezeki utama dilihat begitu sukar untuk ditentukan.

Bagi pelakon Ryzal Jaafar, melakar kerjaya sebagai seorang anak seni sejak 10 tahun yang lalu telah banyak menyedarkan dirinya tentang realiti sebenar kehidupan.

Lebih matang dalam mengaturkan kerjaya, senggang masa selama sedekad dalam bidang seni turut dijadikan sebagai panduan bagi melestarikan kerjaya lakonannya untuk satu tempoh masa yang panjang.

“Kitaran hayat seseorang pelakon bergerak dalam laluan yang sangat pantas. Bila-bila masa sahaja nama kita boleh dilupakan khalayak disebabkan kedatangan pelakon baharu.

“Jadi, sewaktu sedang membina nama, gunakan peluang tersebut sebaik mungkin agar bakat lakonan yang ada diingati oleh pengarah dan produser,” ujar Ryzal membuka bicara.

Portfolio seni milik jejaka berusia 34 tahun itu mula terisi sejak diberi tanggungjawab menggalas watak Yusof menerusi drama bersiri Dunia Baru pada 2006.

Biarpun pertama kali mencuba, prestasi lakonan anak jati kelahiran Kedah itu cukup memberangsangkan, sehingga kelibatnya lekas diintai dan dilamar beberapa produser drama lain.

Dari situ, tawaran demi tawaran diterima dan Ryzal atau nama lengkapnya, Mohd. Shahrizal Jaafar mula jatuh cinta dengan bidang lakonan. Namun, ia bukanlah satu situasi yang berlaku secara berterusan sehingga ke hari ini.

Selang beberapa tahun, kekerapan menerima tawaran lakonan mula berkurangan. Pada waktu tersebut, Ryzal mulai sedar bahawa bidang lakonan mampu berlaku kejam jika dia terus leka dalam situasi yang dialami.

“Saya pernah tidak menerima tawaran berlakon selama tiga bulan berturut-turut. Ketika itu, saya agak bimbang dan mula fikir yang bukan-bukan.

“Namun, saya bernasib baik kerana mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung perbelanjaan. Alhamdulillah, selepas tempoh itu, saya mula menerima tawaran berlakon seperti biasa,” katanya.

Tidak memilih


NYANYIAN: Biarpun pernah memasuki pertandingan realiti nyanyian dan lakonan, Gempak Superstar, Ryzal tidak menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi profesional.

Melanjutkan bicara mengenai kelangsungan kerjayanya sebagai pelakon, Ryzal berkata, dia tidak boleh terlalu selektif memandangkan bidang lakonan merupakan sumber pendapatan utamanya.

“Kalau boleh, saya memang mahu memilih watak yang ingin dibawa dalam setiap naskhah drama. Setiap pelakon juga pasti berkongsi pendapat atau hasrat yang sama.

“Namun, disebabkan bidang lakonan adalah sumber rezeki utama, saya tidak mempunyai banyak pilihan,” katanya.

Biarpun tidak selektif, Ryzal tetap melaksanakan tugasnya sebagai pelakon dengan bersungguh-sungguh.

“Benar, saya tidak memilih tetapi tidak bermakna saya melakonkan watak sekadar melepaskan batuk di tangga. Itu bukan prinsip saya.

“Biar sekecil-kecil watak yang diberikan, saya cuba untuk membawanya sebaik mungkin. Tambahan pula, penonton kini bijak menilai dan menghargai bakat pelakon,” katanya lagi.

Bercakap mengenai persediaan masa hadapan, Ryzal berkata, setiap selebriti perlu mempunyai pelan kedua terutama jika bermajikan dunia hiburan.

“Tidak selamanya bidang ini mampu memberikan pulangan lumayan kepada pelakon. Melihat ke arah ekonomi negara dan keghairahan ramai orang untuk bergelar pelakon, artis senior perlu bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

Beringat


TEATER: Ryzal menyimpan hasrat untuk beraksi di pentas teater sama seperti sahabat baiknya, Anding Indrawani yang kini bergelar pelakon residensi MUD KL.

Bagi Ryzal, menceburkan diri dalam bidang perniagaan merupakan salah satu cara untuk memperkukuhkan pendapatan dan simpanan hari tuanya kelak.

“Apabila mulai sedar tentang kepentingan untuk menyimpan dan mempunyai pendapatan stabil, saya memperkenalkan jenama baju sendiri, iaitu Arata dan The Streetfret.

“Selain mengukuhkan kewangan, perniagaan pakaian turut memberikan saya kebebasan untuk meneroka bidang fesyen dengan lebih mendalam,” ujarnya yang begitu gemar berfesyen dan bereksperimentasi gaya seharian.

Selain fesyen, perbualan dengan Ryzal terheret mengenai caranya melepaskan tekanan kerja.

Dia sebenarnya gemar menikmati manisan terutama aiskrim. Banyak masanya dihabiskan di kafe-kafe yang menjual pencuci mulut terutama jika jadual lakonan padat dan mahu melepaskan tekanan.

“Saya gemar makan aiskrim. Mungkin ia adalah salah satu cara untuk menenangkan fikiran dan mengembalikan tenaga dalam badan.

“Kadangkala, saya memerlukan gula ekstra supaya tumpuan kerja tidak terganggu,” katanya sambil tertawa.

Ditanya bagaimana berat badannya masih stabil walaupun kerap mengambil makanan manis, respons Ryzal: “Saya mempunyai metabolisme yang tinggi walaupun kerap makan.

“Sehinggakan, saya perlu pergi ke gimnasium dan bersenam semata-mata mahu menambah berat badan.”

Post a Comment

Previous Post Next Post